Monday 31 October 2011

Mesej Rahsia Kami : Bab 2

Denda selepas sekolah

Aku menyental lantai tandas lelaki di tingkat 3 Blok D Sekolah Tinggi Kizuna menggunakan berus tandas sambil menutup hidung. Bau tengik ditambah dengan bau sabun membuatkan tekakku loya dan aku seperti hendak muntah. Aku mengeluh kuat sambil mengangkat badan dan bersandar di dinding dan memandang jam di tangan. Sudah hampir jam 6 petang rupa-rupanya. Perlahan-lahan aku menyeka peluh di dahi sambil menyumpah cikgu Tori di dalam hati.

“Ryo, kau dah penat?” Kai menjengah dari belakang pintu tandas nombor dua. Dia berjalan ke arahku dan turut bersandar di dinding sambil membuang berus di tangannya ke lantai.

“Kau punya pasallah kita kena denda hari ni.” Aku merungut.

Dia menampar bahuku perlahan. “Apa pulak?”

“Hei, jangan sentuh aku dengan tangan kau yang kotor tu! Esok, kau jangan lambat lagi.”

“Tak boleh janji. Kau pun tahu kan, kalau mak aku ada waktu pagi, aku taklah kelam-kabut macam tadi. Aku kena siapkan adik aku lagi untuk pergi sekolah. Nasib baiklah bas tadika dia datang ambil pagi-pagi. Kalau tak, lagi lambatlah sebab aku kena hantar dia pergi tadika dulu.”

Aku tahu. Aku memang tahu situasi Kai. Ibunya bekerja pada waktu malam di sebuah kelab malam di tengah-tengah bandar dan hanya akan pulang selepas dia dan adiknya, Gen ke sekolah. Setiap pagi, Kai akan membantu menyiapkan pakaian adiknya sebelum ke sekolah. Dia tidak akan sempat bersarapan pagi dan sebab itulah aku akan selalu menyediakan makanan pagi untuknya. Alasanku mengatakan yang emak menyediakan makanan pagi berlebihan adalah tidak benar. Sebenarnya, aku sendiri yang sengaja menyediakan makanan untuknya. Kadang-kadang aku akan membawakan bento untuknya juga.

“Yalah. Aku tahu.” Kataku tersengih.

Kai tunduk sedikit memandang mukaku seketika. “Tapi, kalau kau nak pergi dulu pun tak apa.”

Aku pantas menggeleng. “Tak. Aku akan tunggu kau macam biasa. Aku takkan tinggalkan kau.” Aku membalas dengan nada yang merendah. Ya… aku takkan tinggalkan dia. Aku tak boleh tinggalkan dia!

Kai tersenyum sendiri sebelum dia berdiri tegak semula dan berjalan ke arah sinki. “Sambung kerja. Nanti habis lambat.”

Aku turut berdiri tegak mahu menyambung kerjaku semula menyental lantai. Namun, Kai pula memanggil namaku menyuruh aku pergi kepadanya di sinki. Apabila aku mendekatinya, dia sengaja membuka pili air semaksimum yang mungkin dan menekan pancuran air itu supaya air paip terpercik ke arahku.

“Hei!” Aku menjerit bengang kerana baju sekolahku sudah basah kuyup manakala Kai pula ketawa tidak berhenti-henti. Dia masih menekan-nekan pancuran air itu tanpa menghiraukan kemarahanku dan air juga semakin membanjiri lantai tandas.

Tak guna betul dia ni… sempat lagi main-main walaupun hari dah nak senja.

“Dah-dahla tu, woi. Aku dah basah ni.” Aku cuba menepis dan menjauhi Kai namun kali ini dia bertindak lebih agresif dengan menarik lengan baju sekolah aku supaya aku tidak dapat melarikan diri. Tenaganya semakin kuat pula akhir-akhir ini hinggakan aku tidak dapat melepaskan diri walaupun aku sedang meronta-ronta.

“Sejuk kan kena air petang-petang ni?” Katanya tanpa melepaskan lengan bajuku. Budak ni memang nak kena!

“Kai, sebelum aku naik angin lebih baik kau tutup paip air tu dan sambung buat kerja. Kau tahu tak sekarang dah pukul berapa?”

Kai masih ketawa dan aku pula semakin marah. Teringat pula teknik membanting yang aku belajar dari seni mempertahankan diri judo ketika di menengah rendah dulu lalu aku pantas memegang lengannya dengan kedua-dua belah tangan aku. Aku cuba melepaskan pegangan tangannya dan bercadang mahu menarik lengan dan badannya supaya dia akan dijatuhkan ke atas lantai yang basah ini. Hahaaa… biar padan muka dia.

Namun, aku gagal. Teknik judoku nampaknya semakin pudar dan tenaga Kai semakin kuat apabila aku menyedari yang aku tidak dapat menjatuhkan badannya. Sebaliknya, aku hanya menarik badannya merapati aku pula. Wajahnya kini hanya sejengkal dari mukaku dan jika tidak kerana kedinginan dari air di baju sekolahku ini, pasti aku dapat merasai bahang kehangatan di tubuh Kai. Aku sendiri terkejut dan segera melepaskan tanganku dari lengannya. Dan malang tidak berbau kerana aku terjatuh terlentang di atas lantai tandas kerana licin selepas itu.

“Adoi… sakitnya pinggang aku.” Aku mengaduh dengan muka yang berkerut. Wajah Kai langsung tidak kupandang, jadi aku memang tidak tahu apakah reaksinya pada ketika itu. Namun beberapa saat kemudian, kedengaran suara ketawanya bergema di dalam tandas.

“Bodoh, jangan gelaklah.”

“Kau ingat kau boleh jatuhkan aku, Ryo? Aku lagi kuat dari kau sekarang, tau! Aku bukan lemah macam dulu lagi.” Katanya dengan suara yang sedikit riak.

“Sakitlah, bodoh!” Aku masih marah sambil menggosok-gosok pinggangku yang terasa pedih itu. Terseliuh agaknya. Namun seketika kemudian, kemarahanku beransur pulih kerana Kai mula menghulurkan tangannya untuk menarik aku supaya berdiri. Perlahan-lahan aku menghulurkan tangan kananku dan memegang tangannya. Tangannya memang agak besar dan kulitnya yang sedikit coklat itu tampak keperangan disinari cahaya matahari petang dari tingkap tandas. Aku merenung wajahnya yang tersenyum kepadaku. Senyuman tulus seperti senyumannya ketika awal pertemuan kami pada tujuh tahun lalu. Aku terpana. Adakah normal seorang lelaki perlu berasa terpegun sebegitu apabila melihat lelaki lain?

“Seronok ke duduk lama-lama atas lantai tu?” Dia menyoal setelah menyedari aku masih belum mahu bangkit dari lantai.

Senyuman sinis dan fikiran nakal mula menjelma lalu aku pantas menyentap tangannya dan menarik Kai hingga dia terjatuh ke lantai. Kini dia juga sudah basah dengan wajah kemerahan kerana terkejut.

Aku pula ketawa sekuat hati. Puas hati aku sekarang!


Kai menjeling-jelingku dari sisi sambil mengangkat beg sekolahnya ke atas bahu. Aku turut membalas jelingannya dengan pandangan mata maut aku.

“Apa? Tak puas hati? Nak bertumbuk?” Aku menyoal garang kerana aku sedar yang dia marah kepadaku kerana menariknya jatuh ke lantai. Kini kami berdua sedang berjalan keluar dari pintu pagar sekolah dengan baju sekolah yang basah kuyup.

Dia mengecilkan matanya merenung aku sebelum sengaja menarik beg sekolahku supaya terlucut dari bahu. Kemudian dia berlari laju meninggalkanku supaya aku tidak sempat membalas perbuatannya itu.

“Ryo, jumpa esok.” Kai berkata sebaik sahaja kami tiba di hadapan pintu pagar rumahku.

“Ya. Jumpa esok.” Aku membalas sambil mengangkat tangan sebelum aku mula menyedari sesuatu. “Kai!” Aku menyeru namanya dan dia segera menoleh.

“Hmm?”

“Esok… esok kau nak makan apa?” Aku menyoal sedikit gugup.

Kai merenung aku lama sebelum dia mula tersengih. “Apa saja yang kau buat, aku akan makan.” Dia membalas. Merah padam mukaku untuk seketika mendengar jawapannya itu.

Kai… memang baik.

“Tapi macam biasa, jangan letak bawang putih.” Dia sempat melaung dari jauh.

-bersambung-

No comments:

Post a Comment

Komen-komen korang sangat-sangat dihargai.