Friday 28 October 2011

Mesej rahsia kami : Prolog

PROLOG

- Mana kau? Lambat macam kura-kura.
- Sabarlah. Aku kena pakaikan baju untuk Gen.
- Yalah. Aku dah bungkuskan roti untuk kau. Cepat datang.
- On the way.

Aku mengangkat kepala apabila melihat dia tercatuk di hadapan pintu pagar rumahku dengan nafas yang termengah-mengah.  Dia meletak tangannya di dada, mengurut-ngurut sedikit sambil menghela nafas. Nampaknya dia terkejar-kejar juga datang ke sini selepas berbalas SMS dengan aku tadi. Mujur rumahnya cuma selang beberapa buah dari rumah aku saja.

“Morning.” Masih sempat dia mengucapkan selamat pagi sambil mengangkat tangan kanannya.

Aku segera mengetatkan tali kasut dan mengunyah  laju serpihan roti di dalam mulut. Pantas aku menggalas beg sekolah dan berjalan ke arahnya di pintu pagar. Tangan kananku yang sedang memegang sebuah beg kertas berisi sandwich kuhulur kepadanya dan dia menyambutnya dengan seulas senyuman.

“Mak, kami pergi ni.” Aku melaung lalu keluar dari perkarangan rumah dan berjalan di sampingnya yang sudah mendahuluiku dua tiga langkah. Dia mengeluarkan sandwich dari dalam bungkusan dan menggigitnya sedikit.

“Sedap. Pandai mak kau buat sandwich tak letak bawang putih, ya.” Katanya dengan mulut yang penuh.

Aku pantas mencebik. “Wei, aku yang buatlah. Aku tau kau tak makan bawang putih. Spesies vampire ke kau ni?”

Dia mengukir senyuman sebelum menggigit sandwichnya lagi. “Bau tengik. Aku tak suka. Sakit hidung.” Katanya lalu berjalan terus ke hadapan sedikit laju.

Aku menyoroti langkahnya, memandang susuk badannya dari belakang. Dia ialah seorang lelaki berbadan tinggi, lebih tinggi dari aku. Berbadan agak bidang walaupun bukanlah seorang yang bertubuh sasa macam atlet lumba lari di sekolah tu. Rambut hitamnya nampak terbuai-buai ditiup angin pagi.

“Ryo.” Bibirnya menyeru nama aku sebelum dia berpusing sedikit ke belakang memandang mukaku.

“Apa dia?”

“Semalam, kau tak online?” Dia menyoal.

Aku menggeleng. “Tak. Kena tolong mak aku jaga kedai sebab pelanggan ramai sangat. Kenapa?”

“Tak ada apa-apa. Bosan kalau kau tak ada.” Katanya lalu mula memandang ke hadapan semula.

Aku ketawa sedikit. “Kau ni Kai, hari-hari chatting dengan aku. Kat sekolah jumpa lagi. Lagilah bosan.” Kataku. Namun hatiku senang sekali. Kai… rasa bosan tanpa aku. Persahabatan kami yang terlalu akrab dari kecil menyebabkan aku terasa Kailah segala-galanya.

Dia menyambung tawaku sebelum mengerling jam di tangan. “Cepat woi. Lagi 10 minit pagar sekolah nak tutup. Singa jantan tu mesti dah tunggu depan pintu.”

Kami berlari-lari dan bersaing sesama sendiri  hinggalah tiba di pintu pagar sekolah. Cikgu Tori, si singa jantan sekolah sudah menunggu di depan pagar dengan pedang buluh kendonya, bersedia untuk menghukum pelajar yang lewat tiba. Dari jauh dia tersenyum melihat aku dan Kai berlari-larian. Tangannya bersedia hendak menutup pintu pagar sekolah sambil mengerling jam di tangannya.

Aku dan Kai tiba dua saat selepas loceng berbunyi dan Cikgu Tori memang kejam orangnya. Dia menghalakan pedang buluhnya di kepalaku dan Kai sambil ketawa jahat. “Lambat lagi ya kamu berdua. Berdiri di tepi. Lepas ni, kawan-kawan kamu yang lambat pun akan kena juga.”
Kai mencebik. “Cikgu, loceng baru saja bunyi. Lepaskanlah kami.”

Cikgu Tori menggeleng sambil mula menahan beberapa lagi pelajar perempuan dan lelaki sekolah tinggi Kizuna dengan pedang Kendonya itu. Kesemua mereka merungut perkara yang sama.

Kai memandangku sambil mengerutkan dahi. Aku faham benar dengan kerutan itu. Tanda protes Kai yang selalunya akan berakhir dengan perkara-perkara yang tidak diduga. Kai hendak lari, fikirku bagaikan mendapat telepati. Aku senyum-senyum simpul sebelum Kai menjerit kecil.

“Cabut!”

Lalu, aku dan Kai bertempiaran lari ke satu arah menuju ke kelas kami di bangunan blok D tanpa menoleh ke belakang lagi walaupun suara Cikgu Tori jelas kedengaran menjerit menyuruh kami berhenti. Kami tetap berlari dengan ketawa yang panjang dan sengihan yang lebar.

“Gila kau, Kai. Cikgu Tori mesti akan denda kita.” Kataku sebaik sahaja kami tiba di depan kelas. Kasut yang dipakai sudah diganti dengan kasut khas sekolah di dalam locker.

“Habis tu, kau pun lari ikut aku kenapa?” Dia juga ketawa.

Aku turut senyum. Dan memang benar kataku. Tengah hari itu, cikgu Tori memanggil aku dan Kai ke bilik guru dan mendenda kami berdua mencuci tandas di seluruh blok C dan D selepas habis kelas. Aku dan Kai hanya mendengar dengan diam.

Masa-masa kami selepas itu diluangkan bersama. Cuma kami berdua... tanpa dia menyedari apa sebenarnya yang terbuku di dalam hati aku.

-bersambung-

No comments:

Post a Comment

Komen-komen korang sangat-sangat dihargai.