Thursday 29 December 2011

Layang-layang kertas

ps: aku bayangkan diorang dua ni macam kapel dalam junjo mistake. =) Selamat membaca dan silakan komen.



"Tuan Muda, kereta dah siap sedia. Nak bertolak sekarang ke?" 

Ryuu Amano mengangkat kepalanya merenung lelaki muda yang sedang memandang ke arahnya dengan senyuman sebelum kembali tunduk menghirup teh merah yang dihidangkan di atas meja makan berserta bacon, telur goreng, cendawan dan roti bakar bersama-sama mentega dan sosej goreng. Sarapan paginya hari itu ialah satu set lengkap English breakfast yang amat menyelerakan. Dia langsung tidak menghiraukan lelaki muda yang menegurnya tadi.

"Tuan Muda, awak akan terlewat ke sekolah kalau awak tak bertolak sekarang." Kata lelaki itu lagi, masih dengan senyuman.

"Ishhk.. aku tahulah!" Ryuu membentak lalu bangkit dengan kasar dari kerusi dan mencapai beg sekolahnya selepas mengesat mulutnya dengan napkin.

"Tuan Muda, tali leher awak tak kemas." Lelaki itu menegur lagi. Dia menghulurkan tangannya dan mula membetul-betulkan tali leher Ryuu yang senget ke sebelah kanan itu. Ryuu terdiam membiarkan saja namun matanya tidak lekang daripada merenung wajah bersih lelaki di hadapannya itu. Bertubuh kurus dan sedikit tinggi daripadanya, bermata sepet dan berwajah  bujur. Ryuu perasan jari jemarinya kelihatan runcing sekali.

"Hiro." Tegur Ryuu dan lelaki itu mengangkat kepala memandang tuan mudanya.

"Ya?" Hiro menyoal perlahan.

Mata coklat gelap Ryuu tajam merenung Hiro sebelum dia tunduk sekilas memandang ke arah kemeja putihnya. "Betulkan kemeja aku." Dia memberi arahan.

"Baik tuan muda." Jawab Hiro lalu mengalihkan tangannya ke arah kemeja Ryuu. Dia menarik-narik kemeja itu dan membetulkannya di bahagian berhampiran tali pinggang. Ryuu berdiri tegak sekadar membiarkan Hiro membuat kerjanya. Matanya masih tidak lekang memandang lelaki itu. "Dah siap. Sekarang tuan muda boleh pergi ke kereta. Pemandu dah tunggu."

Ryuu menghela nafas kasar lalu berjalan keluar dari ruang makan di rumah agam tiga tingkat itu menuju ke pintu hadapan. Sebuah kereta Mercedes hitam sudah menantinya di hadapan pintu dan seorang lelaki lengkap berseragam pemandu segera membukakan pintu belakang apabila melihat Ryuu keluar dari pintu. Ryuu masuk dan duduk dengan selesa di dalam kereta. Matanya menjeling ke arah Hiro yang berdiri dengan tegak di hadapan pintu rumahnya, masih sedang tersenyum.

Ryuu mengeluh sedikit dan kereta itu mula bergerak keluar dari perkarangan rumah agam keluarga Amano dengan megah.

****

"Hiro, cepatlah sikit." Ryuu menjerit ke arah Hiro yang berlari-lari anak mengikutnya di belakang dengan termengah-mengah. Ryuu menoleh memerhatikan budak lelaki itu yang hanya dua tahun lebih tua darinya. Ryuu sedar badan kurus Hiro kelihatan amat lemah, namun naluri kanak-kanaknya tidak dapat ditahan lagi. Dia mahu menerbangkan layang-layang kertasnya hari itu juga. Cuti musim panas akan berakhir tidak lama lagi dan dia akan kembali ke rumah agamnya di Tokyo esok.

"Ryuu, jangan laju sangat. Aku penat." Hiro melaung dan berhenti sekejap. Dia meluaskan pandangnnya ke arah padang rumput yang luas di sekeliling. Daerah perkampungan di Gunma memang amat nyaman dan musim panas kali ini dirasakan amat istimewa di atas kunjungan anak kepada majikan ayahnya dari Tokyo. Ayah Hiro bekerja di rumah agam keluarga Amano dan dia juga menetap di sana. Hiro pula dijaga oleh datuknya di kampung dan hanya sekali-sekala sahaja ayahnya akan pulang melawatnya. Ibunya pula telah meninggal dunia pada hari dia dilahirkan.

Hiro memang tidak rapat dengan ayahnya. Dia menghabiskan masa hidupnya bersama-sama datuk dan nenek di kampung dan apabila ayahnya menawarkan diri untuk membawanya ke Tokyo pada hari jadinya yang ke 12, dia menolak. Dia lebih selesa tinggal di Gunma menemani datuknya yang kini telah kehilangan isterinya. Nenek Hiro telah meninggal dunia setahun yang lalu.

Kali ini, ayahnya pulang bersama-sama seorang budak lelaki berusia 11 tahun yang diperkenalkan sebagai Ryuu, tuan muda keluarga Amano. Ryuu tinggal di situ sepanjang cuti musim panas itu atas permintaan budak lelaki itu sendiri kerana dia memang sangat rapat dengan ayahnya. Malah, mungkin lebih rapat daripada keluarga budak itu sendiri. 

"Kau ni lembablah!" Ryuu menjerit sekaligus membangkitkan kemarahan Hiro. Budak lelaki yang lebih muda daripadanya itu berani bercakap begitu kepadanya. Namun Hiro sekadar mengalah. Ayahnya telah memberitahu padanya yang Ryuu ialah tuan muda yang tidak akan peduli dengan orang lain.

"Kau lambung layang-layang ni." Ryuu memberi arahan sebelum menyerahkan layang-layang itu kepada Hiro. Dia sendiri akan memegang tali layang-layang dan menerbangkan layang-layang itu nanti. Sebaik sahaja angin bertiup, Hiro melambung layang-layang itu dan Ryuu mula berlari-lari di sekeliling padang supaya layang-layang itu naik lebih tinggi di udara. Ryuu mula ketawa gembira apabila dia berjaya menerbangkan layang-layangnya.

"Cantiknya layang-layang tu bila dah terbang." Komen Ryuu sebelum mengambil tempat duduk di atas rumput. Hiro turut duduk di sebelahnya.

"Ya. Kenapa kau seronok sangat ni? Sebelum ni tak pernah main ke?" Hiro menyoal.

Ryuu menggeleng. "Tak. Papa dan mama tak benarkan aku main permainan macam ni. Aku datang sini pun sepatutnya mereka tak benarkan. Tapi, aku nak ikut Yamada ke sini." 

Yamada Soutarou ialah nama ayah Hiro.

Hiro tersenyum. "Kau ni memang budak kaya yang manja." 

Ryuu pantas mencebik. "Aku tak manjalah. Aku dah besar."

Sejujurnya Hiro dapat nampak dirinya di dalam budak lelaki itu. Seorang yang ketandusan kasih sayang ibu bapa kandung dan hanya menumpang kasih kepada orang lain. Perlahan-lahan Hiro menghulurkan tangannya dan mengelus rambut Ryuu dengan lembut. Dia mahu menganggap Ryuu sebagai seorang kawan. Sebagai seorang adik.

"Terima kasih ya." Kata Ryuu perlahan.

"Untuk apa?" Hiro menyoal agak hairan.

"Sebab ajar aku main layang-layang." 

Hiro menekan perutnya mahu ketawa. Takkan ada orang yang akan berterima kasih disebabkan perkara remeh begini. Namun dia tersenyum. "Ya. Sama-sama."

****

Ryuu yang berusia 17 tahun mencampakkan beg sekolahnya di atas sofa. Dia menghempaskan punggung di atas kerusi dan mengangkat kakinya ke atas meja. Tangannya meraba-raba poket seluar dan mengeluarkan sepaket rokok dan pemetik api. Dia menyuakan sebatang rokok dan menyalakan api di hujungnya.

"Tuan muda, merokok tak baik untuk kesihatan. Awak tu masih seorang pelajar." Satu suara menegurnya dari belakang. Hiro berjalan menghampirinya dan spontan dia menarik rokok di bibir Ryuu.

"Hei!" Ryuu berteriak marah.

"Duduk elok-elok sikit, tuan muda. Kasut awak akan kotorkan meja nanti." Hiro masih menegur dengan suara yang rendah. Wajahnya yang tanpa perasaan itu menimbulkan rasa geram di hati Ryuu.

"Hiro, kau.. kau masih benci pada aku?" Ryuu menyoal.

Hiro terdiam, berdiri tegak membelakangi Ryuu yang juga sudah mula bangun dari kerusi itu. Dia sudah mengagak perkara ini pasti akan dibangkitkan oleh Ryuu juga satu hari nanti.

"Hiro!"

Ryuu mencekak lengan Hiro dan menariknya berpusing berhadapan dengannya. Wajah Hiro kelihatan amat kelat dan sugul. Perkara yang sudah lama dielakkan oleh mereka kembali dibangkitkan oleh Ryuu hari ini. Hiro menepis tangan Ryuu. "Tuan muda, saya nak buat kerja saya."

"Hiro! Aku tahu kau benci aku. Aku dah boleh agak. Sebab akulah, kau kehilangan Yamada. Tapi yang aku tak faham, kenapa kau masih nak kerja di sini? Sebagai butler aku. Apa motif kau sebenarnya?" Ryuu meninggikan suaranya.

"Jangan sebut pasal benda lama."

"Tapi... masa tu, kalau aku tak berkeras ajak kau main layang-layang di atas bukit, benda tu takkan terjadi. Yamada juga akan terus hidup dan kita berdua masih boleh berkawan..."

"Jangan ungkit benda lama!" Hiro menumbuk dinding dengan suara yang tinggi dan menggeletar. Dia mengetap bibirnya dengan perasaan marah yang memuncak. Ryuu yang kelihatan terkejut itu langsung tidak dihiraukannya.

Ryuu menarik nafas panjang dan berjalan menghampiri Hiro. Ruang tamu yang selalunya senyap sunyi itu terasa dingin sekali. Suara marah dari Hiro memang mengejutkannya, namun jauh di sudut hati dia lega. Inilah pertama kali Hiro menghamburkan amarah padanya. Perasaan yang sepatutnya masih berbekas di hatinya sejak 6 tahun lalu, sejak ayahnya meninggal dunia. Dan semuanya disebabkan Ryuu. Ryuu dihantui rasa bersalah menyebabkan perawakannya berubah secara mendadak. Dari seorang budak yang ceria, dia berubah menjadi semakin keras dan dingin. Hanya Hiro sahaja yang sentiasa tersenyum seperti dulu seolah-olah tiada apa pernah berlaku padanya. Padahal Ryuu tahu yang Hiro sebenarnya sentiasa berpura-pura.


Tidak lama kemudian, mata Hiro mula terbuntang luas. Dirasakan kehangatan badan Ryuu berpindah ke belakangnya apabila lelaki itu tanpa semena-mena melingkari tangan di pinggangnya erat. Ryuu sedang memeluk tubuh Hiro dari belakang.

"Kau boleh marah aku. Kau boleh tumbuk aku. Tapi, kau tak boleh benci aku." Ryuu berbisik.

Hiro membatu dengan muka yang berkerut. Masih terkejut dengan debaran menendang dada. Ryuu memeluknya dari belakang, dia memang tidak pernah membayangkan. Tapi...

"Aku minta maaf. Aku patut minta maaf dari dulu lagi. Sejak peristiwa tu, aku jadi takut. Aku takut kau akan salahkan aku dan benci aku sedangkan masa tu, aku betul-betul nak berkawan dengan kau. Kaulah kawan sebenar aku yang pertama. Orang lain dekati aku sebab kedudukan papa dan mama. Tapi, aku tahu kau berbeza. Selama kau kerja di sini, aku risau. Kau selalu senyum depan aku, tapi kau tak pernah cakap apa-apa. Aku langsung tak tahu apa yang kau fikirkan. Aku lebih rela kau marah dan tengking aku dari berpura-pura macam ni." Kata Ryuu dengan pelukannya masih belum terungkai.

Hiro menghela nafasnya kuat. "Tuan muda, memang saya marah. Awak patut tahu yang saya penghidap asma dan badan saya memang lemah tapi awak masih paksa saya panjat bukit tu untuk main layang-layang dengan awak masa tu. Awak seorang yang sangat pentingkan diri dari dulu sampailah sekarang. Disebabkan sikap awak ni, ayah saya terima akibatnya. Memang semuanya salah awak."

Ryuu terkedu mendengar kata-kata Hiro namun dia masih kuat memeluknya sambil memejamkan mata. Kepalanya dirapatkan ke belakang leher Hiro hinggakan lelaki itu dapat merasakan hembusan nafas Ryuu yang semakin kencang itu. 

"Tapi saya tak pernah bencikan awak. Saya tak pura-pura sebab saya memang nak berada di sini. Sejujurnya saya berterima kasih pada awak sebab pada masa tu lah baru saya sedar yang dia sebenarnya sayangkan saya. Saya selalu rasa dia abaikan saya dan bila saya nampak awak dengan dia, saya cemburu. Saya ingatkan dia lebih sayangkan awak masa tu. Masa penyakit asma saya menyerang di atas bukit tu, dialah yang dukung saya turun dari bukit dengan cemas sampaikan dia tinggalkan awak seorang. Tapi, dia tergelincir dan jatuh masa dia berpatah balik untuk ambil awak lepas hantar saya ke bawah."

"Kau.. tak benci pada aku?" Ryuu menyoal.

"Langsung tak. Kalau benci, saya takkan tepati janji dengan ayah untuk jaga awak."

"Janji apa?" 

"Sebelum dia meninggal dunia di hospital, dia pesan pada saya supaya saya terus berkawan dengan awak. Dia nak saya selalu tengok-tengokkan awak sebab... dia rasa awak selalu sunyi dan sorang-sorang. Sebab tu saya datang ke sini, ambil alih tugas ayah dan jadi butler awak."

Ryuu mengukir senyuman. "Bodoh betul kau ni. Aku tak perlukan butler untuk jaga aku. Kan aku pernah cakap yang aku dah besar. Aku cuma perlukan... Hiro Yamada di sisi aku."

Hiro tergamam. Seketika kemudian dia merasakan pelukan Ryuu semakin longgar. Dia berpusing menghadap wajah Ryuu yang kelihatan merah padam itu, semerah wajahnya sendiri.

"Baik, tuan muda." Kata Hiro sedikit tertunduk cuba menyembunyikan rasa segannya di hati. Dia akui dari dulu lagi Ryuu akan sentiasa menang. Lelaki yang pentingkan diri itu pasti akan mendapat apa saja yang diingininya. Namun Hiro tahu, dia juga begitu kerana dari dulu lagi hanya Ryuu seorang sahaja di mata dan hatinya. 

"Panggil aku Ryuu semula dan ini adalah satu arahan." Ryuu tersenyum.

-tamat-

9 comments:

  1. ^_^ for the early i still confuse a little hehehe btw so sweet i love it ^_^ keep it up vicky >_^

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. haha segan saya baca cerita ni >///< ufufufu~

    ReplyDelete
  4. best best best best !!

    sangat sukakan cerita ni! ringkas dan menepati citarasa saya.. ufufufu

    ReplyDelete

Komen-komen korang sangat-sangat dihargai.