Friday 4 November 2011

Mesej rahsia kami : Bab 4

Permulaan kami

Aku mengukir senyum melihat kedua-dua beradik Tasuke itu sedang mencedok stew daging yang dimasakku dengan penuh berselera. Meja makanku yang biasanya jarang digunakan itu menjadi meriah dengan kehadiran mereka berdua. Emak selalu sibuk di kedai manakala ayahku pula amat jarang sekali pulang ke rumah. Aku mengesat sisa stew yang meleleh di tepi mulut Gen. Lapar benar dia nampaknya kerana hari ini, mi cawan saja yang memenuhi perutnya untuk makan malam.

"Sedapnya." Kai memujiku berkali-kali. Sudah tiga mangkuk ditambahnya dan dia nampaknya masih belum puas. "Kau tak makan?" Dia menyoalku.

Aku menggeleng. "Dah kenyang. Banyaknya kau makan. Aku patut minta upah ni." Kataku bergurau. Sebenarnya, melihat dia berselera begini memakan makanan yang aku sediakan membuatkan aku terasa cukup bahagia. Shit... kenapa aku berfikiran macam perempuan pulak ni?

Selesai makan, Kai membantuku mencuci pinggan mangkuk yang digunakan manakala Gen pula menyambung tontonan video di ruang tamu dengan khusyuk. Budak itu tidak mahu pulang selagi filem Ultraman masih belum tamat, memaksa Kai juga duduk di rumahku. Selesai urusan di dapur, aku dan Kai menyertai Gen di ruang tamu.

"Ryo... boleh aku pergi ke bilik kau?" Dia bertanya tiba-tiba.

Aku memandangnya dengan hairan. "Nak buat apa pergi bilik aku? Kat ruang tamu ni aku dah pasangkan aircond. Sejuk sikit."

Kai mencebik sedikit. "Kenapa tak bagi aku pergi bilik kau? Kau simpan benda-benda lucah ke?" Dia seperti sengaja memprovokku membuatkan aku naik geram.

"Yelah-yelah." Aku bangkit dari sofa. Kai tersengih sebelum memberitahu adiknya yang dia hendak naik ke bilikku di tingkat dua sebentar. Gen sekadar mengangguk tanpa mengalihkan pandangannya dari kaca TV. Kai mengekoriku menaiki tangga ke bilikku yang terletak di sudut paling hujung bersebelahan bilik emak dan ayahku.

Sebaik sahaja pintu bilikku terkuak dan lampu dipasang, dia melangkah masuk ke dalam tanpa segan-silu. Hiasan bilikku memang ringkas. Sekadar ada sebuah katil bujang, sebuah almari pakaian dan meja serta rak buku di tepi tingkap. Di dinding bilikku yang bercat biru itu tertampal poster seorang pemain bola sepak Jepun kegemaranku. Sebenarnya, dia selalu sahaja datang ke bilikku dulu dan begitu juga aku yang pernah masuk ke biliknya.

Tanpa semena-mena, Kai berjalan ke arah katilku dan terus merebahkan badan di atasnya. Wajahnya menghadap ke bawah betul-betul di atas bantal kepalaku. Aku pula mengambil tempat di kerusi belajarku sekadar memerhatikannya dari jauh. Apa agaknya tujuan Kai nak melepak dalam bilik aku ni?

Kai langsung tidak bangkit sebaliknya dia seperti menutup mata dan terlelap lena membuatkan aku semakin runsing. Susah aku nak kejutkan dia kalau dia benar-benar tertidur di situ. Dulu, pernah sekali ibu dia terpaksa menyiram air di atasnya supaya dia bangun dan tidak terlewat ke sekolah.

"Kai?" Aku memanggilnya dua-tiga kali. Setelah tidak mendapat balasan, aku bangkit dan berjalan ke katil sebelum menepuk-nepuk belakangnya perlahan. "Kai, bangun. Takkanlah kau betul-betul dah tertidur?"

Tidak lama kemudian, dia bangun secara mengejut dan menarik tanganku supaya aku terjatuh di tepi katil. Aku terperanjat besar. Suaranya kemudian nyaring sahaja ketawa dengan kuat. Tak guna... dia kenakan aku lagi! Aku menumbuk bahunya perlahan tanda marah.

"Kau memang nak kena belasah, Kai!"

Aku terduduk di lantai sambil bersandar di tepi katil manakala dia pula berbaring secara mengiring di atas katilku. "Terima kasih, Ryo." Katanya separuh berbisik.

"Untuk stew tu ke? Tak apalah. Aku tak kisah, pun." Balasku dengan muka yang cuba berlagak tenang. Suara Kai kedengaran di cuping telingaku bersama-sama bunyi deruan nafasnya. Sengaja aku tidak mahu berpusing memandang wajahnya kerana aku berasa agak resah ketika itu. Kai yang sedang berbaring di atas katil nampak begitu menggugat naluriku.

"Emm..." Dia membalas pendek. Katilku berkeriut sedikit dan dia kini sedang duduk bersila di atasnya. "Itu... album gambar masa kita sekolah rendah ke?" Dia tiba-tiba menyoal lalu turun dari katil dan berjalan ke arah rak bukuku. Dia mencapai sebuah album sekolah rendah Hikari dan membawanya ke katil semula. Kai melabuhkan punggung betul-betul di sebelahku sambil bersandar ke tepi katil dan menyelak album itu.

Dia ketawa kecil melihat gambar-gambar kami yang masih bersekolah rendah. Kesemua gambar itu diambil oleh guru-guruku samada di dalam kelas, ketika perhimpunan, ketika hari sukan dan juga ketika kami mengikuti rombongan sekolah.

"Mudanya kita..." Dia berkata sambil memandang wajah-wajah pelajar kelasku dulu.


Kehadiran Kai sebagai pelajar baru membuatkan dia sangat popular di kelas. Ramai pelajar berebut-rebut datang ke kelasku sebaik sahaja mereka tahu yang ada seorang budak lelaki tahun 4 datang dari Osaka berpindah ke sekolah kami. Dalam masa tidak sampai sebulan, Kai sudah memperolehi ramai kawan. Malah, melebihi aku yang sudah bersekolah di situ sejak tahun satu lagi.

Aku masih ingat aku ialah seorang budak yang agak ceria ketika aku masih muda. Namun, perangaiku mula berubah sebaik sahaja umurku mencecah 10 tahun. Selepas peristiwa aku terserempak dengan ayahku berpelukan dengan seorang perempuan lain di bandar, aku mula membuka mataku terhadap banyak perkara. Senyuman ayah serta kek-kek yang dibawa pulangnya setelah bekerja dulu, sekadar ingin menutup kepura-puraannya di hadapan aku dan emak. Sebaik sahaja dia dipecat, perangai ayah semakin teruk kerana dia berani terang-terang balik dalam keadaan mabuk ke rumah dan bertindak memukul emak.

Pada waktu itu juga, aku mula menutup diriku dari semua orang. Aku memencilkan diri, mula ponteng sekolah dan melepak di tepi sungai seorang diri, mula pandai bergaduh dan melawan cakap guru. Beberapa kali emak dipanggil ke sekolah, namun dia sekadar menegurku dalam diam. Aku yang masih mentah hanya membatu, tidak bercakap apa-apa. Sebaik sahaja aku pulang ke rumah dan ternampak ayahku, aku terasa semakin benci. Dalam usia yang masih mentah itu, aku pernah bernekad hendak melarikan diri pada satu malam.

Namun, apakan daya, dengan fikiran dan badan seorang budak lelaki berusia 10 tahun, aku tidak dapat pergi jauh. Sebaliknya, aku hanya terbaring di tepi sungai di tempat aku selalu melepak berbumbungkan langit dan angin yang sejuk.

"Hoi, Ryo!" Aku terkejut kerana terdengar suara jiran merangkap pelajar baru di kelasku dari belakang. Pantas aku bangkit dan memandang ke arahnya yang sedang menuntun sebuah basikal di atas jalan. Sekali lagi aku menarik muka masam. Aku telah ditemui walaupun aku sebenarnya mahu lari.

"Apa kau buat kat sini?" Aku menyoalnya dengan suara yang dingin.

"Kenapa kau duduk kat sini malam-malam ni? Kau tahu tak mak kau risau di rumah. Dia datang rumah aku bertanya pasal kau." Kata Kai yang berusia 10 tahun itu. Dia kemudian menongkat basikalnya dan berjalan ke arahku di tepi sungai. Tanpa diundang, dia duduk di sebelahku.

"Penyibuk! Pergilah kau." Aku marah.

Kai ketawa. "Kau nak lari dari rumah? Tapi, takkanlah cepat sangat orang jumpa kau. Kau ni memang tak pandai."

"Diammm!"

"Kalau kau nak, aku boleh temankan kau." Katanya sambil tersenyum. Aku memandangnya dengan takjub. Niat di hati mahu bersendirian, tapi sekarang aku ditemani budak penyibuk ini pula. Kai membaringkan tubuhnya di atas rumput hijau dan melapikkan kepalanya dengan kedua-dua belah tangannya. Matanya redup merenung langit di angkasa. Bunyi air sungai mengalir betul-betul kedengaran damai.

"Gila ke kau? Mak kau tak marah kau keluar malam-malam ni?" Aku menyoalnya.

"Dia yang suruh aku keluar cari kau. Dia kata aku mesti tahu kau ada kat mana... dan dia memang betul."

"Kau tahu aku ada kat sini?"

Kai mengangguk. "Kau paling suka datang ke sini kalau kau ponteng sekolah, kan?"

Aku terperanjat. "Macam mana kau tahu?"

Kai merenungku agak lama sebelum dia berkata, "Sebab aku selalu perhatikan kau."

Hah?

"Kenapa?" Aku menyoal dungu.

"Sebab aku nak berkawan dengan kaulah. Kau selalu nampak jauh dari semua orang. Suka duduk sorang-sorang. Tak nak berkawan dengan orang lain. Lepas tu, aku tahu pasal ayah kau. Aku rasa, kau mesti rasa sunyi, kan?" Katanya.

Aku mengeluh lalu kembali berbaring di sisinya. Mataku juga terlekap memandang ke arah langit malam yang pekat itu. Sunyi? Aku kesunyiankah?

"Kau tak kesian dekat emak kau? Kalau kau tak ada, dia mesti sedih sebab ayah kau pun selalu tak ada di rumah, kan?" Kai menyambung mengingatkan aku pada emak di rumah. Wajah emak bermain-main di mataku. Betul kata Kai... selama ini, emak cuma ada aku. Walaupun emak pernah berkata akan tinggalkan ayah, tapi, dia masih belum berbuat begitu. Mungkin sebab dia masih fikirkan aku. Tapi... aku pula senang-senang saja terfikir nak tinggalkan dia.

Kai mula mengiring dan memandangku dari sisi. "So, kau nak aku temankan kau lari dari rumah malam ni ke? Syaratnya, esok kena baliklah. Nanti mak kita risau dan tak pasal-pasal kepala aku benjol lagi kena ketuk."

"Kalau setakat malam ni... bukan lari dari rumah namanya tu..." Aku berkata.

Kai tersenyum. "Tau takpe. Budak-budak macam kita ni bukan ada duit nak lari jauh-jauh."

Aku juga tersenyum. Betul juga katanya!

"Wahh.. pertama kali nampak kau senyum." Katanya geli hati.

"Diamlah!" Mukaku mulai naik merah.

"Tapi, kalau aku dah ada duit nanti, aku akan bawa kau pergi ke tempat yang kau nak pergi. Aku janji." Katanya sambil menghulurkan jari kelingkingnya dan membentuk cangkuk lambang hendak berjanji.

"Mengarutlah kau ni." Aku pula berkata namun aku juga mengeluarkan jari kelingkingku dan mencangkukkannya di jari Kai. Aku pasti akan tuntut janji ni, kelak!

"Hoi... buat apa tu?" Kedengaran suara seorang lelaki dewasa menjerit dari atas jalan. Aku dan Kai segera bangkit dan terpandang seorang anggota polis yang sedang meronda dengan sebuah basikal sedang menyuluh ke arah kami.

"Polis! Lari! Kalau kena tangkap, habislah kita." Kataku lalu terus bangkit diikuti dengan Kai. Kami berlari ke satu arah menjauhi anggota polis itu yang mula mengayuh basikalnya mengejar. Kai sendiri telah terlupa dengan basikalnya yang ditongkat di tepi jalan tadi.

"Kau punya pasallah ni, Kai! Kalau kau tak bising, tak ada sesiapa akan tahu kita ada kat situ." Aku bengang juga.

Namun, walau selaju mana pun kami berlari, aku dan Kai berjaya ditangkap juga. Leher kami dicekak dan dibawa ke pondok polis berhampiran sebelum emak kami dipanggil. Budak-budak sekolah rendah macam kami memang tidak patut merayau-rayau di luar rumah tengah-tengah malam.

Telingaku dipulas oleh mak dan kepala Kai diketuk oleh ibunya. Walaupun ibu Kai yang menyuruh dia keluar mencari aku, namun nampaknya dia sendiri juga telah terlupa.

Aku memandang ke arah Kai sekilas. Seulas senyuman terpamer di mukanya lalu aku turut membalas. Persahabatan kami.. kemudiannya bermula dari situ dengan satu janji yang mungkin tidak akan diingati kami lagi dalam masa beberapa tahun kemudian.


"Abang!" Lamunanku terhenti apabila terdengar suara Gen di muka pintu bilikku.  Kai yang masih membelek-belek album lama sekolah juga turut memandang adiknya.

"Dah habis tengok?" Kai menyoal.

"Dah. Jom balik... Gen mengantuk."

Kai bangkit lalu menyimpan kembali album di atas rak. "Aku balik dulu la ye. Jumpa esok di sekolah, Ryo." Katanya.

Aku mengangguk.

"Terima kasih, abang Ryo." Sampuk Gen dari muka pintu dengan wajah yang sedikit mengantuk.

Aku ketawa. "Sama-sama."

Kai menggosok-gosok kepala adiknya. "Hei.. kamu mana boleh panggil dia Ryo. Abang sorang saja boleh panggil dia macam tu. Panggil dia abang Ryoki, tau!"

"Hmmm..." Gen membalas malas sambil menggosok-gosok matanya.

Aku sekadar ketawa kecil. Apalah Kai ni... Ryo atau Ryoki...dua-dua tu nama aku jugak.

-bersambung-

7 comments:

  1. kawaii last part very kawaii words ^_^ important person selalunya mesti nk sesuatu utk diri diorg je sama ada secret or nama panggilan mmg sweet <3 keep it up vicky ^_^d akira wanna read new chapter ^_^d

    ReplyDelete
  2. hihi betul apa yg akira cakap ^.^
    teruslah update cepat-cepat ye
    tak sabar pulak rasanya
    nak tau apa yg akan jadi lepas ni

    ReplyDelete
  3. haah.nak gak tau ape yang jadi pasni.syok la.aku rasa kai ske kat ryoki la(mestilah kan ^^)betul cakap akira n sora.kawaii desu.

    ReplyDelete
  4. hahaa... memandangkan cerita ni dari point of view Ryo, so xtaulah Kai suka dia jugak ke tak unless dia sndiri bgtau...
    tapi, korang dah boleh agak kan...
    ;D

    ReplyDelete
  5. hahaha ^_^well i dunoo yet until it finnish but please please writers of course vicky san dont' gv sad points i mean it huhuhuuh...i'm just normalis ningen TT_TT ow here for sora n rin
    --@@@ because summon my name <3

    ReplyDelete

Komen-komen korang sangat-sangat dihargai.