Friday 11 November 2011

Mesej rahsia kami : Bab 6

Insiden kecil

Aku dan Haru melonjak-lonjak di papan kenyataan kelab bola sepak dengan wajah yang kurang sabar. Sejak Takumi menampal senarai nama pemain yang diserapkan dalam pasukan sekolah untuk perlawanan persahabatan dengan sekolah tinggi berdekatan, sudah ramai ahli-ahli kelab bola sepak berkumpul di hadapan papan kenyataan itu. Masing-masing nampak begitu berharap untuk terpilih, terutamanya pelajar tahun tiga kerana itulah tahun terakhir mereka akan mewakili sekolah. Takumi memang seorang kapten yang berdedikasi. Dia tidak memberi muka kepada kawan-kawannya dan memilih ahli pasukannya berdasarkan kebolehan mereka. Itulah salah satu sebab kenapa aku sangat-sangat menghormati kapten pasukanku itu.

Beberapa orang ahli kelabku kelihatan bersorak-sorak, mungkin kerana terpandang nama mereka di dalam senarai pemain. Tidak kurang juga yang mengeluh hampa. Aku dan Haru menjengah ke hadapan dan hatiku sedikit berdebar-debar. Akan adakah namaku di situ?

Mataku membaca senarai nama dari atas hingga ke bawah dan akhirnya aku tersenyum sendiri sebaik sahaja terpandang nama 'Ryoki Hijiri' di dalam senarai nama pemain tetap. Degupan laju jantungku semakin surut lalu aku terus keluar dari khalayak ramai itu ke belakang. Tidak lama kemudian, Haru juga menyusul di belakangku.

"Macam mana?" Aku menyoalnya.

"Aku dalam senarai pemain simpanan." Suaranya berbaur kecewa. "Aku nampak nama kau dalam senarai pemain tetap. Tahniah, Ryoki." Dia tersenyum hambar.

Aku membalas senyumannya sambil menepuk-nepuk bahunya. "Relaks. Kau juga terpilih, kan? Pemain simpanan pun mesti ada peluang untuk main. Lagipun, aku tau kau memang handal." Aku cuba memujuknya. Walaupun Haru kelihatan sedikit kecewa kerana sekadar menjadi pemain simpanan, namun aku juga gembira untuknya kerana dia juga terpilih.

Kegembiraan aku ini perlu dikongsi bersama seseorang yang lain juga. Wajah senyum Kai mula bermain-main di fikiranku. "Haru, aku nak jumpa Kai sekejap. Nak bagitahu dia yang aku terpilih." Kataku dengan nada suara yang sedikit gembira dari biasa. Aku pasti mukaku nampak bercahaya hari ini.

"Ryoki!" Seseorang menegurku dari belakang, lalu aku pantas menoleh. 

"Kapten Takumi.." Aku tersenyum memandang Takumi sedang berjalan menghampiriku sambil membutangkan butang di lengan kemejanya.

"Kau dah terpilih. Tahniah. Kau juga, Haru." Dia berkata sambil memegang bahuku dan memandang ke arah Haru sekilas. 

"Ya... terima kasih, kapten." Kataku dan Haru serentak.

"Latihan kita akan bermula mulai esok petang lepas sekolah." Dia menyambung dibalas dengan anggukan dariku. Aku menoleh ke kanan seketika dan terpandang Kai sedang berjalan bersama seorang pelajar lelaki sekelasnya. Nampaknya, aku tidak perlu ke kelasnya kerana dia berada di sini sekarang. Baru saja aku berkira-kira hendak meminta diri, namaku diseru oleh Takumi sekali lagi.

"Memandangkan petang ni tak ada latihan, aku nak ajak kau temankan aku ke bandar kejap. Aku nak beli sesuatu." Takumi mengajak. Matanya memandang wajahku lama menanti jawapan. Kapten pasukanku itu agak tinggi, malah mungkin sedikit lebih tinggi dari Kai. Dengan muka dan badan yang seperti model itu, aku amat pasti senang saja dia mendapat ramai teman wanita.

"Emm.. petang ni, ya? Kapten ajak ramai-ramai ke?" Aku menyoalnya. Sebenarnya aku agak malas hendak keluar petang ini. Kalau boleh, aku mahu terus pulang ke rumah lepas habis sekolah dan tidur sepuas hati kerana bermula esok, aktiviti harianku akan semakin padat dengan latihan bola sepak setiap petang.

Takumi mengangkat keningnya sebelum tersenyum. "Kenapa tanya? Kalau aku ajak ramai-ramai, kau tak nak keluar dengan aku ke? Jangan risau, aku cuma ajak kau seorang saja."

Eh? Hahaaa... dia tengah bergurau dengan aku? 

"Tak... emm.. okeylah. Petang ni, aku temankan kau ke bandar." Aku membalas cuba tersenyum sedikit. Tapi, pelik juga. Kenapa dia ajak pelajar junior temankan dia? Kenapa dia tak ajak kawan-kawan dia agaknya?

"Kalau macam tu, aku tunggu kau di depan pintu pagar sekolah lepas kelas." Katanya dan menepuk bahuku dua kali sebelum berlalu dari situ. Aku mengeluh sedikit sambil mula memandang sekeliling mencari-cari Kai.

"Kau kata nak jumpa Kai tadi." Haru bertanya setelah lama mendiamkan diri tadi.

"Emm.. ya. Tadi, dia ada dekat sini. Sekarang, mungkin dia dah balik ke kelas. Aku pergi jumpa dia di kelas je lah."

"Aku ikut kau."

Aku dan Haru berjalan beriringan menuju ke kelas 2A yang terletak di tingkat tiga blok C. Kelasku dan kelas Haru pula terletak sebelah menyebelah di tingkat dua di blok yang sama, sebab itulah aku dan Kai memang jarang berjumpa di sekolah. 

"Hei, kau dan Kai memang rapat, ya?" Haru tiba-tiba menyoal.

"Emm... kami sama sekolah dari sekolah rendah. Rumah kami dekat-dekat juga." 

"Ohh.."

"Kenapa tanya?" Aku menyoalnya curiga. Sejak aku mengetahui Haru ialah lelaki gay, aku perlu sentiasa berwaspada. Dia mungkin telah mengalihkan sasarannya kepada Kai pula setelah dikecewakan oleh cikgu Araide tempoh hari. Lagipun, Kai memang sentiasa disukai orang dan tidak mustahil Haru juga akan menyukainya.

Haru mengerlingku sejenak sebelum dia mula ketawa terbahak-bahak. "Sajalah nak tahu. Kau cemburu ke?"

Hah? Cemburu? Mukaku merona merah. Adakah Haru dapat membaca perasaan di wajahku? "Mengarut! Buat apa aku nak cemburu? Dia tu pun lelaki." Aku membidas dengan nada suara yang tinggi. Mukaku berkerut sedikit.

Haru masih ketawa sambil menyiku-nyiku lenganku. "Marah-marah tak tentu pasal ni, mestilah sebab cemburu." Tak guna! Dia dan Kai memang berperangai serupa, suka menyakat orang.

Darahku tersirap naik ke muka. "Merepek! Aku cuma tak nak dia diganggu lelaki gay macam kau ni. Lepas ni, tak pasal-pasal nama dia pun keluar dalam forum..." Tanpa berfikir panjang aku menuturkan ayat itu namun apabila menyedari perubahan di riak wajah Haru, terus aku menutup mulutku. Aku sepatutnya tahu yang gosip itu masih berbekas di dalam diri Haru. Dicop sebagai lelaki gay dan diejek oleh orang lain memang bukan perkara yang menyeronokkan. Mulut aku ni kadang-kala celupar juga. Mesti dia terasa hati sekarang.

Hakikatnya, aku kesiankan dia kerana aku seolah-olah dapat nampak diri aku di dalam dirinya. Walaupun  rupanya sentiasa nampak selamba apabila diejek, namun aku tahu hatinya memang terguris dan terasa. Samalah macam aku semasa di sekolah rendah dan menengah rendah dulu. Sebab itulah, aku mahu berkawan dengannya. Dan begitu juga dengan Kai. Pasti dia juga berperasaan sama macam aku.

"Sorry, Haru." Aku meminta maaf dan tunduk sedikit.

"Tak apa." Katanya perlahan.

Kami tiba di tingkat tiga dan di pintu belakang kelas 2A. Aku menjenguk melalui tingkap dan kelihatan Kai sedang berbual-bual sambil ketawa dengan beberapa orang pelajar lelaki. Dari dulu sampai sekarang, dia memang mudah didampingi. Aku membuka pintu belakang sedikit dan memanggil seorang pelajar perempuan yang duduk berdekatan pintu memintanya supaya memanggil Kai untukku. Kai menoleh apabila namanya dipanggil dan sebaik sahaja dia terpandangku di pintu, dia tersengih.

"Jarang kau datang kelas aku, Ryo. Oh... kau pun ada, Haru?"

Kai menutup pintu kelas di belakangnya dan berdiri bersama aku dan Haru di tepi koridor. Beberapa orang pelajar lain yang lalu-lalang tidak kami hiraukan. "Kenapa?" Dia menyoal.

"Aku dan Haru terpilih untuk main dalam pasukan sekolah. Kami ada perlawanan persahabatan minggu depan." Terus aku memberitahunya dengan suara teruja.

"Ohh... tahniah korang berdua." Kai tersenyum lagi dengan suara yang kedengaran gembira. Memang begitulah aku dengan dia. Segala-gala tentangnya, aku akan tahu dan setiap perkara yang berlaku padaku, pasti akan kuberitahu padanya juga samada melalui perbualan begini, ataupun melalui telefon ataupun chatting di internet hampir setiap malam.

"Tapi, aku pemain simpanan je. Ryoki ni jadi pemain tetap." Haru menyampuk.

Kai menepuk bahunya. "Alah... okey la tu. Terpilih jugak. Kalau Ryo dah letih nanti, kau paksa jurulatih masukkan kau pulak." Dia memujuk dan Haru sekadar tersenyum senang.

Kai kembali memusatkan pandangannya ke mukaku. "Weh, apa kata aku belanja kau hari ni lepas sekolah? Kita pergi makan dango ke Mcdonalds ke.. mana-manalah yang kau nak."

"Okey." Spontan aku menjawab tanpa berfikir. Temujanji dengan Kai... hahaaa.

Namun, kata-kata Haru seterusnya mematikan perasaan terujaku semula. "Ryoki, kau dah lupa kau janji  nak temankan kapten Takumi pergi bandar kejap lagi?"

Aku terdiam mengingatkan semula perbualan aku bersama Takumi beberapa minit lalu. Arghhh... memang aku lupa!

"Takumi?" Kai menyoal dengan kening yang berkerut.

"Emm... kapten pasukan kami. Aku lupa dia ada ajak aku tadi temankan dia beli barang lepas habis sekolah." Kataku sedikit sugul.

"Takpelah. Esok pun tak apa." kata Kai nampaknya masih berminat hendak membelanja aku.

"Aku ada latihan tiap-tiap petang mula dari esok sampai perlawanan minggu depan."

"Oh... latihan tiap-tiap petang. Jadi, kau balik lambatlah, ye?" Kai menyoal lagi. Wajahnya kelihatan sedikit kecewa. Ah... patutkah aku berasa gembira melihat dia begitu bersungguh-sungguh nak belanja aku?

"Hmmm... kau balik dululah nanti." Aku membalas pasrah.

"Hahaaa..." Aku dan Kai menoleh memandang ke arah Haru yang tiba-tiba sahaja ketawa sambil menutup mulutnya. Dari tadi lagi, dia begitu asyik memandang dan mendengar perbualan aku dengan Kai tanpa menyampuk.

"Kenapa?" Tanya aku bingung.

"Korang berdua ni... macam tengah bercinta." Haru membalas, spontan dan selamba.

Aku menjelingnya tajam, terasa ingin mencekik-cekik saluran pernafasannya dan menyeksanya supaya dia mati perlahan-lahan dengan terseksa. Kata-katanya membuatkan aku berasa malu.

"Hoi.. kau gila?" Aku memakinya terang-terangan. Terasa panas juga wajahku ketika itu. Memang aku akui cara perbualan aku dan Kai memang berlainan. Kami kadang-kala akan bercakap dengan nada suara yang cukup lembut dan topik perbualan kami sentiasa menunjukkan yang kami saling mengambil berat antara satu sama lain. Kai dan aku memang selalu begitu... namun dari dulu lagi aku tahu batas-batasku. Baginya, aku sekadar seorang teman setia yang paling rapat dan aku yakin dia juga menyangkakan aku menganggap dirinya sebagai sahabat karib juga. Jadi, aku tidak akan bertindak melebihi batas seorang sahabat.

Tapi yang sebenarnya.... dari awal lagi perasaanku sudah berevolusi menjadi lebih dari sekadar kawan. Dan aku mahu menyembunyikan perasaan itu sedalam-dalamnya dari pengetahuan Kai. Biarlah fikiran songsang ini tersimpan dalam hati aku seorang saja.

"... aku harap kawan aku tu takkan jatuh cinta pada akulah."

Kata-kata Kai malam semalam masih terngiang-ngiang di telingaku. Dia pasti takkan suka kalau dia tahu aku dah jatuh cinta kepadanya.

"Aku melawaklah, wei." Kata Haru akhirnya setelah menyedari betapa marahnya aku sekarang. Aku dan Kai menghela nafas dalam masa yang sama. Nampaknya dia juga tidak selesa diusik begitu.

"Tak apalah, Ryo. Lain kali je la bila kau lapang. Rumah kita pun bukannya jauh." Kai berkata akhirnya.

"Hmm..." Aku kecewa sebenarnya.

"Kai, memandangkan kau tak boleh belanja Ryoki, apa kata kau belanja aku. Aku pun terpilih jugak kan? Mana adil belanja dia sorang saja." Kata Haru sambil mengerling ke arahku sambil tersenyum-senyum simpul. "Jomlah kita keluar berdua hari ni. Ryoki kan nak pergi temankan kapten."

Aku mengetap bibir geram. Budak gay ni nak ambil kesempatan terhadap Kai akukah? Nanti dulu... kalaulah dia dicop sebagai gay sebab dia berminat dengan lelaki, bukankah aku pun seorang gay jugak sebab aku pun berminat dengan lelaki?

Ohh... emak aku mesti akan menangis kalau dia tahu.

"Kau tak kisah kan, Ryoki?" Haru menyoal dengan suara yang nakal. Aku memang hairan dengan dia. Haru seperti tahu yang aku menyimpan perasaan pada Kai dan sengaja mngambil kesempatan mengusik aku pula dengan muka yang cukup menyakitkan hati. Aku perlu berwaspada dengan dia ni.

Aku mengetap bibir lebih kuat. "Suka hati kaulah. Tapi Kai, kau jangan belanja dia yang mahal-mahal sebab dia ni pemain simpanan je." Kataku. Harap-haraplah Kai tak perasan dengan nada suaraku yang berbaur cemburu itu.

Kai ketawa geli hati. "Relaks, Ryo. Aku belanja korang berdua sama-sama nanti, okey. Teringat pulak hari ni aku kena balik cepat sebab kena singgah jemput Gen di tadika."

Bunyi loceng mengejutkan kami menandakan masa rehat telah pun tamat. Aku dan Haru akhirnya meminta diri dan turun ke kelas kami di tingkat dua.

"Ryoki, kau marah?" Haru bertanyaku.

"Tak." Jawabku dingin.

Haru ketawa. "Nampaknya jangkaan aku memang tepat." Katanya.

"Jangkaan apa?"

"Kai Tasuke ialah satu-satunya orang yang berjaya buat Ryoki Hijiri yang cool, dingin dan tak berperasaan ni menunjukkan sikapnya yang sebenar." Kening Haru terangkat dengan seulas senyuman terjungkit di bibirnya.

Aku terlopong. Risau.

Busted! 

-bersambung-

7 comments:

  1. mula2 baca tajuk. 'insiden kecil?' *cuak sikit*
    risau kalau ada apa2 y buruk jadi kat kai dan ryo
    bila dah habis baca 'nasib baik' *lega*

    haha teruk betul sy nih
    jenis tak boleh terima kenyataan kalau
    ada something bad happen kat dorang
    ufufufu -jgn peduli sy-

    ReplyDelete
  2. sora: hahaaa.... cerita ni masih di peringkat awal. konflik dia akan dtg sikit demi sikit nanti...
    *entah bila laa nak buat diorang kissing ni?
    hohoooo....

    ReplyDelete
  3. hahahah.tekaan aku betul la.

    ReplyDelete
  4. im waiting that part ! haha XD

    ReplyDelete
  5. wow insiden kecil emmm me waiting s.t can make me faint's aww i love words * kai akukah*monopoly hehehe <3 <3 my blood high again * nosebleed* s,t wrong with takumi senpai , xsabarnya tggu new chapter ...nasib baek vicky far from me >< stalk you >< episode kali ni pown besttt^__^d

    ReplyDelete
  6. haru nie.. memang nak kena ni.. usik my ryoki sampai begitu! ooppss.. hahaha..

    ReplyDelete
  7. tsundere uke sentiasa comel!!! habislah....karang hawa terbayang mpreg .....

    ReplyDelete

Komen-komen korang sangat-sangat dihargai.