Saturday 14 January 2012

Mesej Rahsia Kami : Bab 12

Pergaduhan di luar padang

Dari jauh aku melihat dua orang pemain Kuwato yang menerima 'upah' daripada Jin dan Nao tadi sedang berjalan menuju ke padang dengan gelak tawa yang amat menyakitkan hati. Tanpa teragak-agak, aku menghalang laluan mereka dengan menghentakkan kakiku ke dinding koridor dan merenung kedua-duanya dengan pandangan mata yang bengis. Aku memang marah. Kedua-dua mereka ni termasuklah senior-senior aku tu mesti diajar cukup-cukup. Peduli apa aku dengan status 'senior' tu!

"Apa masalah kau ni? Ke tepi!" Salah seorang daripada mereka yang  berambut agak panjang melebihi kolar baju memandangku dengan curiga. Keningnya terangkat-angkat lagak samseng dengan suara yang sengaja digaraukan.

"Kau berdua ingat aku tak tahu? Korang sengaja cederakan pemain sekolah kami tadi, kan?" Aku menyoal berani dengan kaki yang masih terletak di dinding. 

"Apa kau merepek ni? Dah kalah tu tak puas hati ke?" Seorang lagi pemain Kuwato yang berambut lebih pendek dan berbadan agak tegap mencelah. Dia menjelingku tajam nampak amat kurang senang.

Aku masih merenung mereka dengan serius. "Banyak ke upah yang korang dapat tu, hah? Lepas ni bolehlah makan besar, kan? Memang takde maruah langsung." Aku menyindir pedas sekaligus meningkatkan kemarahan lelaki berambut panjang. Dia menghampiriku cuba mencekak bajuku. Aku tahu kalau aku tidak berhati-hati, dia akan melayangkan penumbuknya ke mukaku ini. Lalu aku pantas berundur setapak dan kali ini kakiku diturunkan ke lantai semula.

Dua manusia ni nak bergaduh dengan aku? Silakan! Mereka ni memang tak tahu yang aku ni jaguh bertumbuk masa di menengah rendah dulu.

Dan firasatku memang tepat. Lelaki berambut panjang mengerling ke arah kawannya supaya dia juga menghampiriku. Kedua-dua mereka tampak agak marah dan mahu menyerangku. Sepantas kilat aku mengangkat kaki membuat tendangan sisi ke perut lelaki berambut panjang lalu dia tertunduk senak. Rakannya pula dengan lagak marah meluru laju ke arahku dan cuba menumbuk wajahku namun aku dengan cepat berpusing lalu mencekak lengannya dan melipatnya ke belakang. Kemudian aku menghentakkan badan dan mukanya ke dinding lalu mengunci pergerakannya. Rakannya, si lelaki berambut panjang tadi hanya terduduk kaku di lantai.

"Hei, kami cuma diberi upah. Kalau nak belasah, pergilah cari dua pemain sekolah kau tadi tu." Lelaki berambut pendek yang melekap di dinding bersuara termengah-mengah.

"Aku tahu. Dua ekor tu pun memang akan kena dengan aku nanti. Sekarang, aku nak kau berdua ikut aku berjumpa dengan kapten pasukan aku. Dia akan uruskan macam mana nak beritahu kapten kau berdua pula nanti." Aku mengugut.

Muka kedua-dua pemain Kuwato itu kelihatan pucat. Nampaknya mereka tidak mahu perbuatan mereka diketahui oleh kapten pasukan mereka sendiri. Namun, aku terlalu marah untuk bersimpati lalu dengan cepat aku mengheret lelaki berambut pendek tadi sambil mengarahkan kawannya mengikutku ketepi padang untuk berjumpa dengan Takumi.

Dari jauh kulihat wajah Takumi berubah melihat aku membawa dua orang pemain Kuwato yang kelihatan gelisah itu. Pantas dia berlari ke arahku.

"Kenapa ni Ryoki?" Takumi menyoal.

"Mereka berdua ni diupah oleh dua pemain kita supaya mencederakan Haru tadi." Kataku masih belum melepaskan leher lelaki yang dicekakku tadi.

"Hah?" Kening Takumi bercantum. Dia mula memandang ke arah dua pemain Kuwato itu. "Ryoki, lepaskan dia. Kau tak boleh buat macam tu. Ingat, kita berada di sekolah mereka."

Peduli apa aku!?

Namun aku hanya menurut lalu melepaskan tanganku.

"Betul ke apa yang dia cakap ni?" Takumi menyoal dengan nada yang baik kepada mereka berdua. Kedua-dua mereka berpandangan seketika namun hanya mendiamkan diri.

"Cakaplah, bodoh!" Aku hampir menempik hilang sabar.

"Ryoki!" Takumi meninggikan suara sambil menjelingku tajam memberi amaran kepadaku. Aku serta-merta terdiam, masih menghormati kaptenku itu. Takumi memang jarang sekali menaikkan suaranya.

"Betul ke?" Takumi sekali lagi menyoal mereka berdua disusuli dengan anggukan laju. "Siapa yang upah kamu berdua?"

Kedua-dua mereka kelihatan teragak-agak sebelum memberi nama kedua-dua seniorku tadi itu. "Tapi, kami bukan kenal mereka pun. Mereka yang datang jumpa kami dan suruh kami langgar budak tadi dan mereka akan beri kami upah."

Takumi menghela nafasnya berat.

"Kapten, kita patut ajar Yamase dan Tokito tu. Dua orang ni pun sama." Aku memprovok.

"Ryoki, aku faham perasaan kau sebab kau rapat dengan Haru. Tapi, perkara ni bukan main-main. Kau sepatutnya tak boleh buat macam tu pada pemain-pemain Kuwato ni. Jangan ikutkan perasaan kau tu." Kata Takumi sambil mengerling ke arah wajah lebam si lelaki berambut pendek yang aku hentak ke dinding tadi.

"Tapi..." Aku cuba mencelah tidak berpuas hati.

"Aku akan laporkan perkara ni pada kapten pasukan Kuwato dan dialah yang akan ambil tindakan ke atas mereka berdua. Aku tak akan masuk campur urusan pasukan Kuwato dan kita akan serahkan pada kapten mereka. Dan untuk Yamase dan Tokito, aku sendiri akan putuskan apa hukuman terhadap mereka lepas aku dengar dari mereka pula." Sambung Takumi dengan tenang.

Aku mengeluh sedikit namun aku tahu kata-kata Takumi memang benar. Mungkin aku yang emo terlebih.

Urusan pada petang itu diselesaikan dengan cara yang amat baik dan berdiplomasi. Takumi berjumpa dengan kapten pasukan Kuwato yang telah berjanji akan menguruskan perkara itu. Masing-masing juga berjanji akan terus berdamai dan tidak akan melibatkan perkara ini dalam perlawanan-perlawanan yang akan datang. Semua orang kelihatan amat profesional kecuali aku. Tapi, bila difikirkan balik, kalau aku tak buat macam tu, tiada siapa akan tahu hal ini.

Aku mengerling ke arah Jin dan Nao yang hanya tertunduk setelah bercakap dengan Takumi. Kai dan Haru juga turut mengetahui perkara itu setelah mereka keluar dari bilik rawatan.


"Terima kasih, Ryoki. Aku tak sangka kau ambil berat pasal aku." Haru tersenyum apabila kami bertiga berjalan perlahan-lahan ke stesen tren yang terletak beberapa ratus meter dari Sekolah Tinggi Kuwato itu. Matahari semakin mencecah ke ufuk barat dan warna oren mula mewarnai langit menandakan senja semakin menjelang.

"Hemm. Tak adalah. Kebetulan je aku terserempak dengan mereka tu." Kataku cuma menyembunyikan sedikit rasa gembira di hati mendengar ucapan itu dari Haru. Rasa macam hero pula aku hari ni.

"Ryo, kau ni memang takkan mengaku kan? Kau memang lelaki yang ambil berat pasal kawan-kawan." Kai pula mencelah sambil ketawa terkekeh-kekeh.

"Mana ada! Perasanlah kau ni!" Aku marah dengan muka yang merah.

"Hahaa... muka dia dah merah. Comelnya!" Haru pula mengusik.

"Bodohlah kau ni!"

"Betul. Ryo memang comel. Comel sampai aku rasa nak cium..." Kata Kai sebelum dia mematikan kata-katanya dengan segera dan begitu juga dengan langkahku dan Haru. Kami berdua berpusing memandang ke arah Kai yang kini terdiam dengan wajah yang sedikit merah itu.

Sepantas kilat aku mula teringat peristiwa CPR di tepi sungai beberapa malam lalu dan kini muka aku pula naik merah. Tapi... kenapa Kai cakap macam tu? Mana ada lelaki cakap macam tu pada kawannya. Kalau orang biasa, mereka akan rasa geli kalau diusik macam tu, tapi, bila Kai cakap yang dia rasa seperti nak ci...cium aku, aku yakin aku takkan boleh tidur lena malam ni.

"Hooo... apa ni? Kenapa senyap sunyi pulak ni?" Haru mencelah mematikan suasana janggal itu. Dia mengangkat kening tanda curiga dan aku tahu otaknya itu mula memikirkan sesuatu. Sesuatu yang kurang enak.

Namun, aku dan Kai hanya terus berjalan tanpa berkata sepatah pun. Soalan Haru kami biarkan. Biarlah dia menggunakan imaginasinya sendiri.

"Hei, apa ni! Ada sesuatu terjadi antara korang berdua ke?" Haru menjerit dan berlari-lari anak mengekori aku dan Kai yang semakin jauh meninggalkannya. "Hoi, jangan laju sangat! Aku sakit kaki ni!"

Kami bertiga terus berjalan menuju sambil disuluh cahaya oren matahari yang semakin terbenam itu. Suasana senja kelihatan amat cantik dan memukau membuatkan kami akan sentiasa terkenangkan saat ini, bersama-sama kawan-kawan di alam persekolahan sambil meniti usia remaja kami.

Tiada sesiapa pun di antara kami tahu yang keesokan harinya merupakan permulaan peristiwa yang bakal mengundang tragedi dan akan menggugat persahabatan dan perhubungan kami kelak.

-bersambung-
teringat anime Kimi to Boku masa karang bab ni

2 comments:

  1. wuuu ><> >< da lama x bkk blog>< asyik teringt2 je kat citer ni kyaaa terbaek mmg cool la ryoki * alangkah baeknya klu aku dpt kawang camni * tpi mmg ssh llo T_T heheeh...i like your novel vicky ^0^

    ReplyDelete
  2. silap2 akan jadi mcm Nobuta wo Produce

    ReplyDelete

Komen-komen korang sangat-sangat dihargai.