Tuesday 8 November 2011

Mesej Rahsia Kami : Bab 5

Haru Matsuda

Petang yang cukup damai dan tenang. Awan putih berarak di atas langit menutup warna langit biru yang cerah. Tidak ada tanda-tanda hujan hendak turun hari ini nampaknya. Aku melonjak-lonjak sedikit sambil mengangkat kedua-dua belah lututku hingga ke dada. Selepas itu aku meregang-regangkan tubuhku sambil bersenam-senam sedikit. Seluar tiga suku yang kupakai memang longgar hingga terasa angin masuk ke dalamnya. Kesimpulannya, amat selesa untuk bermain bola petang itu. Aku sekarang sedang menghadiri aktiviti kelabku iaitu kelab bola sepak.

Aku terduduk di atas padang sambil melunjurkan kedua-dua belah kakiku ke hadapan. Kemudian aku tunduk cuba memegang hujung kasutku dengan hujung jariku. Pinggangku terasa sedikit lenguh, namun aku masih bertenaga. Tidak lama kemudian, telingaku menangkap bunyi tiupan wisel dari tengah padang.

"Semua orang, berkumpul di sini." Jerit kapten pasukanku, Takumi Midou. Dia ialah seniorku di tahun 3 yang memang handal bermain bola sepak. Memang ayam tambatan sekolah. Dengan kaki yang panjang dan rupa yang kacak, tidak hairanlah dia begitu popular di kalangan pelajar-pelajar perempuan. Aku menjeling ke arah beberapa orang perempuan yang sedang berdiri di tepi padang sambil bersorak-sorak. Memang penggacau!

"Aku akan bahagikan korang kepada dua kumpulan dan kita akan buat perlawanan hitam putih petang ni. Kalau ada yang bagus, aku akan serapkan dia masuk ke pasukan sekolah untuk perlawanan persahabatan dengan Sekolah Tinggi Kuwato minggu depan. Pelajar tahun satu pun ada peluang untuk terpilih, jadi mainlah betul-betul." Suara Takumi lantang memberi arahan. Pengurus pasukan kami, iaitu seorang pelajar perempuan tahun tiga berdiri dengan senyap disebelahnya. Takumi kemudian membacakan beberapa nama dan membentuk Pasukan A dan B. Aku tersenarai dalam Pasukan B.

"Ryoki!" Kedengaran suara Takumi memanggil namaku.

"Ada apa?" Aku menyoalnya.

"Main betul-betul. Aku cadang nak masukkan nama kau dalam pasukan." Katanya sambil menepuk bahuku perlahan dan melontarkan seulas senyuman.

Aku mengangguk tanpa senyum walaupun dengan hati yang berbunga-bunga. Memang sudah lama aku hendak bermain dalam pasukan sekolah dan kalaulah kapten sendiri berkata begitu, mungkin dia dapat nampak kelebihan aku. Sejujurnya, inilah pertama kali aku begitu bersungguh-sungguh melakukan sesuatu. Kalau dulu, aku hanya bersikap acuh tak acuh saja melakukan sesuatu, termasuklah dalam kelab Judoku ketika di sekolah menengah rendah dulu. Namun kini, aku sedar yang aku mesti serius dalam sesuatu. Serius seperti aku serius terhadap Kai. Aku akui, disebabkan Kai jugalah aku banyak berubah. Alam sekolah tinggiku ini amat berbeza dengan duniaku ketika di sekolah rendah dan menengah rendah dulu.

Wisel dibunyikan dan permainan pun dimulakan. Aku sengaja menunjukkan bakat terpendamku dalam permainan bola sepak dan ternyata ianya membuahkan hasil. Sekejap sahaja aku sudah berjaya menjaringkan gol dengan mudah. Pemain yang lain memang bukan saingan aku. Memang posisi penyerang ialah keistimewaan aku.

"Bagus, Ryoki!" Dari jauh kedengaran Takumi menjerit. Aku cuba menyembunyikan senyumanku dengan mengesat peluh di dahi.

Permainan dimulakan semula namun setelah beberapa lama, corak permainan mulai berubah. Pemain pasukan A mula bertindak kasar kerana dua orang daripada mereka sengaja mengepung seorang pemain pasukanku dan melibas kakinya hingga dia terjatuh tersembam ke tanah.

"Hei, kau okey?" Aku menyoal pemain pasukanku itu. Dia mengangkat mukanya dan memandangku sambil tersenyum sedikit.

"Aku okey." Dia membalas.

Aku kenal siapa dia. Dialah lelaki yang menjadi topik hangat perbualan di forum sekolahku semalam. Aku menghulurkan tanganku dan dia menyambutnya lantas terus berdiri. Seorang lelaki berbadan sedikit rendah daripadaku dengan rambut yang pendek tetapi menyacak. Tubuhnya walaupun kecil namun masih tampak kental seperti dia selalu bersenam dan wajahnya memang agak tampan.

Dia ni... Haru Matsuda. Budak Gay dari kelas 2B.

Aku memandang dua orang pemain yang menjatuhkan dia tadi. Kelihatan mereka sedang tersengih sesama sendiri, lalu aku segera mengesyaki yang mereka sengaja berbuat begitu padanya. Malah, aku perasan juga yang dia telah dipulaukan oleh pemain-pemain lain termasuklah oleh pemain-pemain pasukanku sendiri. Ada yang sengaja tersenyum mengejek memandangnya malah bola juga tidak diberikan kepadanya.

Aku mengetap bibir. Bola kini berada di kakiku dan bila-bila masa saja aku boleh menendangnya ke arah pintu gol. Namun, aku memandang ke arah Haru yang sedang berdiri tercatuk beberapa meter dariku sambil memandang ke arah bola.

"Haru!" Aku memanggil namanya lalu menyepak bola itu ke arahnya. Dia nampak sedikit terkejut namun sekejap sahaja dia sudah tahu apa yang hendak dilakukan. Pantas dia menggelecek bola itu, membawanya ke gawang gol sebelum menyepaknya kencang membolosi benteng penjaga gol itu.

Haru memandangku seketika lalu aku meleretkan senyumanku padanya sambil menunjukkan isyarat thumbs up. Dia juga membalas dan tertunduk sedikit.

Permainan itu ditamatkan tidak lama kemudian dengan kemenangan berpihak pada pasukanku. Takumi juga memuji permainan petang itu dan berjanji akan menampal senarai nama pemain yang layak di papan kenyataan petang esoknya sebelum menyuraikan aktiviti kelabku selepas itu. 

Aku menggosok-gosok leherku menandakan tekakku benar-benar perlu diisi. Peluh yang membanjiri muka dan bajuku ini benar-benar membuatkan aku rimas. Terasa melekit-lekit. Aku segera berjalan ke arah pili air di tepi bangunan berhampiran padang dan membasahkan muka dan tekakku di situ.

"Terima kasih." Seseorang menegurku dari tepi, lalu aku segera menoleh. Haru sedang berdiri di tepiku dengan sehelai tuala kecil dilehernya. Aku tersenyum sedikit dan tunduk memberi tanda 'no problem'. Sesungguhnya, aku memang tahu bagaimana perasaannya apabila disisihkan masyarakat. 

Dia juga membuka pili air di sebelahku dan turut membasahkan wajahnya di situ. Seketika kemudian, aku perasan dia memandang ke arahku. "Kau.. kau tak tahu pasal aku, Ryoki?"

"Tahu. Pasal gosip kau tu, ya? Ianya bukan urusan aku untuk ambil tahu pasal urusan peribadi kau. Aku anggap kau macam kawan sepasukan." Kataku dengan tenang. Wajahku yang basah itu, aku sengaja kesat dengan kedua-dua belah tangan.

Dia mengeluh sedikit sebelum berpusing dan bersandar di pili air. "Bagusnya kalau orang tak tahu pasal ni. Tapi, semuanya dah terlambat." Keluhnya perlahan.

Aku sekadar mengerlingnya tanpa berniat mahu membalas keluhannya itu.

Tomp!

Bunyi sesuatu yang tajam mencucuk pada sesuatu di dinding mengalihkan perhatian kami, lalu aku dan Haru memandang ke arah bangunan berdekatan.

"Bunyi apa tu?" Haru menyoal.

Aku mengukir senyuman. "Itu bunyi budak-budak kelab Kyuudo tengah buat latihan memanah." Kataku lalu berjalan meninggalkannya ke arah bangunan kelab Kyuudo itu. Kyuudo ialah kelab sukan memanah tradisional Jepun dan itu juga ialah kelab Kai. 

Aku dan Haru mengintai dari pintu bilik kelab Kyuudo yang dibiarkan terbuka separuh. Kelihatan beberapa orang pelajar lelaki dan perempuan berpakaian yukata sedang membidik sasaran di papan matto di satu ruang khas yang terbuka di tengah-tengah bilik. Latihan itu diadakan di dojo tertutup dan sekali-sekala sahaja mereka akan memanah di luar.

Jantungku berdebar-debar apabila terpandang Kai yang berpakaian yukata hitam sedang serius membidik sasaran anak panahnya di matto yang terletak beberapa puluh meter dari tempat dia berdiri. Keningnya sedikit berkerut namun wajah seriusnya masih tidak kelihatan masam mencuka. Malah, ianya tampak begitu maskulin ditambah dengan kulitnya yang berwarna coklat itu, menyerlahkan lagi daya tarikan kelakiannya. Aku cuba berlagak tenang, memastikan air liurku tidak meleleh apabila memandang susuk tubuh Kai berpakaian yukata itu. 

Tapi ternyata bukan aku seorang saja yang terpikat. Gadis-gadis kelab Kyuudo itu juga nampak seronok merenung Kai sambil berbisik-bisik sesama sendiri. Panahnya akhirnya dilepaskan dan anak panah itu meluncur laju ke arah papan sasaran.

"Hebatnya!" Puji Haru yang turut memandang ke arah Kai. Aku menjelingnya tidak senang. Jika lelaki lain yang memuji Kai begitu, aku tidak akan berasa apa-apa. Namun memikirkan yang lelaki di belakangku ini ialah seorang gay, membuatkan aku berasa sedikit kurang senang.

Kai menoleh ke belakang lalu terpandang aku dan Haru yang sedang tercongok di pintu bilik kelabnya. Dia tersenyum sambil mengangkat tangan.

****

Kai menukar pakaiannya dan memakai T-Shirt biasa selepas selesai latihan Kyuudonya lima belas minit kemudian. Aku dan Haru duduk di tepi padang menantinya sambil berbual-bual kecil tanpa aku cuba membangkitkan isu homoseksualnya itu.

"Hoi.." Kai menegur dari jauh sambil berjalan menghampiriku dan Haru.

"Aku Haru Matsuda, sama kelab dengan Ryoki." Haru memperkenalkan diri sambil menghulurkan tangannya untuk berjabat.

"Kai Tasuke." Dia membalas lalu mengambil tempat di sebelah Haru.

"Korang sama kelas?" Haru menyoalku di sebelah kanannya. Dia sekarang sedang duduk di tengah-tengah dan diapit oleh aku dan Kai.

"Tak. Kai kelas 2A. Aku kelas 2C."

"Oh... kita semua tak sama kelas." Haru ketawa. Dia sendiri ialah pelajar di kelas 2B.

"Kau.. kau tak apa-apa? Pasal gosip tu?" Kai terus menyoal tanpa mukadimah yang sepatutnya, sedangkan aku begitu beria-ia tidak mahu bercakap perkara itu. Aku menjegil Kai dari belakang kepala Haru sambil membuat muka yang sedikit marah.

Namun, Haru hanya tersenyum. "Okey je. Kawan-kawan aku semua dah lari dari aku. Tak sampai sehari, aku dah jadi famous di sekolah. Semua pelajar dan cikgu dah kenal aku. Aku kena kutuk terang-terang dan hari ni saja dah tiga kali aku jatuh tersembam sebab dilanggar dengan sengaja."

Kai sekadar ketawa. "Kesiannya. Tapi, kau masih boleh senyum macam ni. Kau memang positif dan optimis."

"Taklah. Aku ketawa sebab ada korang berdua kat sini. Rasanya, kalau benda ni tak jadi, aku takkan bercakap dengan korang kat sini." Katanya. Aku dan Kai terdiam sambil memandang sesama sendiri. Betul juga katanya... setiap perkara yang berlaku, mesti ada sebab dan kesannya. Hari ni, aku dan Kai dapat mengenali seorang lagi kawan baru. Entah bagaimanalah dia hendak meneruskan kehidupannya selepas ini di sekolah ni, aku pun tak tahu.

"Jadi... kau memang betul-betul emmm.. gay?" Aku memberanikan diri menyoal.

Haru melontarkan pandangannya ke tengah padang. "Entahlah... apa yang aku tahu, aku suka sangat dengan cikgu Araide sampaikan aku tak sedar aku luahkan perasaan aku pada dia."

"Dan dia reject kau?" Kai menyoal pula. Haru mengangguk.

"Dia ke yang sebarkan pasal ni pada semua orang? Takkanlah kau cakap kat depan orang lain kan?" Aku pula menyambung.

Haru mengangkat bahu. "Tak tahu. Mungkin juga."

Kai mengelus kasar. "Tak patutnya dia tu. Sekalipun dia tolak kau, dia tak patut sebarkan pasal ni pada semua orang. Dia tak patut malukan kau. Jangan-jangan, dia tu homophobic."

Haru ketawa kecil. "Mungkin juga. Mana ada lelaki biasa akan suka kalau lelaki lain yang suka dia. Aku yang silap. Aku tak patut simpan perasaan pada dia." Suaranya kedengaran sedikit sayu dan sedih. Seperti menyesali perasaannya itu.

Telingaku terus berdesing dan kemerahan. Wajahku pula berubah menjadi serius. Kata-kata yang keluar dari mulut Haru membuatkan aku berasa berang. "Kalau kau menyesal dengan perasaan kau, maksudnya kau ni tak seriuslah. Kalau kau betul-betul sukakan cikgu, kau takkan rasa menyesal walaupun dia tolak kau. Manusia memang tak boleh kawal perasaan dia. Tak kisahlah kau suka lelaki ke perempuan ke, kalau kau suka atau pernah sukakan dia, kau tak perlu rasa menyesal." Suara aku naik meninggi tanpa disedari.

Mata Kai dan Haru terkebil-kebil memandang aku seperti seorang anak yang dimarahi ibunya. Pantas aku menutup mulut dengan muka yang merah. Yang aku emosional sangat tetiba ni, kenapa pulak?

"Err... tak sangka Ryoki yang selalu cool ni akan cakap macam ni." Kata Haru tidak lama kemudian dengan wajah yang terkejut.

"Betul... aku pun tak sangka. Kau bercakap macam perempuan yang tengah bercinta. Kau baru lepas baca novel ke, Ryo?" Kai pula mengambil kesempatan mengusik aku yang sudah merah padam ni. Dia ketawa kecil.

Kawan yang tak guna!

"Bodoh!" Aku menyumpah sedikit sambil mengangkat lutut ke atas menyembunyikan mukaku di lutut. Malu sebenarnya sebab aku bercakap macam perempuan.

Tak... sebenarnya aku bengang dengan kata-kata Haru sebab aku takut aku juga akan menyesal kerana menyimpan perasaan terhadap Kai. Kalaulah imej dan reputasi aku lebih penting dari perasaan aku pada Kai, maka aku pasti akan membohongi diri aku lagi... 

Aku terkejut apabila merasakan rambutku diusap-usap seseorang. Pantas aku mengangkat kepala dan terpandang Kai yang sedang tersenyum manis sedang menggosok-gosok kepalaku dari belakang Haru. "Kawan aku ni memang dah dewasa." Katanya. Aku membiarkan saja tangan besarnya mengelus rambut perangku. Perlahan-lahan rasa hangat tangannya itu jatuh dari kepalaku dan masuk ke lubuk hati. Pipiku terasa amat panas.

Pada waktu itu, Haru sedang memandangku dan Kai silih berganti dengan muka yang sedikit berkerut seperti sedang memikirkan sesuatu. Seulas senyuman kemudiannya seperti terukir di wajahnya sebelum dia bergumam sendirian. 

"Hemmm... macam tu rupanya."

-bersambung-

7 comments:

  1. hehehe.rasanya haru dah tau kot perasaan kai n ryo.

    ReplyDelete
  2. nyaaa!~ >///<
    asal aku pulak y malu nih??!! haha

    ReplyDelete
  3. rin: hahaha.. mungkin jugak.
    sora: hahaaa.. :D

    ReplyDelete
  4. haru tu macam tau je. haha. cepat sambung! :D

    ReplyDelete
  5. can't make spekulasi >///< but sugoiii na haru is nice too i love optimis dia tu hmmm ganbaro haru <3 ..but i still love kai ^_^d i hate to know b4 read spoiler la kan hahahah tpi nk baca lagii vicky hayaku chapter6 >0< yohoooo thanks ^_^

    ReplyDelete
  6. kya~~~~~
    jarang nak membaca.. tapi.. sangat tertarik!!!!
    Ryo memang a bit childish, but Kai matured.. sesuai!!!

    ReplyDelete

Komen-komen korang sangat-sangat dihargai.