Monday 14 November 2011

Mesej rahsia kami : Bab 7

Sepetang bersama Takumi Midou

Mulutku separa terbuka manakala Haru hanya tersengih-sengih sambil memegang bahuku. "Aku tak silap, kan?" Dia menyoal sambil mengangkat kening. Pelajar-pelajar semuanya sedang berpusu-pusu masuk ke kelas masing-masing kerana masa rehat telah pun tamat. Kini, hanya aku dan Haru saja yang sedang berdiri di tengah-tengah laluan koridor di depan kelasnya.

Sebelum sempat aku hendak membalas, dia berpusing dan masuk ke kelasnya. Aku hanya mampu memandangnya dari belakang dengan hati yang risau. Haru dah tahu? Tapi, macam mana? Takkanlah tertulis terang-terang kat muka aku ni yang aku suka Kai?

Aku mengeluh lalu berjalan masuk ke kelasku.  Aku mesti bercakap dengan Haru pasal hal ini. Aku mesti meyakinkan Haru yang dia sebenarnya salah. Aku tak boleh biarkan sesiapa tahu tentang perasaan aku pada Kai. Lagipun, aku masih belum kenal Haru sepenuhnya. Siapa tahu dia ada niat hendak memburukkan aku pada orang lain pula.

Pelajaran hari itu kuikuti dengan hati yang tidak senang.


Dari jauh aku terpandang Takumi sedang bersandar di pagar sekolah sambil memegang begnya. Dia melambai kepada beberapa orang pelajar lelaki dan perempuan yang menegurnya sambil tersenyum. Senyuman yang berkarisma itu memang berupaya menarik perhatian sesiapa sahaja yang memandang. Dia juga mengenakan kaca mata apabila tidak bermain bola. Aku dengar Takumi pernah dilantik menjadi ahli jawatankuasa pelajar dulu namun dia menolak kerana ingin menumpukan perhatian sepenuhnya sebagai kapten bola sepak. Disebabkan dialah pasukan bola sepak sekolahku semakin aktif dan banyak kali memenangi perlawanan-perlawanan dengan sekolah-sekolah lain.

Takumi menoleh dan terpandangku yang  sedang berjalan dengan tenang ke arahnya. Aku menanggalkan tali leher dan menarik keluar sebahagian kemeja putihku dari dalam seluar. Kini aku pasti aku kelihatan 100 peratus seperti budak nakal sekolah. Ah... lantaklah!

Takumi berdiri tegak dan mengukir senyuman dan aku hanya membalas dengan mengangkat tangan.

"Jom. Kita naik tren." Katanya.

"Kapten, kita sebenarnya nak pergi mana?" Aku bertanya sambil mengekorinya ke arah stesen keretapi berdekatan.

Takumi memandang ke arahku sekilas. " Kau ni.. kita dah kat kat luar sekolah. Tak payahlah panggil aku kapten. Panggil aku Takumi je dah la." Katanya.

"Err.. ok." Aku membalas teragak-agak.

"Aku sebenarnya nak beli stoking bola baru untuk semua pemain kita pakai duit kelab. Duit kita ada banyak, jadi aku rasa elok juga kalau kelab boleh bagi sesuatu untuk pemain-pemain sekolah kita. Sebagai inspirasi dan saguhati."

Aku mengangguk tanda faham, namun... "Tapi, bukan ke beli-beli barang ni kerja pengurus pasukan?" Aku menyoal mengingatkan pengurus pasukanku, Mika Asatani.

"Budak perempuan tu tak berapa boleh diharap sangat. Dia selalu cuai." Balas Takumi selamba.

Hahaa... kalau macam tu, kenapa ambil dia jadi pengurus sejak awal-awal lagi?

"Kenapa? Kau tak suka keluar dengan aku?" Takumi menyoal sambil menjelingku dari kaca matanya. Jarinya menolak bingkai hingga rapat ke hidung.

Eh?

"Taklah. Aku tak kisah." Aku membalas sambil tersenyum. Aku tak menipu. Aku memang senang dengan kaptenku ini, tapi sebelum ni, kami tak pernah pula keluar berdua macam ni saja. Bukannya aku rasa resah tapi, aku tak dapat mengelak dari berfikir macam-macam. Takumi bergaduh dengan kawan-kawan diakah? Tak mungkin...! Dia memang disukai ramai. Atau mungkinkah dia suka pada salah seorang budak perempuan dalam kelas aku dan sengaja ajak aku keluar sebab nak bertanya tentang budak perempuan tu? Yang ini pun macam mustahil jugak sebab semua orang tahu aku memang tak rapat dengan perempuan. Jadi, tak ada gunanya dia nak tanya aku.

"Kenapa muka kau berkerut serius macam tu?" Aku tersentak apabila Takumi menegur.

"Tak ada apa-apa. Hahaa.." Aku ketawa kecil.

Aku dan Takumi tiba di stesen yang agak sesak dengan pelajar-pelajar yang baru pulang dari sekolah serta orang ramai. Aku dan Takumi berdiri sebelah-menyebelah menunggu tren tiba di platform dengan senyap. Disebabkan aku memang tidak pernah bersosial dengan dia, jadi aku memang langsung tidak tahu apakah topik perbualan dengannya selain daripada topik permainan bola sepak.

Nak cakap apa dengan dia ni, agaknya? Aku menggaru-garu leherku yang tidak gatal itu sambil mengeluh sedikit.

Mataku tiba-tiba terpandang sesusuk tubuh seseorang yang aku kenali di paltform tren itu. "Kai?" Mataku membesar melihat Kai sedang berdiri berseorangan sambil berbual-bual dengan seseorang di telefon bimbit. Dia kelihatan terangguk-angguk tanpa mempedulikan suasana yang agak bingit di platform. Jelas sekali dia langsung tidak perasan dengan aku yang berdiri hanya beberapa meter daripadanya.

"Apa dia buat kat sini..? Dia kata nak pergi ambil Gen di tadika." Aku bergumam sendiri. Terlupa seketika dengan kewujudan Takumi di sebelahku ketika itu, aku mahu menghampiri Kai dan menyapanya.

"Ryoki?" Takumi memanggilku.

"Ah.. ya.. kejap. Aku nak pergi jumpa kawan aku..." Aku cuba meminta diri namun belum sempat aku menghabiskan kata-kata, tren mula tiba di stesen dan orang ramai juga sudah berkumpul dan berbaris di hadapan pintu tren. Lenganku sendiri dicekak oleh Takumi dan dia menarikku ke pintu. Kai juga semakin tenggelam dengan orang ramai, namun aku amat pasti dia juga masuk ke dalam tren yang sama tadi. Kami tidak dapat mendapat tempat duduk dan terpaksa berdiri sambil memegang pemegang yang tergantung di langit keretapi. Aku berdiri di sebelah Takumi dengan hati yang resah memikirkan mengapakah Kai berada di stesen tren yang menuju ke pusat bandar dan bertentangan dari haluan ke rumah kami.

Aku tahu mukaku semakin berkerut kerana Takumi begitu lama memandang mukaku dari sisi. Tapi, aku tidak peduli. Bukannya aku berasa curiga dengan Kai, tapi aku masih rasa aneh. Selalunya dia akan beritahu padaku kalau dia nak buat sesuatu. Mungkinkah dia terlupa?

Keretapi itu berhenti di satu stesen dan ianya semakin padat dengan manusia-manusia yang baru masuk dari stesen itu. Tak ramai pula orang yang turun di stesen ini. Aku semakin lemas.

"Kau okey ke, Ryoki?" Takumi menyoalku. Aku menoleh. Nampaknya, dia berdiri semakin dekat denganku. Mungkin badannya tertolak ke arahku kerana orang semakin ramai. Dapat kulihat garisan lehernya dengan jelas sekali sekarang.

"Okey. Mungkin sebab aku jarang naik tren waktu padat macam ni jadi aku kurang selesa." Aku membalas tenang. Ya... aku memang rasa pening sikit.

"Kau nak bersandar?" Takumi menyoal lagi. Prihatin betul kapten aku ni.

"Takpe. Lagipun, mana nak cari tempat bersandar."

Takumi menatap mukaku. "Kau sandar dekat aku saja."

Aku kembali memandang wajah Takumi memastikan telingaku tidak tersalah dengar. "Ya?"

Tanpa semena-mena, Takumi memeluk pinggangku dan menarik badanku supaya bersandar di badannya. Tangannya memeluk pinggangku dengan mukaku sedang terlekap di lehernya. Aku benar-benar terkejut sekarang. Tak sangka Takumi akan buat macam ni.

"Tak apa.." Aku cuba menolak, namun disebabkan kedudukan aku sudah beralih, beberapa orang yang berdiri berdekatan aku juga semakin berhimpit-himpit. Kini, aku tidak dapat berganjak lagi dan terpaksa melekapkan badanku ke badan Takumi.

Aku malu. Kalaulah orang nampak kedudukan aku dan Takumi yang macam ni dan fikir yang bukan-bukan...

"Relaks Ryoki." Bisik Takumi di telingaku perlahan. "Keretapi ni tengah padat sekarang. Kalau kau asyik meronta-ronta, nanti orang marah."

"Emm.." Aku bergumam dengan senyap dan cuba berdiri dengan tenang. Aku memandang sekeliling. Ternyata semua orang juga sedang berdiri rapat dan berhimpit-himpit antara satu sama lain, jadi tak janggallah kalau aku juga terpaksa berdiri macam ni dengan Takumi. Mereka juga langsung tak pandang ke arah kami.

Tapi masalahnya... kedudukan Takumi sekarang ni seolah-olah dia sedang peluk aku! Sebab tulah aku malu.

Keretapi akhirnya tiba di satu lagi stesen dan orang ramai juga sudah mulai turun. Tren itu juga sudah mulai lapang lalu aku mengambil kesempatan meloloskan diri dari 'pelukan' Takumi. Aku berdiri dengan tenang di sebelahnya semula.

"Lagi satu stesen, kita sampai." Katanya lalu aku mengangguk laju.


Aku dan Takumi berjalan masuk ke sebuah kedai alatan sukan di sebuah pusat membeli-belah. Dia begitu asyik membelek-belek beberapa pasang stoking berjenama Adidas dan Chronos sambil berbual-bual dengan seorang jurujual lelaki. Aku pula mengambil kesempatan berjalan-jalan di dalam kedai itu tanpa ada niat hendak membeli sesuatu. Biarlah Takumi saja yang memilih. Kalau dia minta pendapat aku, barulah aku akan tolong.

Sepasang kasut bola berwarna biru gelap yang terpamer di ruang pameran menarik perhatianku. Aku membelek-beleknya dengan hati-hati dan apabila terpandang harganya, terus aku meletakkannya kembali. Kasut bola yang terlalu mahal dan mewah ni memang setakat untuk aku cuci mata sajalah.

"Kau nak beli?" Takumi menyoal dari belakangku tiba-tiba.

"Taklah. Mahal sangat. Kasut yang sekarang pun elok lagi." Aku memandang ke arah jurujual yang sedang berdiri di sebalik kaunter. "Kau beli stoking tadi?" Aku bertanya.

"Dah. Tapi, diorang tak ada stok sekarang. Jadi, aku kena datang balik esok atau lusa untuk ambil." Dia membalas. "Jom pergi makan."

Aku mengangguk. Kami berjalan beriringan ke tingkat 4 ke sebuah restoran keluarga yang menjual pelbagai jenis ramen. Kedai itu agak terpencil di belakang dan kurang mendapat sambutan. Namun, aku cukup suka suasananya. Selepas memesan makanan, aku cuba mencari topik untuk berbual dengan Takumi.

"Lepas tamat sekolah, kau nak buat apa? Masuk universiti?" Aku menyoalnya.

Dia mengangguk. "Ya. Cikgu kata aku layak untuk ambil peperiksaan kelayakan ke Universiti Tokyo."

Wow!! Dia memang pandai. Sama macam Kai.

"Ryoki?" Takumi memanggilku.

"Ya?"

"Kau ada girlfriend tak?"

Oh... nampaknya Takumi dah mula berbual benda-benda serius dengan aku. "Tak ada. Malaslah." Aku menjawab sambil menghirup kuah miso ramenku yang baru saja dihantar pelayan tadi. Boleh tahan juga rasanya.

Takumi kelihatan terangguk-angguk. "Bila nak cari?" Dia menyoal lagi.

"Ermm.. entahlah. Aku malas nak fikir lagi." Jawabku berbasa-basi. Itulah jawapan standard yang aku akan beri setiap kali orang bertanyakan soalan ini padaku. Yelah... selama 17 tahun hidup aku ni, tak pernah sekali pun aku berpasangan. Minat pada perempuan pun aku tak pernah. Sebabnya, dalam hati aku cuma ada Kai saja sejak dulu. Tapi... takkanlah aku nak beritahu orang yang aku suka pada kawan baik aku pula, kan?

Takumi ketawa. "Kau pun fikir nak utamakan pelajaran dulu ke?"

Aku memandangnya hampir tersedak. Kelakar pula dengar ayat dia. "Aku ni nampak macam orang yang rajin belajar ke?"

"Tak." Dia berkata pantas sambil tersenyum.

Aku ketawa kecil. "Nanti-nantilah. Mungkin masih belum jumpa orang yang aku suka." Aku menipu.

Takumi mengukir senyuman. "Masih belum jumpa... baguslah." Dia seperti bergumam sendiri. Aku memandangnya dengan tanda tanya namun dia tidak pula menyambung ayat-ayatnya itu.

"Kau?" Aku menyoal sekadar ingin tahu.

"Aku masih sendiri. Tapi, aku ada orang yang aku suka." Dia membalas.

Aku mengangguk tanda faham. "Dia tahu ke kau suka dia?"

"Tak. Susah rasanya nak beritahu aku suka dia."

Keningku berkerut. Takumi yang selalu berkeyakinan ni pun malu-malu? Adakah perempuan yang dia suka tu bukan orang sembarangan? Aku tak rasa perempuan akan menolak Takumi kalau dia yang meluahkan perasaannya.

"Kenapa susah? Kau lelaki yang hebat dan disukai ramai. Mesti ramai perempuan yang berebut-rebutkan kau." Aku menyuarakan fikiranku. Tak sangka aku sedang beri nasihat pada seniorku pasal cinta sedangkan aku sendiri pun takut dengan perasaan aku.

Takumi tunduk merenung mangkuk ramen di atas meja. "Perempuan... emmm."

Keningku makin berkerut. Kenapa Takumi seperti menunjukkan wajah yang sengsara di depan aku ni? Hatiku semakin berkobar-kobar hendak tahu siapakah perempuan yang disukainya. Namun, kami tidaklah serapat itu untuk aku bertanya lebih lanjut.

"Kau rasa aku lelaki yang hebat?" Dia tiba-tiba menyoal.

Eh?

"Ya. Kau pandai main bola, bijak, berkeyakinan.." Aku memujinya. Biar dia seronok sikit. Manalah tahu, pujian aku ni boleh jadi rasuah nanti. Bolehlah aku terpilih dalam perlawanan lain yang akan datang nanti. Aku tersenyum sendiri dalam hati.

"Jadi, kalau kau ni perempuan, kau akan suka aku?" Dia menyoal pantas. Terjojol mata aku dibuatnya apabila dia menyoalku begitu. Biar betul kapten aku ni...

"Err... ye la kut." Balasku sambil menggaru-garu leherku yang tidak gatal. Pelik pula bercakap topik macam ni dengan dia. Aku ingatkan Takumi jenis lelaki yang serius dan tak suka bercakap topik-topik begini.

Takumi tersenyum.

Aku melemparkan pandanganku ke pintu masuk restoran apabila sepasang lelaki dan perempuan masuk ke dalam. Jantungku tersentap kerana aku kenal dengan lelaki itu. Lelaki itu ialah Kai, kawan baik aku.

Kelihatan perempuan itu sedang memeluk lengan Kai sambil tersenyum-senyum dan mereka berjalan ke sebuah meja yang agak jauh dari mejaku dan Takumi. Aku mengelipkan mata beberapa kali memastikan aku tidak tersalah lihat dan kini kupasti lelaki yang aku nampak itu benar-benar ialah Kai. Dia masih tidak nampak aku dan Takumi nampaknya.

Kai keluar dengan perempuan? Tapi, dia tak pernah beritahu aku dia dah ada girlfriend. Perutku memulas tiba-tiba dan aku terasa saluran darahku seperti tersekat. Jantungku tersentap dan berdegup kencang sekali.

Aku sedar Takumi sedang bertanya sesuatu padaku namun aku tidak dapat menumpukan perhatian kepadanya lagi. Kepalaku hanya penuh dengan seribu tanda tanya dan rasa tidak senang hati yang teramat sangat.

-bersambung-

:: aku tak sure pasal bab ni sebab aku memang taktau apa lelaki selalu bualkan bila diorang keluar sama-sama.

3 comments:

  1. what i think:
    Takumi --> Ryoki --> Kai --> this can be Sora
    haha whatever it is, you story is unpredictable

    p/s: dorang suka borak pasal isu semasa dan perempuan. hehe

    ReplyDelete
  2. hhahaa really great >< i 'll will continue read >< my mind full of this story >< tidakkk kick dooor ^^...aww sumimasen hehehe err bila baca this episod emm ano vicky have something prob or busy ? i feel s,t ..it's ok if xde ^_^

    ReplyDelete
  3. takumi!!!!
    please find a girlfriend...
    don't kacau2 my ryoki XD

    ReplyDelete

Komen-komen korang sangat-sangat dihargai.