Sunday 4 December 2011

Mesej rahsia kami : Bab 9

Kemarahanku dan ciuman pertamanya

Bunyi wisel bergema di seluruh padang. Latihan bola sepak ala-ala Sparta telah bermula. Takumi telah menyiapkan jadual latihan setiap petang dan dia memang sangat serius dan berdedikasi ketika di padang. Aku sendiri bukan lawannya ketika dia beraksi.

"Ryoki!" Haru memanggilku selepas latihan tamat pada satu petang. Hari ini ialah hari ketiga latihan kami diadakan dan aku akui pasukan bola sekolahku bertambah mantap.

"Apa dia?" Aku bertanya sambil meneruskan jalanku ke tepi padang. Haru berlari-lari mengekori di belakangku.

"Kau dengan Kai bergaduh?" Haru menyoal cepat.

Aku menjelingnya tajam. "Bila masa pulak aku bergaduh dengan dia?"

"Kai bagitahu aku yang kau macam marah pada dia semenjak dua ni."

"Merepek. Aku penatlah balik dari latihan tiap-tiap petang." Aku membalas acuh tak acuh. Kai beritahu Haru aku marahkan dia?

Haru menarik tanganku agak kasar memaksaku berhenti dan memandangnya. Kini aku mula naik darah. "Apahal kau ni?" Habislah... sikap panas baran aku datang semula.

"Aku langsung tak faham dengan perangai kau ni, Ryoki. Kai takkan telefon aku malam-malam buta semata-mata nak cakap yang kau tengah marahkan dia tak bersebab. Dia tengah susah hati sebab dia tak tahu apa salah dia." Suara Haru sedikit meninggi.

Tak tahu salah dia? Aku mula naik geram. Aku mungkin agak emosional sejak akhir-akhir ini dan sejujurnya aku takkan jadi semarah ini kalau Kai berterus-terang beritahu aku yang dia dah ada girlfriend (walaupun mungkin aku sendiri akan patah hati) tapi, kenapa dia perlu menipu aku? Adakah selama ini dia tak anggap aku sebagai kawan yang penting?

Sejak hari Sora Iwase masuk ke kelasku, aku sudah mengelak dari Kai. Panggilan telefonnya tidak kuangkat, SMSnya lambat-lambat kubalas malah aku sengaja bertolak awal ke sekolah dan memberi alasan yang aku mahu bertemu Takumi untuk perbincangan latihan bola setiap pagi.

"Kan aku dah cakap, aku penat. Mana ada aku marah pada dia." Aku membentak sambil menepis tangan Haru kasar.

"Ryoki, kau..." Haru melaung sejenak sebelum dia menutup mulutnya. Aku perasan yang matanya sedang merenung seseorang di tepi padang. Aku menyoroti pandangan matanya dan terpandang Kai sedang berdiri di tepi padang sambil menggalas beg sekolahnya. Wajahnya kelihatan kemerahan menahan panas petang dan peluh keringat membasahi baju sekolahnya di petang musim luruh ini.

Kai? Dia tunggu aku habis latihankah?

Aku berjalan perlahan-lahan menghampirinya. Aku tahu yang aku sudah tidak ada alasan lagi hendak mengelak daripadanya. Sekarang aku perlu mencipta seribu satu alasan yang perlu dijelaskan padanya. Dan pastilah alasan 'cemburu' tidak akan termasuk di dalam senarai.

Hanya beberapa meter aku daripadanya, tiba-tiba seorang gadis berlari-larian menghampiri Kai sebelum mencekak lengannya. Langkahku terhenti mendadak dan aku sekadar memandang Kai sedang bercakap dengan Sora dari jauh. Gadis itu menarik-narik lengan Kai ke satu arah dan nampaknya Kai agak keberatan untuk mengikutinya. Dia memandang ke arahku dengan wajah yang runsing. Aku tahu dia mahu menemuiku. Untuk seketika, aku ingin sekali menghampiri mereka dan menarik Kai menjauhi Sora, namun aku tahu yang aku tidak boleh berbuat begitu.

Aku mengelus nafas lemah dan terus membelok menjauhi mereka berdua. Aku mengatur langkah ke arah pili air dan dari ekor mataku aku nampak Kai berjalan mengekori Sora ke satu arah bertentangan. Aku sengaja membiarkan kepalaku dibasahi air lama-lama.

"Sebab perempuan tu ke?" Haru tiba-tiba menyoal dari belakangku. Aku terkejut. Nampaknya budak ni memang penyibuk, malah amat sensitif juga.

"Apa kau merepek ni?" Aku bertanya lalu menutup pili air dan mengibas-ngibas rambutku yang basah.

"Ryoki, aku dah tahu. Kau tak boleh nak sembunyikan benda ni daripada aku." Dia berkata dengan nada yang lembut seperti memujuk.

Aku menjelingnya tajam.

"Kau suka kat Kai, kan?" Soalan itu akhirnya terpacul keluar dari mulut Haru.

Mukaku bertambah panas. "Mengarut! Kau ingat aku ni sama macam kau? Aku bukan gay!" Aku menengking dengan suara yang ditahan-tahan. Pantas aku menolak tubuh Haru menjauhiku lalu terus aku berlari menjauhinya tanpa menghiraukannya langsung. Jauh di sudut hati, aku rasa amat bersalah pada dia. Haru hanya mahu membaik pulih hubunganku dengan Kai. Aku tahu semuanya memang salah aku. Tapi, aku masih belum bersedia untuk mengakuinya. Aku tak mahu sesiapa pun tahu tentang perasaan aku pada Kai.


Malam itu telefonku berdering lagi. Nama Kai terbit di skrin namun aku sekadar mencampakkannya ke bawah bantal. Setelah beberapa lama telefonku berhenti berdering. Nampaknya dia telah mengalah juga. Aku sekadar merenung siling memikirkan perbuatanku pada Haru. Aku mesti minta maaf pada dia esok.

Baru saja aku hendak terlelap, kedengaran tingkap bilikku berbunyi seperti dilontar batu. Pantas aku bangkit dengan hati yang cuak. Seseorang sedang melontar batu-batu kecil ke tingkap bilikku dan sekali-sekala kedengaran bunyi loceng basikal dibunyikan. Aku menghampiri tingkap dan membukanya dengan berhati-hati. Seketul batu tepat mengenai pipiku.

"Sakitlah, bodoh!" Aku hampir menjerit apabila terpandang Kai sedang berdiri di hadapan rumahku sambil menuntun sebuah basikal di bawah sinaran lampu jalan. Tingkap bilikku betul-betul menghala ke hadapan rumahku.

"Ryo, turun sekarang." Dia mengarah dengan wajah yang serius.

"Kau tahu tak sekarang dah malam?" Aku melaung.

Dia mengetap bibirnya sebelum membunyikan loceng basikalnya berulang-ulang kali. Perangainya memang tak pernah berubah sejak kecil.

"Wei, berhentilah. Nanti jiran marah!" Aku menegah namun dia tidak peduli. Loceng basikal semakin kuat dibunyikan. "Yalah-yalah. Aku turun sekarang. Jangan bising lagi!" Kataku lalu menutup tingkap dan mencapai jaketku yang tersangkut di dinding. Loceng basikalnya sudah tidak berbunyi lagi.

Aku menghampirinya dan bersandar di pintu pagar. "Kau nak apa?" Aku menyoalnya.

"Ikut aku kejap." Dia mengarah lagi.

"Nak pergi mana malam-malam ni?" Aku menyoal terperanjat.

Dia menjelingku sedikit sebelum dengan selamba membunyikan loceng basikalnya semula.

"Yalah! Aku ikut kau!" Aku berkata pantas sambil memandang sekeliling. Takut juga jiran-jiran sekeliling mula naik marah dan mula membaling keluar periuk dan kuali ke arah kami.

Aku dan Kai berjalan ke sungai tempat aku dan dia selalu melepak semasa kami kecil dahulu dengan senyap. Basikalnya ditinggalkan bersandar di tembok rumahku. Dia melabuhkan punggung di atas rumput di tepi sungai yang tenang itu. Alirannya amat perlahan dan bunyi cengkerik kedengaran berlagu-lagu pada malam itu. Aku turut duduk di sebelahnya.

"Kau marahkan aku ke?" Dia membuka mulut akhirnya.

"Taklah." Jawabku berbasa-basi.

"Tipu. Aku kenal kau, Ryo. Kau memang marahkan aku, kan?"

Hurmm... budak ni, nampaknya masih tak sedar apa sebabnya aku naik bengang dengan dia.

"Sora Iwase. Dia kawan kau kan?" Aku akhirnya bertanya.

Mulut Kai terbuka sedikit sebelum dia mengangguk. "Ya. Dia kawan aku di Osaka. Sekarang dia dah pindah ke sini. Sama kelas dengan kau, kan?"

"Kenapa kau tak pernah beritahu aku pasal dia sebelum ni?" Aku menyoal.

"Hah? Kau marahkan aku pasal dia ke? Aku rasa aku tak perlu beritahu kau pasal dia sebab tak penting pun. Dia cuma kawan aku masa tadika dan aku bukannya rapat sangat dengan dia pun." Kai menggaru-garu kepalanya. "Sebenarnya, aku memang nak bercakap dengan kau pasal dia tapi, kau buat tak layan aku pulak semenjak dua ni."

"Tapi... kau tipu aku, kan?" Aku menyoal dengan nada yang merendah.

"Tipu?"

"Kau keluar jumpa dia masa hari aku keluar dengan Takumi Midou dan kau tipu aku hari tu. Kau cakap kau balik terus lepas ambil Gen dari tadika." Aku menyoal namun menyesal beberapa saat kemudian apabila aku perasan yang Kai sedang merenungku dengan wajah yang tidak percaya dan mata yang tidak berkelip. Shit! Kenapa aku jadi macam ni tiba-tiba?

Kai tunduk lalu tersenyum. Entah apa yang bermain di kepalanya, aku pun tidak tahu. Mesti dia tengah gelakkan aku. "Sorry, Ryo. Aku tak ada niat nak tipu kau. Aku memang nak balik hari tu, tapi tiba-tiba saja Sora telefon aku cakap yang dia ada di Tokyo dan minta nak jumpa dengan aku. Aku tak sampai hati nak tolak sebab dia datang dari jauh. Masa jumpa, dia langsung tak beritahu aku yang dia pindah ke sini dan nak tukar ke sekolah kita. Aku langsung tak tahu dia akan sekelas dengan kau."

Kini, mata aku pula terkebil-kebil memandang dia. "Oh..."

"Kau.. marahkan aku sebab Sora? Aku tak sangka.." Katanya seperti hendak tergelak.

Merona merah mukaku waktu itu. Ya.. memang tak masuk akal. Mana ada lelaki akan marah pada kawan lelakinya kalau dia nak keluar dengan perempuan mana pun, kan?

"Taklah." Aku cuba mengelak dan hendak bangkit menjauhi Kai dengan segan.

Namun, dia pantas menarik tanganku supaya aku terduduk di tanah semula. "Macam cemburu je kau ni. Comelnya."

"Tak! Jangan kata aku comellah, bodoh!" Aku membidas marah dan cuba menepis tangannya. Namun, genggaman tangannya kian kuat. Dia menarik bahuku supaya aku akan terus duduk di tanah. "Kai, lepaslah." Aku meronta dan menoleh memandang wajahnya. Dan pada waktu itu juga aku terperanjat apabila dia semakin mendekatkan wajahnya ke wajahku. Dia hampir memejamkan matanya dengan wajah yang agak serius membuatkan aku tergamam. Beberapa saat kemudian aku merasakan bibirnya bertemu dengan bibirku. Mataku kini terbuka luas dan segala otot di badanku kaku seperti ais.

Kai... cium aku?

-bersambung-

6 comments:

  1. sweety for long time i'm waiting this scene hahahahah well i'm not perv ahaks so romantics <3 i love it <3 <3

    ReplyDelete
  2. kya~~~~~~~

    "Dia hampir memejamkan matanya dengan wajah yang agak serius membuatkan aku tergamam. Beberapa saat kemudian aku merasakan bibirnya bertemu dengan bibirku"

    wow! wow! wow!

    ReplyDelete
  3. akira : hahaa.. there's more to come. (maybe)

    tim mila : pengaruh dari novel omputeh. huahuaaa...

    ReplyDelete

Komen-komen korang sangat-sangat dihargai.