Thursday 26 January 2012

A silent kiss



"Okey, siapa setuju angkat tangan!" Yuuta berkata dengan nada suara yang tinggi. Dia kelihatan amat teruja dan kapur tulis yang berada dalam tangannya itu nampaknya sudah hampir patah. Sebaik sahaja dia berkata begitu, hampir semua pelajar kelasnya mengangkat tangan tinggi ke udara sambil bersorak-sorak. Yuuta tersenyum. "Bagus! Kalau macam tu, kita semua akan masuk aktiviti uji keberanian malam esok. Jangan tak datang pulak."

Yuuta tersenyum lagi. Sebagai wakil kelas 3-A Sekolah Tinggi Kuro, dia ingin menghabiskan masa-masa berkualiti bersama-sama kawan sekelas sebelum mereka semua tamat pengajian ketika musim luruh nanti. Selepas ini, semua orang akan mengikuti haluan masing-masing dan mungkin tidak akan bertemu lagi. Inilah masanya untuk bersuka-ria sebelum mereka semua menginjak ke alam dewasa.

Dia meluaskan pandangan matanya ke arah semua pelajar kelasnya yang terdiri daripada 12 orang pelajar perempuan dan 14 orang pelajar lelaki itu. Kesemua kawan-kawannya tampak teruja sekali hendak menghabiskan malam hujung minggu ini di sekolah. Mereka akan berkhemah di padang sekolah dan menjalani aktiviti ujian keberanian di hutan belakang sekolah. Mata Yuuta tiba-tiba terpandang seraut wajah seorang pelajar lelaki berkaca mata yang duduk di barisan ketiga dari belakang di tepi tingkap. Pelajar itu tunduk menekur buku di atas meja dan langsung tidak menunjukkan minat dengan aktiviti yang akan dijalankan.

"Akio, kau tak setuju?" Yuuta menyoal pelajar lelaki itu yang kemudian mengangkat kepalanya. Mereka bertentangan mata selama beberapa saat.

"Mengarut. Periksa tak lama lagi, kamu semua sibuk nak berkhemah. Lebih baik duduk rumah dan baca buku." Tingkah Akio tegas dengan wajah yang serius. Kata-katanya itu membuatkan kesemua pelajar kelas 3-A terdiam. Ada juga yang mencebik dan menyindir Akio dengan panggilan 'budak nerd' atau 'si mata empat yang perasan bagus' atau 'mamat anti sosial'.

Yuuta cuba mengukir senyuman. "Akio, ni je masanya kita luangkan masa bersama-sama. Lagipun, aktiviti kita tu malam esok je."

Akio menepuk meja agak marah. "Suka hati koranglah nak buat apa pun. Aku tak nak join."

Tersirap darah Yuuta naik ke muka melihat perubahan tingkah laku kawan sekelasnya itu. Dia memang tahu yang Akio tidak pernah bergaul dengan sesiapa namun dia amat berharap Akio akan bersetuju dengan aktiviti begitu. Yuuta merenung Akio tajam sebelum dia sendiri mula menumbuk papan hitam. "Jangan nak mengada-ngada! Kau kena juga join aktiviti ni. Aku dah tetapkan semua orang akan ada partner untuk ujian keberanian tu. Kalau kau tarik diri, kita tak cukup orang."

Akio terkedu melihat wajah marah Yuuta. Dia kemudian melemparkan pandangan ke arah pelajar-pelajar lain di dalam kelas yang turut memandangnya dengan marah. "Pe..peduli apa aku!" Dia masih berdegil walaupun suaranya sudah mulai gugup. Terus dia menutup buku dan bangkit dari kerusi. Perlahan-lahan dia berjalan ke arah pintu kelas, mahu segera keluar dari situ.

Namun dia merasakan tangannya direntap seseorang dari belakang. Dengan perasaan yang terkejut, dia melihat Yuuta sudah memegang pergelangan tanganya. "Kau mesti datang juga. Esok petang, aku akan jemput kau di rumah. Jangan ingat kau boleh lari!" Kata Yuuta dengan mata yang bersinar-sinar. Senyuman masih terukir di bibirnya walaupun nada suaranya kedengaran seperti mengugut.

Akio menelan air liurnya kelat.

****

"A-K-I-O-chan!" Teriak Yuuta dari luar pagar sambil tersengih. Dia melambai-lambai ke arah Akio yang tercegat di depan pintu rumahnya.

"Jangan tambah chan lah! Kau ingat kau tu kawan aku?" Akio naik marah. Dia memandang ke arah Yuuta yang sedang menggalas sebuah beg yang dia pasti berisi pakaian dan peralatan perkhemahan. Hari itu Yuuta memakai T-shirt berwarna coklat cerah dengan seluar tiga suku yang agak lebar, pakaian yang menonjolkan tubuhnya yang agak tegap itu. Sebatang lolipop terselit di bibirnya membuatkan dia kelihatan persis keanak-anakan.

"Cepatlah. Kita kena berkumpul pukul 5." Teriak Yuuta lagi.

Yuuta dan Akio berjalan beriringan sambil menggalas beg masing-masing menuju ke sekolah yang terletak tidak jauh dari kawasan perumahan mereka. Mereka berdua bukanlah teman yang rapat di sekolah namun lokasi rumah mereka agak berdekatan.

"Hei, kenapa kau tak nak join kami? Lepas kita graduate nanti, susah kita nak jumpa lagi." Tanya Yuuta.

"Tak jumpa pun tak apa. Bukannya mati pun." Tingkah Akio angkuh.

Yuuta mengerlingnya dari sisi. "Kau ni... memang takde semangat persahabatan langsung. Patutlah tak ada orang nak berkawan dengan kau. Mulut tu laser sangat. Cubalah cakap ayat-ayat yang sedap didengar sikit dan jangan berlagak sangat."

"Aku tak perlukan kawan." Balas Akio tanpa teragak-agak. Matanya memandang jauh ke depan dan kakinya masih melangkah menyoroti langkah Yuuta yang kian perlahan itu. Yuuta terdiam sejenak merenung tubuh kurus Akio dari belakang.

"Kata-kata kau tu akan makan diri kau sendiri nanti." Bisik Yuuta perlahan.


Mereka tiba di sekolah lima belas minit kemudian. Hampir kesemua pelajar kelas 3-A sudah berkumpul di padang. Terus Yuuta bertindak sebagai ketua membahagikan mereka kepada beberapa kumpulan dan menugaskan mereka mendirikan khemah dan menyediakan makanan.

"Hei Akio, kau pergi tolong budak-budak perempuan pasang khemah." Yuuta mengarah Akio yang sekadar berdiri macam tunggul. Sakit pula hatinya melihat lelaki itu berdiri tanpa berbuat apa-apa sedangkan orang lain sibuk dengan tugasan masing-masing.

Akio menekan cermin matanya ke hidung. "Tak nak. Kan aku dah cakap aku tak nak berkhemah kat sini. Lepas habis ujian keberanian bodoh tu, aku balik rumah terus." Katanya lalu terus berlalu dan mengambil tempat di tepi padang. Akio terduduk di situ dengan senyap sekadar memerhatikan orang lain yang sedang bergelak tawa gembira dan bergurau senda dengan rakan masing-masing. Kelihatan beberapa orang pelajar lelaki sedang galak mengusik pelajar-pelajar perempuan.

Salah seorang kawan sekelas mereka yang berdiri berhampiran mengepal penumbuknya geram melihat ulah Akio itu. "Budak ni memang perosak mood betul. Aku rasa macam nak belasah je dia."

"Sabar korang, sabar." Bisik Yuuta walaupun dia sendiri yang sebenarnya sudah hilang sabar. Dia merenung Akio dari jauh cuba mentafsir peribadi rakan sekelasnya itu. Namun, ternyata Yuuta tidak memahami Akio. Bukannya dia disingkirkan sebaliknya Akio sendiri sengaja memencilkan diri.

Malam itu, mereka yang terpilih membuat cabutan undi untuk mengetahui pasangan masing-masing. Beberapa orang pelajar lelaki bersorak gembira apabila mereka dipasangkan dengan pelajar perempuan manakala ada pelajar perempuan membuat muka masam apabila terpaksa berpasangan dengan pelajar lelaki yang tidak digemari.

"Hoi, aku ingatkan korang jangan nak buat benda yang tak senonoh dalam hutan ni. Terutamanya pasangan lelaki dan perempuan." Yuuta memberi amaran dalam nada santai.

"Giliran kau cabut undi, Yuuta."

"Okey."

Yuuta mengambil sehelai kertas kecil yang terlipat di dalam kotak tisu berisi nama-nama pelajar-pelajar kelasnya. Senyumannya mengendur apabila dia membaca nama yang tertulis di dalam kertas kecil itu. 'Akio Yutaka'. Pantas Yuuta melemparkan pandangannya ke arah Akio yang turut memandang ke arahnya tanpa secalit senyuman sedikit pun itu.


"Kecewa ke? Sebab terpaksa berpasangan dengan aku." Akio menyoal sinis. Dia mengekori Yuuta yang berjalan di hadapannya sambil memegang sebuah lampu suluh. Hutan di belakang sekolah kelihatan amat berbeza dan menakutkan pada waktu malam. Memang sesuai benar aktiviti menguji keberanian yang dijalankan mereka pada malam itu. Kesemua pasangan pelajar dilepaskan satu persatu bermula dari titik A hinggalah ke titik B, iaitu di pintu belakang sekolah.

"Diamlah kau." Kata Yuuta. Dia begitu berhati-hati menyuluh ke tanah risau jika tersadung akar-akar pokok yang keluar dari tanah. Sudah hampir lima belas minit mereka berjalan di dalam hutan yang gelap itu. Walaupun Yuuta selalu juga bersiar-siar di dalam hutan, namun dia masih risau jika tersesat pada waktu malam.

"Hahaa.. kalaulah aku tak datang malam ni, jalan la kau sorang-sorang." Tingkah Akio lagi sambil ketawa kecil.

Yuuta serta-merta berhenti berjalan lalu berpusing dan merenung Akio di belakangnya.

"Kenapa?" Soal Akio.

"Iyalah. Terima kasih sebab datang. Terima kasih sebab temankan aku. Terima kasih banyak-banyak." Ucap Yuuta seraya merenung jauh ke dalam mata Akio. Tiada senyuman di bibirnya seperti biasa dan Akio tahu Yuuta sebenarnya sedang naik darah. Namun, yang membuatkan dia runsing ialah nada suara Yuuta yang lembut dan renungan matanya yang dalam itu sedang menikam jantungnya. Akio pantas melarikan pandangan matanya dari terus menatap wajah Yuuta itu.

"Bagi sini lampu suluh tu." Akio mengarah sambil merampas lampu suluh di tangan Yuuta. Dia mula berjalan di hadapan sambil menyuluh ke kiri dan kanan. "Gelapnya hutan ni."

"Kau pernah lepak sini?" Soal Yuuta.

"Kadang-kadang. Bila aku nak lari dari orang."

"Kenapa? Bukannya tak ada orang cuba nak berkawan dengan kau. Kau yang selalu pandang rendah pada orang lain dan marah-marah bila orang nak dekati kau. Apa masalah kau sebenarnya?"

Akio berhenti berjalan dan bersandar pada sebatang pokok. Dia mula memandang ke arah Yuuta yang turut menatapnya sambil menunggu jawapan. "Sebab aku tahu tak ada orang yang boleh aku percaya di dunia ni selain dari aku sendiri. Aku boleh hidup sorang-sorang. Aku tak perlukan orang lain."

"Hah? Apa kau merepek ni? Kau ni mesti pernah dikhianati seseorang kan?" Kata Yuuta sambil ketawa. Nada suaranya kedengaran berbaur bergurau. Dia kemudian mula melabuhkan punggung di atas akar kayu di tanah di sebelah Akio yang masih berdiri.

Akio terdiam sejenak sebelum dia mengeluh sedikit. "Ya."

Yuuta memandangnya dengan terkejut.

"Ibu aku tinggalkan aku sebab ikut lelaki lain. Ayah aku sibuk dengan kerja dan perempuan simpanan dia. Dan kawan baik aku pula... tidur dengan girlfriend aku." Jawab Akio dengan nada yang rendah.

"Girlfriend?"

"Masa di tahun ketiga menengah rendah aku berkawan baik dengan sorang budak kelas aku. Masa tu juga aku keluar dengan seorang perempuan. Lepas setahun aku keluar dengan dia, barulah aku tahu dia keluar dengan kawan baik aku senyap-senyap. Mereka berdua berpakat dan tipu aku. Kalaulah aku tak terserempak dengan diorang di bandar, memang aku tak tahu."

Yuuta terdiam. Dalam kesamaran itu, dia dapat melihat wajah Akio yang suram dan kelihatan sedih itu. Perlahan-lahan tanpa diduga, Yuuta menghulurkan tangannya dan memegang tangan Akio lalu menarik lelaki itu supaya duduk di sampingnya.

"Kenapa kau..." Akio resah namun dia hanya menurut.

"Kesiannya kau. Maaflah, aku tak tahu. Kami selalu ingat kau berlagak dan sombong. Yelah, kau kan anak orang kaya. Tapi, bukan semua orang macam tu. Kami semua ikhlas nak berkawan dengan kau."

"Aku dah biasa." Jawab Akio dengan suara yang agak gugup. Jantungnya berdebar-debar apabila duduk serapat itu dengan Yuuta. Malah suara Yuuta kedengaran amat lembut dan mengambil berat membuatkan dia semakin resah.

"Kau masih patah hati?" Yuuta menyoal.

"Benda dah lama. Muka perempuan tu pun aku dah lupa."

Yuuta mengukir senyuman. "Baguslah sebab..." Yuuta mula merapatkan badannya ke arah Akio. Semakin lama semakin dekat hinggakan Akio dapat merasakan deruan nafas halus Yuuta di pipinya. Akio tergamam namun dia tidak pula menolak. Tubuhnya kaku menunggu masa bibir Yuuta menyentuh bibirnya dengan debaran menendang dada.

Dan tiba-tiba keadaan menjadi gelap gelita.

"Itu hidung akulah, bodoh!" Akio membentak apabila merasakan hidungnya dikucup oleh Yuuta.

"Oh, patutlah tajam semacam. Cermin mata kau besar sangat dan menganggu. Tapi, kenapa gelap tiba-tiba ni? Kau tutup lampu suluh ke?" Yuuta menyoal sambil ketawa.

"Gila! Bateri habislah. Kau tak periksa dulu ke lampu suluh ni sebelum guna?"

"Mana aku tahu bateri nak habis."

Kegelapan itu membuatkan kedua-dua mereka semakin resah. Apatah lagi setelah apa yang berlaku di antara mereka berdua tadi. Fikiran Akio melayang memikirkan mengapa Yuuta ingin mengucupnya manakala Yuuta pula agak malu dengan perbuatannya dan mula memikirkan yang dirinya sudah tidak siuman. Entah kenapa apabila dia melihat ekspresi di wajah Akio tadi, hatinya sedikit tersentuh. Dia terasa seperti mahu memeluk Akio dan menenangkannya.

Nasib baik juga waktu itu sangat gelap, jadi kedua-dua mereka tidak nampak wajah merah padam masing-masing.

"Jom gerak." Ajak Akio.

"Gelap ni. Nanti sesat susah kita. Kau tak ada telefon bimbit?"

"Kau dah lupa ke yang kau kumpul telefon semua orang dan simpan tadi?" Akio menyoal dengan nada marah dan kesal.

"Yelah. Salah aku. Tak sangka pulak nak jadi macam ni. Kita tunggu sajalah. Nanti mereka yang lain mesti datang cari kita kalau kita lambat." Kata Yuuta sambil mula bersandar di pokok. Namun, sesaat selepas dia bersandar, kedengaran bunyi sesuatu menderam di dalam kegelapan. Kedua-dua mereka pantas bangkit berdiri.

"Bunyi apa tu?" Akio menyoal terketar-ketar.

"Mana aku tahu. Mungkin angin."

"Angin tak bunyi macam tu lah. Kau... jangan-jangan kau suruh kawan-kawan kau sembunyi dan takutkan kita." Akio meneka. Peluh dingin mula mengalir di pipi.

"Mengarutlah. Kau ingat aku sengaja suruh orang lain pura-pura jadi hantu ke?"

Akio semakin menggeletar. Yuuta yang berada disebelahnya memandang ke arahnya. Walaupun dalam kegelapan, dia tahu lelaki di sebelahnya itu kelihatan takut. Yuuta sengaja menyelitkan tangannya dan menggengam erat tangan Akio.

"Apa kau buat ni?" Akio menyoal dengan muka yang merah padam. "Malulah kalau orang nampak."

"Tak ada orang nampaklah. Kita berdua je kat sini. Genggam tangan aku kalau kau takut." Balas Yuuta selamba.

"Siapa kata aku penakut?" Akio menjeling Yuuta tajam namun dia langsung tidak cuba melepaskan pegangan tangannya sebaliknya dia sendiri menggenggam erat tangan Yuuta. Sedikit demi sedikit perasaan takutnya semakin hilang dan badannya kiat hangat menangkis rasa dingin malam. Tangan Yuuta dirasakan hangat dan selesa.

"Jadi, kau ni gay ke?" Akio menyoal.

"Taklah. Tapi, aku mungkin akan menjurus ke situ tak lama lagi." Balas Yuuta.

"Tak malu ke kau mengaku ni?"

"Kau tu pun tak marah dengan apa yang aku cuba buat tadi?"

"Aku terkejutlah, bodoh. Tapi kau ni suka dekat aku ke?"

"Tak tahu. Kau tak suka ke kalau aku suka dekat kau?"

Akio terdiam lama tidak menjawab soalan Yuuta.

"Akio?"

"Jadi apa kata kita cuba sekali lagi, Yuuta? Kalau rasa geli, kita berhenti." Tanya Akio setelah beberapa lama menyepi. Dia tertunduk-tunduk menahan malu.

Mendengarkan namanya disebut laju oleh Akio, bagaikan dipukau Yuuta terus menarik tubuh Akio merapatinya. Dia terus menanggalkan cermin mata Akio dan kali ini dia tidak teragak-agak lagi lalu terus mengucup bibir kawan sekelasnya itu. Pada mulanya Akio seperti tidak dapat bernafas namun semakin lama dia semakin tenang. Kali ini, dia juga membalas kucupan itu. Pada mulanya sekadar ciuman biasa namun semakin lama Akio merasakan sesuatu yang lembut dan hangat cuba masuk ke dalam mulutnya. Malah bibirnya juga semakin basah. Perlahan-lahan Akio menjarakkan bibirnya dan membiarkan 'French kiss' itu berlanjutan hinggakan dia berasa tubuhnya terasa panas dan hampir kejang.

"Hoi, tangan kau nak sentuh mana? Kau juga yang cakap jangan buat benda tak senonoh dalam hutan tadi. Dah lupa ke?" Akio menepis tangan Yuuta yang sudah mula hendak menyentuh dadanya itu.

"Sorry. Tiba-tiba aku turned on." Yuuta berkata dengan selamba membuatkan wajah Akio semakin merah.

"Emm.. mungkin lain kali, okey?" Ujar Akio tersipu-sipu.

*****

"Yuuta, kenapa kau lambat?" Tanya salah seorang pelajar lelaki 3-A sebaik sahaja melihat Yuuta dan Akio muncul dari sebalik semak.

"Hahaa... lampu suluh kami habis bateri. Terpaksa tunggu sebab gelap sangat." Jawab Yuuta tersengih-sengih.

"Habis tu, macam mana korang berdua boleh jalan balik sendiri? Kami baru ingat nak cari korang tadi."

"Sebab ada sorang manusia bebal tu simpan bateri lebih dalam poket tapi sengaja buat-buat panik. Konon-kononnya nak timbulkan suasana seram. Aku rasa macam nak sekeh je kepala dia." Akio mencelah tiba-tiba sambil menjeling Yuuta dengan tajam membuatkan kesemua pelajar lain memandang ke arahnya. Akio yang amat jarang bercakap itu membuka mulut. Walaupun ayat-ayatnya seperti dia sedang memarahi Yuuta, namun wajahnya tidak kelihatan serius seperti selalu sebaliknya kelihatan seperti dia sedang menikmati aktiviti pada malam itu.

"Jadi, kau nak balik terus ke Akio? Atau kau nak makan malam dengan kami?" Soal salah seorang pelajar perempuan.

"Emm.. kalau boleh, aku nak tidur di sini dan berkhemah dengan kamu semua. Boleh kan?" Tanyanya perlahan dengan malu. Baru tadi dia berkeras tidak mahu menyertai aktiviti perkhemahan itu, namun sekarang dia sendiri telah mengubah fikiran.

Beberapa orang pelajar mula bersorak sedikit. "Baguslah. Tapi, kau nak tidur dalam khemah mana?" Soal mereka.

Tanpa semena-mena, Yuuta melingkari tangannya dan memeluk bahu Akio sambil tersenyum. "Tak apa. Dia akan tidur dalam khemah aku."

-tamat-

: : Susahnya nak describe kissing scene dalam bahasa Melayu yang decent.

10 comments:

  1. comel. i like i like :)

    ReplyDelete
  2. wow.. so hot in the forest XD

    ReplyDelete
    Replies
    1. Haha.. planning to make it even hotter. maybe in my next one-shot story. :P

      Delete
  3. sis, awak memang owesem.
    10★ for this story d(0.0)b

    ReplyDelete
  4. asflvkahlkg best! suka suka suka!!
    memang susah nak describe tp awak dapat buat yang terbaik! tahniah :)

    ReplyDelete
  5. haha....sweet saja diorang tu :)
    suka, jalan cerita menarik dan tersusun, keep it up :)

    ReplyDelete

Komen-komen korang sangat-sangat dihargai.