Friday 28 October 2011

Mesej rahsia kami : Bab 1

Perkenalan kami

Namaku Ryoki Hijiri, berusia 17 tahun, seorang lelaki kurus dan pendiam. Bukan hendak dibanggakan, tapi susuk tubuhku memang agak tinggi bagi lelaki Jepun biasa yang seusia denganku. Kini aku ialah pelajar tahun kedua di Sekolah Tinggi Kizuna, sebuah sekolah yang agak berprestij dan elit di bandar tempat aku menetap.  Bukan senang aku hendak masuk ke sekolah ini. Penat aku berhempas pulas membanting tenaga mengerah keringat membaca buku demi aku dapat masuk ke sekolah ini…. bersama-sama dengannya.

Dia yang dimaksudkan ialah kawan karibku sejak kami di bangku sekolah rendah lagi, Kai Tasuke. Pertama kali Kai dan aku bertemu ialah ketika kami berusia 10 tahun. Dia pelajar pertukaran yang baru berpindah ke kawasan perumahanku malah hanya selang beberapa buah rumah saja. Emak yang ramah-tamah itu begitu ringan mulut menegur ibu Kai yang sibuk mengangkut barang dari lori sambil menghulurkan sebiji kek ceri buatannya sendiri.

“Ryoki, ini anak Puan Tasuke. Namanya Kai. Kamu berdua sebaya.” Emak memperkenalkan Kai kepada aku yang ketika itu sedang berdiri dibelakangnya. Mataku tertancap pada wajah Kai tanpa senyum. Kulitnya sedikit coklat dengan rambut berwarna hitam pekat. Matanya mmandang aku dengan pandangan yang ramah dan mesra dan senyuman manis yang naïf juga terukir di bibirnya. Susuk tubuhnya sedikit kecil daripada aku pada waktu itu. Berbeza dengan Kai yang berusia 17 tahun sekarang ini. Badannya membesar sedikit dan dia kelihatan lebih tinggi daripadaku sekarang.

Dia menghulurkan tangan tanda ingin berkawan. “Aku Kai.” Katanya.

“Ryoki Hijiri.” Balasku berbasa-basi tanpa menyambut huluran tangannya itu. Setelah dicubit emak, barulah aku mengangkat tangan juga. Genggaman tangan Kai begitu padu menggenggam tanganku. Dia tersengih lagi.

“Sila beri tunjuk ajar, Ryo.” Katanya. Sekejap sahaja dia menggelarkan aku dengan panggilan Ryo sedangkan kami baru berkenalan beberapa minit yang lalu.

“Hemm…” Kataku sedikit dingin. Aku akui yang aku tidak pandai hendak menghadapi orang-orang seperti ini. Senyuman Kai yang naïf itu tampak amat baik sekali sedangkan wajahku sentiasa masam dan berkerut. Mungkin kerana selalu dicop pelajar bermasalah di sekolah membuatkan aku jarang bergaul dengan teman seusia.

Pelajar bermasalah… begitulah aku ketika dulu. Semuanya bermula selepas keluargaku menghadapi perubahan yang mendadak. Ayah dipecat dari kerjayanya selepas kemelesetan ekonomi dan bertukar menjadi pemabuk dan kaki judi. Lama-lama, dia semakin jarang pulang ke rumah. Pernah sekali aku melihat dia sedang memeluk seorang perempuan seksi di luar sebuah pusat hiburan. Matanya terpandang aku yang juga sedang memandangnya tanpa berkelip. Sedangkan dia hanya mengangkat bahu dan berlalu dari situ tanpa menghiraukan aku.

Emak pula hanya hidup makan hati di rumah. Dia membuka sebuah restoran okonomiyaki kecil di kawasan kejiranan kami demi menampung perbelanjaan keluarga.

Aku memandang Puan Tasuke yang sedang mendukung seorang bayi kecil berusia kurang dari setahun itu. Wanita itu nampak keletihan kerana terpaksa mengangkut barang dan menjaga si kecil itu dalam masa yang sama. Apabila emak meminta untuk mendukung bayi itu, dia nampak begitu lega.

“Itu adik aku, Gen. Umur dia baru 11 bulan.” Kata Kai tanpa ditanya.

Aku mengangguk sambil mencari-cari pula kelibat lelaki yang sepatutnya dipanggil Encik Tasuke.

“Aku tak ada ayah.” Kai seperti mengerti kerana dia sekali lagi memberitahuku tanpa ditanya lagi.

Aku memandangnya. “Dia pergi kerja?” Aku menyoal.

Kai mengangkat bahu. “Ibu cakap aku tak ada ayah. Aku tak pernah jumpa dia sebelum ni.”

Aku memandangnya dengan senyap. Budak lelaki di hadapanku ini mengaku tidak pernah menemui ayahnya, namun wajahnya kelihatan begitu jernih dan riang seperti tidak pernah mempunyai masalah. Untuk seketika, aku sedikit cemburu melihat ketenangannya.

“Ayah kau?” Kai menyoal.
“Ayah aku… dia pergi kerja. Mungkin.”
“Mungkin?”
“Mungkin.”
“Apa maksud kau, mungkin? Kau tak tahu dia pergi mana?” Kai menyoal sambil mengerutkan kening.

Aku mengeluh berat. Aku tahu kemana dia pergi. Pastilah berpeleseran di pachinko lagi. “Dia pergi berjudi dan minum arak agaknya.” Aku berterus-terang. Aku menatap muka Kai dan dia sekadar memandang aku tanpa senyum.

“Oh…” Cuma itu saja yang keluar dari mulutnya selepas itu.


Kai masuk ke sekolahku dua hari kemudian, ke kelasku di kelas 4A Sekolah Rendah Hikari. Dia diperkenalkan kepada kelas oleh guru kelasku. Seperti biasa, Kai masih tersenyum dan senyumannya semakin melebar apabila dia memandang aku yang sedang duduk di meja paling belakang di tepi tingkap. Aku pantas menoleh berpura-pura tidak menyedari senyumannya. Kai ditempatkan di sebelah seorang budak perempuan di tengah-tengah kelas dan seperti diduga, dia menjadi tumpuan ramai.

“Kau dari Osaka? Patutlah dialek kau lain sikit.” Tegur salah seorang kawan sekelas kami.

Kai mengangguk. “Aku selalu rasa dialek orang Tokyo susah nak faham.”

Aku sekadar memandang ke arahnya yang semakin dikerumuni ramai termasuklah dari budak-budak perempuan kelas sebelah juga. Dia nampak sangat selesa melayan begitu ramai orang di sekelilingnya. Memang amat berbeza dengan aku.

“Ryo. Nak makan sama?” Kai menegur aku secara tiba-tiba. Serentak dengan itu semua orang terdiam dan mereka mula memandang ke arah aku macamlah aku ni makhluk asing yang pelik.

Aku menggeleng lalu mengangkat punggung dari kerusi. Tak selesa langsung bila semua mata asyik memandang aku seolah-olah aku ni budak pelik. Aku perasan Kai memandang aku lama seperti berharap aku akan mengubah fikiran. Terdetik jangkaan aku yang dia sebenarnya teringin hendak berkawan dengan aku.

“Kau kenal Ryoki?” Aku terdengar suara seorang budak lelaki menyoal.

“Emm.. dia tinggal dekat kawasan rumah aku. Dia memang selalu pendiam macam tu?” Kai menyoal. Namun aku sudah terlalu jauh untuk mendengar apa yang dibalas oleh kawan-kawan sekelas aku tu. Biarlah. Mesti mereka sedang bercerita tentang keburukan aku, tentang perangai aku yang teruk ni kepada Kai. Lantaklah… aku tak peduli. Kai bukannya kawan aku pun.


Aku sedang menyiram pokok kaktus di halaman rumah apabila aku terdengar loceng basikal dibunyikan. Lantas aku mengangkat kepala dan terpandang Kai sedang tersenyum sambil membunyikan loceng basikalnya berkali-kali. Dia lagi…. Aku menarik muka masam.

“Jangan bisinglah. Nanti jiran-jiran marah.” Kataku.

Jarinya berhenti dari membunyikan loceng. Kai menongkat basikalnya lalu berjalan ke pintu pagar rumahku dan tanpa segan silu dia menolak pintu pagar dan masuk tanpa diundang.

“Kau buat apa?” Dia menyoal.

“Tengah makan.” Aku menjawab acuh tak acuh. Malas sebenarnya mahu melayan budak ini.

Kai ketawa. Namun seketika kemudian, dia merampas bekas air dari tanganku. Aku memandangnya terpinga-pinga. Apa yang dia ni nak buat? Berani betul dia…

“Mana boleh siram kaktus macam tu.” Katanya.

Aku memandangnya dengan bingung.

“Akar pokok kaktus kecil macam ni sangat lemah. Kau akan rosakkan ia. Lagipun, kau tak payah siram air banyak-banyak dekat pokok kaktus. Nanti ia mati.” Sambung Kai.

“Habis tu?” Aku menyoal seperti manusia bodoh.

“Siram sikit-sikit saja. Pokok kaktus ni boleh simpan air jadi kau tak payah siram selalu.  Paham?” Dia berkata sambil meletakkan bekas air ke atas tanah. “Ryo, jom keluar main bola.” Dia mengajak.

Aku memandangnya seperti tidak percaya. “Kenapa ajak aku?” Aku menyoalnya dingin.

“Sajalah. Aku bukan ada kawan lain di sini.” Dia membalas sambil menguis-nguis rambut hitamnya dan melirik ke arah rumahku.

“Sejak bila kita jadi kawan ni?” Aku menjelingnya tajam.

Rahang Kai sedikit terbuka. Mungkin dia tak sangka aku akan berkata begitu pada dia. “Kenapa perangai kau macam ni, ha?” Dia bertanya dengan nada suara yang marah.

Aku menghela nafas dengan kasar. Sememangnya pada ketika itu perasaan aku pada Kai hanyalah seperti biasa. Aku tidak mahu sesiapa pun masuk ke dalam dunia aku, termasuklah budak lelaki bermata jernih di hadapanku ini.

Kai menghentak kakinya ke tanah lalu berjalan laju keluar dari perkarangan rumahku ke basikalnya yang ditongkat di tepi jalan. Sempat dia berpusing memandang aku sebelum mengayuh basikalnya pergi dari situ.

-bersambung-

1 comment:

Komen-komen korang sangat-sangat dihargai.