Saturday, 14 January 2012

Mesej Rahsia Kami : Bab 12

Pergaduhan di luar padang

Dari jauh aku melihat dua orang pemain Kuwato yang menerima 'upah' daripada Jin dan Nao tadi sedang berjalan menuju ke padang dengan gelak tawa yang amat menyakitkan hati. Tanpa teragak-agak, aku menghalang laluan mereka dengan menghentakkan kakiku ke dinding koridor dan merenung kedua-duanya dengan pandangan mata yang bengis. Aku memang marah. Kedua-dua mereka ni termasuklah senior-senior aku tu mesti diajar cukup-cukup. Peduli apa aku dengan status 'senior' tu!

"Apa masalah kau ni? Ke tepi!" Salah seorang daripada mereka yang  berambut agak panjang melebihi kolar baju memandangku dengan curiga. Keningnya terangkat-angkat lagak samseng dengan suara yang sengaja digaraukan.

"Kau berdua ingat aku tak tahu? Korang sengaja cederakan pemain sekolah kami tadi, kan?" Aku menyoal berani dengan kaki yang masih terletak di dinding. 

"Apa kau merepek ni? Dah kalah tu tak puas hati ke?" Seorang lagi pemain Kuwato yang berambut lebih pendek dan berbadan agak tegap mencelah. Dia menjelingku tajam nampak amat kurang senang.

Aku masih merenung mereka dengan serius. "Banyak ke upah yang korang dapat tu, hah? Lepas ni bolehlah makan besar, kan? Memang takde maruah langsung." Aku menyindir pedas sekaligus meningkatkan kemarahan lelaki berambut panjang. Dia menghampiriku cuba mencekak bajuku. Aku tahu kalau aku tidak berhati-hati, dia akan melayangkan penumbuknya ke mukaku ini. Lalu aku pantas berundur setapak dan kali ini kakiku diturunkan ke lantai semula.

Dua manusia ni nak bergaduh dengan aku? Silakan! Mereka ni memang tak tahu yang aku ni jaguh bertumbuk masa di menengah rendah dulu.

Dan firasatku memang tepat. Lelaki berambut panjang mengerling ke arah kawannya supaya dia juga menghampiriku. Kedua-dua mereka tampak agak marah dan mahu menyerangku. Sepantas kilat aku mengangkat kaki membuat tendangan sisi ke perut lelaki berambut panjang lalu dia tertunduk senak. Rakannya pula dengan lagak marah meluru laju ke arahku dan cuba menumbuk wajahku namun aku dengan cepat berpusing lalu mencekak lengannya dan melipatnya ke belakang. Kemudian aku menghentakkan badan dan mukanya ke dinding lalu mengunci pergerakannya. Rakannya, si lelaki berambut panjang tadi hanya terduduk kaku di lantai.

"Hei, kami cuma diberi upah. Kalau nak belasah, pergilah cari dua pemain sekolah kau tadi tu." Lelaki berambut pendek yang melekap di dinding bersuara termengah-mengah.

"Aku tahu. Dua ekor tu pun memang akan kena dengan aku nanti. Sekarang, aku nak kau berdua ikut aku berjumpa dengan kapten pasukan aku. Dia akan uruskan macam mana nak beritahu kapten kau berdua pula nanti." Aku mengugut.

Muka kedua-dua pemain Kuwato itu kelihatan pucat. Nampaknya mereka tidak mahu perbuatan mereka diketahui oleh kapten pasukan mereka sendiri. Namun, aku terlalu marah untuk bersimpati lalu dengan cepat aku mengheret lelaki berambut pendek tadi sambil mengarahkan kawannya mengikutku ketepi padang untuk berjumpa dengan Takumi.

Dari jauh kulihat wajah Takumi berubah melihat aku membawa dua orang pemain Kuwato yang kelihatan gelisah itu. Pantas dia berlari ke arahku.

"Kenapa ni Ryoki?" Takumi menyoal.

"Mereka berdua ni diupah oleh dua pemain kita supaya mencederakan Haru tadi." Kataku masih belum melepaskan leher lelaki yang dicekakku tadi.

"Hah?" Kening Takumi bercantum. Dia mula memandang ke arah dua pemain Kuwato itu. "Ryoki, lepaskan dia. Kau tak boleh buat macam tu. Ingat, kita berada di sekolah mereka."

Peduli apa aku!?

Namun aku hanya menurut lalu melepaskan tanganku.

"Betul ke apa yang dia cakap ni?" Takumi menyoal dengan nada yang baik kepada mereka berdua. Kedua-dua mereka berpandangan seketika namun hanya mendiamkan diri.

"Cakaplah, bodoh!" Aku hampir menempik hilang sabar.

"Ryoki!" Takumi meninggikan suara sambil menjelingku tajam memberi amaran kepadaku. Aku serta-merta terdiam, masih menghormati kaptenku itu. Takumi memang jarang sekali menaikkan suaranya.

"Betul ke?" Takumi sekali lagi menyoal mereka berdua disusuli dengan anggukan laju. "Siapa yang upah kamu berdua?"

Kedua-dua mereka kelihatan teragak-agak sebelum memberi nama kedua-dua seniorku tadi itu. "Tapi, kami bukan kenal mereka pun. Mereka yang datang jumpa kami dan suruh kami langgar budak tadi dan mereka akan beri kami upah."

Takumi menghela nafasnya berat.

"Kapten, kita patut ajar Yamase dan Tokito tu. Dua orang ni pun sama." Aku memprovok.

"Ryoki, aku faham perasaan kau sebab kau rapat dengan Haru. Tapi, perkara ni bukan main-main. Kau sepatutnya tak boleh buat macam tu pada pemain-pemain Kuwato ni. Jangan ikutkan perasaan kau tu." Kata Takumi sambil mengerling ke arah wajah lebam si lelaki berambut pendek yang aku hentak ke dinding tadi.

"Tapi..." Aku cuba mencelah tidak berpuas hati.

"Aku akan laporkan perkara ni pada kapten pasukan Kuwato dan dialah yang akan ambil tindakan ke atas mereka berdua. Aku tak akan masuk campur urusan pasukan Kuwato dan kita akan serahkan pada kapten mereka. Dan untuk Yamase dan Tokito, aku sendiri akan putuskan apa hukuman terhadap mereka lepas aku dengar dari mereka pula." Sambung Takumi dengan tenang.

Aku mengeluh sedikit namun aku tahu kata-kata Takumi memang benar. Mungkin aku yang emo terlebih.

Urusan pada petang itu diselesaikan dengan cara yang amat baik dan berdiplomasi. Takumi berjumpa dengan kapten pasukan Kuwato yang telah berjanji akan menguruskan perkara itu. Masing-masing juga berjanji akan terus berdamai dan tidak akan melibatkan perkara ini dalam perlawanan-perlawanan yang akan datang. Semua orang kelihatan amat profesional kecuali aku. Tapi, bila difikirkan balik, kalau aku tak buat macam tu, tiada siapa akan tahu hal ini.

Aku mengerling ke arah Jin dan Nao yang hanya tertunduk setelah bercakap dengan Takumi. Kai dan Haru juga turut mengetahui perkara itu setelah mereka keluar dari bilik rawatan.


"Terima kasih, Ryoki. Aku tak sangka kau ambil berat pasal aku." Haru tersenyum apabila kami bertiga berjalan perlahan-lahan ke stesen tren yang terletak beberapa ratus meter dari Sekolah Tinggi Kuwato itu. Matahari semakin mencecah ke ufuk barat dan warna oren mula mewarnai langit menandakan senja semakin menjelang.

"Hemm. Tak adalah. Kebetulan je aku terserempak dengan mereka tu." Kataku cuma menyembunyikan sedikit rasa gembira di hati mendengar ucapan itu dari Haru. Rasa macam hero pula aku hari ni.

"Ryo, kau ni memang takkan mengaku kan? Kau memang lelaki yang ambil berat pasal kawan-kawan." Kai pula mencelah sambil ketawa terkekeh-kekeh.

"Mana ada! Perasanlah kau ni!" Aku marah dengan muka yang merah.

"Hahaa... muka dia dah merah. Comelnya!" Haru pula mengusik.

"Bodohlah kau ni!"

"Betul. Ryo memang comel. Comel sampai aku rasa nak cium..." Kata Kai sebelum dia mematikan kata-katanya dengan segera dan begitu juga dengan langkahku dan Haru. Kami berdua berpusing memandang ke arah Kai yang kini terdiam dengan wajah yang sedikit merah itu.

Sepantas kilat aku mula teringat peristiwa CPR di tepi sungai beberapa malam lalu dan kini muka aku pula naik merah. Tapi... kenapa Kai cakap macam tu? Mana ada lelaki cakap macam tu pada kawannya. Kalau orang biasa, mereka akan rasa geli kalau diusik macam tu, tapi, bila Kai cakap yang dia rasa seperti nak ci...cium aku, aku yakin aku takkan boleh tidur lena malam ni.

"Hooo... apa ni? Kenapa senyap sunyi pulak ni?" Haru mencelah mematikan suasana janggal itu. Dia mengangkat kening tanda curiga dan aku tahu otaknya itu mula memikirkan sesuatu. Sesuatu yang kurang enak.

Namun, aku dan Kai hanya terus berjalan tanpa berkata sepatah pun. Soalan Haru kami biarkan. Biarlah dia menggunakan imaginasinya sendiri.

"Hei, apa ni! Ada sesuatu terjadi antara korang berdua ke?" Haru menjerit dan berlari-lari anak mengekori aku dan Kai yang semakin jauh meninggalkannya. "Hoi, jangan laju sangat! Aku sakit kaki ni!"

Kami bertiga terus berjalan menuju sambil disuluh cahaya oren matahari yang semakin terbenam itu. Suasana senja kelihatan amat cantik dan memukau membuatkan kami akan sentiasa terkenangkan saat ini, bersama-sama kawan-kawan di alam persekolahan sambil meniti usia remaja kami.

Tiada sesiapa pun di antara kami tahu yang keesokan harinya merupakan permulaan peristiwa yang bakal mengundang tragedi dan akan menggugat persahabatan dan perhubungan kami kelak.

-bersambung-
teringat anime Kimi to Boku masa karang bab ni

Thursday, 29 December 2011

Layang-layang kertas

ps: aku bayangkan diorang dua ni macam kapel dalam junjo mistake. =) Selamat membaca dan silakan komen.



"Tuan Muda, kereta dah siap sedia. Nak bertolak sekarang ke?" 

Ryuu Amano mengangkat kepalanya merenung lelaki muda yang sedang memandang ke arahnya dengan senyuman sebelum kembali tunduk menghirup teh merah yang dihidangkan di atas meja makan berserta bacon, telur goreng, cendawan dan roti bakar bersama-sama mentega dan sosej goreng. Sarapan paginya hari itu ialah satu set lengkap English breakfast yang amat menyelerakan. Dia langsung tidak menghiraukan lelaki muda yang menegurnya tadi.

"Tuan Muda, awak akan terlewat ke sekolah kalau awak tak bertolak sekarang." Kata lelaki itu lagi, masih dengan senyuman.

"Ishhk.. aku tahulah!" Ryuu membentak lalu bangkit dengan kasar dari kerusi dan mencapai beg sekolahnya selepas mengesat mulutnya dengan napkin.

"Tuan Muda, tali leher awak tak kemas." Lelaki itu menegur lagi. Dia menghulurkan tangannya dan mula membetul-betulkan tali leher Ryuu yang senget ke sebelah kanan itu. Ryuu terdiam membiarkan saja namun matanya tidak lekang daripada merenung wajah bersih lelaki di hadapannya itu. Bertubuh kurus dan sedikit tinggi daripadanya, bermata sepet dan berwajah  bujur. Ryuu perasan jari jemarinya kelihatan runcing sekali.

"Hiro." Tegur Ryuu dan lelaki itu mengangkat kepala memandang tuan mudanya.

"Ya?" Hiro menyoal perlahan.

Mata coklat gelap Ryuu tajam merenung Hiro sebelum dia tunduk sekilas memandang ke arah kemeja putihnya. "Betulkan kemeja aku." Dia memberi arahan.

"Baik tuan muda." Jawab Hiro lalu mengalihkan tangannya ke arah kemeja Ryuu. Dia menarik-narik kemeja itu dan membetulkannya di bahagian berhampiran tali pinggang. Ryuu berdiri tegak sekadar membiarkan Hiro membuat kerjanya. Matanya masih tidak lekang memandang lelaki itu. "Dah siap. Sekarang tuan muda boleh pergi ke kereta. Pemandu dah tunggu."

Ryuu menghela nafas kasar lalu berjalan keluar dari ruang makan di rumah agam tiga tingkat itu menuju ke pintu hadapan. Sebuah kereta Mercedes hitam sudah menantinya di hadapan pintu dan seorang lelaki lengkap berseragam pemandu segera membukakan pintu belakang apabila melihat Ryuu keluar dari pintu. Ryuu masuk dan duduk dengan selesa di dalam kereta. Matanya menjeling ke arah Hiro yang berdiri dengan tegak di hadapan pintu rumahnya, masih sedang tersenyum.

Ryuu mengeluh sedikit dan kereta itu mula bergerak keluar dari perkarangan rumah agam keluarga Amano dengan megah.

****

"Hiro, cepatlah sikit." Ryuu menjerit ke arah Hiro yang berlari-lari anak mengikutnya di belakang dengan termengah-mengah. Ryuu menoleh memerhatikan budak lelaki itu yang hanya dua tahun lebih tua darinya. Ryuu sedar badan kurus Hiro kelihatan amat lemah, namun naluri kanak-kanaknya tidak dapat ditahan lagi. Dia mahu menerbangkan layang-layang kertasnya hari itu juga. Cuti musim panas akan berakhir tidak lama lagi dan dia akan kembali ke rumah agamnya di Tokyo esok.

"Ryuu, jangan laju sangat. Aku penat." Hiro melaung dan berhenti sekejap. Dia meluaskan pandangnnya ke arah padang rumput yang luas di sekeliling. Daerah perkampungan di Gunma memang amat nyaman dan musim panas kali ini dirasakan amat istimewa di atas kunjungan anak kepada majikan ayahnya dari Tokyo. Ayah Hiro bekerja di rumah agam keluarga Amano dan dia juga menetap di sana. Hiro pula dijaga oleh datuknya di kampung dan hanya sekali-sekala sahaja ayahnya akan pulang melawatnya. Ibunya pula telah meninggal dunia pada hari dia dilahirkan.

Hiro memang tidak rapat dengan ayahnya. Dia menghabiskan masa hidupnya bersama-sama datuk dan nenek di kampung dan apabila ayahnya menawarkan diri untuk membawanya ke Tokyo pada hari jadinya yang ke 12, dia menolak. Dia lebih selesa tinggal di Gunma menemani datuknya yang kini telah kehilangan isterinya. Nenek Hiro telah meninggal dunia setahun yang lalu.

Kali ini, ayahnya pulang bersama-sama seorang budak lelaki berusia 11 tahun yang diperkenalkan sebagai Ryuu, tuan muda keluarga Amano. Ryuu tinggal di situ sepanjang cuti musim panas itu atas permintaan budak lelaki itu sendiri kerana dia memang sangat rapat dengan ayahnya. Malah, mungkin lebih rapat daripada keluarga budak itu sendiri. 

"Kau ni lembablah!" Ryuu menjerit sekaligus membangkitkan kemarahan Hiro. Budak lelaki yang lebih muda daripadanya itu berani bercakap begitu kepadanya. Namun Hiro sekadar mengalah. Ayahnya telah memberitahu padanya yang Ryuu ialah tuan muda yang tidak akan peduli dengan orang lain.

"Kau lambung layang-layang ni." Ryuu memberi arahan sebelum menyerahkan layang-layang itu kepada Hiro. Dia sendiri akan memegang tali layang-layang dan menerbangkan layang-layang itu nanti. Sebaik sahaja angin bertiup, Hiro melambung layang-layang itu dan Ryuu mula berlari-lari di sekeliling padang supaya layang-layang itu naik lebih tinggi di udara. Ryuu mula ketawa gembira apabila dia berjaya menerbangkan layang-layangnya.

"Cantiknya layang-layang tu bila dah terbang." Komen Ryuu sebelum mengambil tempat duduk di atas rumput. Hiro turut duduk di sebelahnya.

"Ya. Kenapa kau seronok sangat ni? Sebelum ni tak pernah main ke?" Hiro menyoal.

Ryuu menggeleng. "Tak. Papa dan mama tak benarkan aku main permainan macam ni. Aku datang sini pun sepatutnya mereka tak benarkan. Tapi, aku nak ikut Yamada ke sini." 

Yamada Soutarou ialah nama ayah Hiro.

Hiro tersenyum. "Kau ni memang budak kaya yang manja." 

Ryuu pantas mencebik. "Aku tak manjalah. Aku dah besar."

Sejujurnya Hiro dapat nampak dirinya di dalam budak lelaki itu. Seorang yang ketandusan kasih sayang ibu bapa kandung dan hanya menumpang kasih kepada orang lain. Perlahan-lahan Hiro menghulurkan tangannya dan mengelus rambut Ryuu dengan lembut. Dia mahu menganggap Ryuu sebagai seorang kawan. Sebagai seorang adik.

"Terima kasih ya." Kata Ryuu perlahan.

"Untuk apa?" Hiro menyoal agak hairan.

"Sebab ajar aku main layang-layang." 

Hiro menekan perutnya mahu ketawa. Takkan ada orang yang akan berterima kasih disebabkan perkara remeh begini. Namun dia tersenyum. "Ya. Sama-sama."

****

Ryuu yang berusia 17 tahun mencampakkan beg sekolahnya di atas sofa. Dia menghempaskan punggung di atas kerusi dan mengangkat kakinya ke atas meja. Tangannya meraba-raba poket seluar dan mengeluarkan sepaket rokok dan pemetik api. Dia menyuakan sebatang rokok dan menyalakan api di hujungnya.

"Tuan muda, merokok tak baik untuk kesihatan. Awak tu masih seorang pelajar." Satu suara menegurnya dari belakang. Hiro berjalan menghampirinya dan spontan dia menarik rokok di bibir Ryuu.

"Hei!" Ryuu berteriak marah.

"Duduk elok-elok sikit, tuan muda. Kasut awak akan kotorkan meja nanti." Hiro masih menegur dengan suara yang rendah. Wajahnya yang tanpa perasaan itu menimbulkan rasa geram di hati Ryuu.

"Hiro, kau.. kau masih benci pada aku?" Ryuu menyoal.

Hiro terdiam, berdiri tegak membelakangi Ryuu yang juga sudah mula bangun dari kerusi itu. Dia sudah mengagak perkara ini pasti akan dibangkitkan oleh Ryuu juga satu hari nanti.

"Hiro!"

Ryuu mencekak lengan Hiro dan menariknya berpusing berhadapan dengannya. Wajah Hiro kelihatan amat kelat dan sugul. Perkara yang sudah lama dielakkan oleh mereka kembali dibangkitkan oleh Ryuu hari ini. Hiro menepis tangan Ryuu. "Tuan muda, saya nak buat kerja saya."

"Hiro! Aku tahu kau benci aku. Aku dah boleh agak. Sebab akulah, kau kehilangan Yamada. Tapi yang aku tak faham, kenapa kau masih nak kerja di sini? Sebagai butler aku. Apa motif kau sebenarnya?" Ryuu meninggikan suaranya.

"Jangan sebut pasal benda lama."

"Tapi... masa tu, kalau aku tak berkeras ajak kau main layang-layang di atas bukit, benda tu takkan terjadi. Yamada juga akan terus hidup dan kita berdua masih boleh berkawan..."

"Jangan ungkit benda lama!" Hiro menumbuk dinding dengan suara yang tinggi dan menggeletar. Dia mengetap bibirnya dengan perasaan marah yang memuncak. Ryuu yang kelihatan terkejut itu langsung tidak dihiraukannya.

Ryuu menarik nafas panjang dan berjalan menghampiri Hiro. Ruang tamu yang selalunya senyap sunyi itu terasa dingin sekali. Suara marah dari Hiro memang mengejutkannya, namun jauh di sudut hati dia lega. Inilah pertama kali Hiro menghamburkan amarah padanya. Perasaan yang sepatutnya masih berbekas di hatinya sejak 6 tahun lalu, sejak ayahnya meninggal dunia. Dan semuanya disebabkan Ryuu. Ryuu dihantui rasa bersalah menyebabkan perawakannya berubah secara mendadak. Dari seorang budak yang ceria, dia berubah menjadi semakin keras dan dingin. Hanya Hiro sahaja yang sentiasa tersenyum seperti dulu seolah-olah tiada apa pernah berlaku padanya. Padahal Ryuu tahu yang Hiro sebenarnya sentiasa berpura-pura.


Tidak lama kemudian, mata Hiro mula terbuntang luas. Dirasakan kehangatan badan Ryuu berpindah ke belakangnya apabila lelaki itu tanpa semena-mena melingkari tangan di pinggangnya erat. Ryuu sedang memeluk tubuh Hiro dari belakang.

"Kau boleh marah aku. Kau boleh tumbuk aku. Tapi, kau tak boleh benci aku." Ryuu berbisik.

Hiro membatu dengan muka yang berkerut. Masih terkejut dengan debaran menendang dada. Ryuu memeluknya dari belakang, dia memang tidak pernah membayangkan. Tapi...

"Aku minta maaf. Aku patut minta maaf dari dulu lagi. Sejak peristiwa tu, aku jadi takut. Aku takut kau akan salahkan aku dan benci aku sedangkan masa tu, aku betul-betul nak berkawan dengan kau. Kaulah kawan sebenar aku yang pertama. Orang lain dekati aku sebab kedudukan papa dan mama. Tapi, aku tahu kau berbeza. Selama kau kerja di sini, aku risau. Kau selalu senyum depan aku, tapi kau tak pernah cakap apa-apa. Aku langsung tak tahu apa yang kau fikirkan. Aku lebih rela kau marah dan tengking aku dari berpura-pura macam ni." Kata Ryuu dengan pelukannya masih belum terungkai.

Hiro menghela nafasnya kuat. "Tuan muda, memang saya marah. Awak patut tahu yang saya penghidap asma dan badan saya memang lemah tapi awak masih paksa saya panjat bukit tu untuk main layang-layang dengan awak masa tu. Awak seorang yang sangat pentingkan diri dari dulu sampailah sekarang. Disebabkan sikap awak ni, ayah saya terima akibatnya. Memang semuanya salah awak."

Ryuu terkedu mendengar kata-kata Hiro namun dia masih kuat memeluknya sambil memejamkan mata. Kepalanya dirapatkan ke belakang leher Hiro hinggakan lelaki itu dapat merasakan hembusan nafas Ryuu yang semakin kencang itu. 

"Tapi saya tak pernah bencikan awak. Saya tak pura-pura sebab saya memang nak berada di sini. Sejujurnya saya berterima kasih pada awak sebab pada masa tu lah baru saya sedar yang dia sebenarnya sayangkan saya. Saya selalu rasa dia abaikan saya dan bila saya nampak awak dengan dia, saya cemburu. Saya ingatkan dia lebih sayangkan awak masa tu. Masa penyakit asma saya menyerang di atas bukit tu, dialah yang dukung saya turun dari bukit dengan cemas sampaikan dia tinggalkan awak seorang. Tapi, dia tergelincir dan jatuh masa dia berpatah balik untuk ambil awak lepas hantar saya ke bawah."

"Kau.. tak benci pada aku?" Ryuu menyoal.

"Langsung tak. Kalau benci, saya takkan tepati janji dengan ayah untuk jaga awak."

"Janji apa?" 

"Sebelum dia meninggal dunia di hospital, dia pesan pada saya supaya saya terus berkawan dengan awak. Dia nak saya selalu tengok-tengokkan awak sebab... dia rasa awak selalu sunyi dan sorang-sorang. Sebab tu saya datang ke sini, ambil alih tugas ayah dan jadi butler awak."

Ryuu mengukir senyuman. "Bodoh betul kau ni. Aku tak perlukan butler untuk jaga aku. Kan aku pernah cakap yang aku dah besar. Aku cuma perlukan... Hiro Yamada di sisi aku."

Hiro tergamam. Seketika kemudian dia merasakan pelukan Ryuu semakin longgar. Dia berpusing menghadap wajah Ryuu yang kelihatan merah padam itu, semerah wajahnya sendiri.

"Baik, tuan muda." Kata Hiro sedikit tertunduk cuba menyembunyikan rasa segannya di hati. Dia akui dari dulu lagi Ryuu akan sentiasa menang. Lelaki yang pentingkan diri itu pasti akan mendapat apa saja yang diingininya. Namun Hiro tahu, dia juga begitu kerana dari dulu lagi hanya Ryuu seorang sahaja di mata dan hatinya. 

"Panggil aku Ryuu semula dan ini adalah satu arahan." Ryuu tersenyum.

-tamat-

Sunday, 18 December 2011

Mesej Rahsia Kami : Bab 11

FRIENDS TILL THE END

Aku mencangkung di tepi padang sambil mendengar penerangan dan arahan terakhir dari kapten pasukan bola sepakku, Takumi. Dia kelihatan begitu bersemangat menyusun atur dan memberi kata semangat kepada pasukanku sebelum perlawanan kami bermula tidak lama lagi. Walaupun telingaku mendengar setiap patah kata dari mulut Takumi, namun sekali-sekala mataku melirik jauh memandang kumpulan penonton yang rata-rata terdiri daripada pelajar sekolah tinggi Kuwato memandangkan perlawanan persahabatan ini diadakan di sekolah mereka. 

Dari jauh aku melihat beberapa orang pelajar berseragam sekolahku yang tidak sampai 1/3 daripada pelajar Kuwato. Namun, bilangan mereka yang kecil itu tidak bermakna mereka akan tunduk pada penyokong kumpulan yang besar. Dapat kulihat beberapa orang pelajar perempuan sedang memegang sepanduk nama sekolahku, tidak kurang juga dengan pelajar-pelajar lelaki yang memakai bandana dan begitu semangat bersorak-sorai.

Dan dari kejauhan itu juga aku dapat lihat sesusuk tubuh seorang lelaki yang sekadar duduk di tepi padang bersama pelajar lain. Dia tidak bersorak, namun apabila pandangan mata kami bertaut, dia mengukir seulas senyuman padaku. Senyuman pemberi semangat. Hatiku bergoncang sedikit melihat Kai. Dia sudi datang menonton perlawanan persahabatanku juga dan aku memang gembira. Imej Kai mengucup bibirku ataupun jika seperti katanya yang dia hanya mahu berlatih CPR denganku tidak dapat kupadam dari ingatan. Pantas aku menggeleng-gelengkan kepala.

Aku mesti fokus!

"Ryoki!" Takumi memanggil lalu aku pantas menoleh memandangnya. "Kau jadi penyerang ya. Macam biasa. Budak yang pakai jersi nombor 4 tu badan dia agak besar. Aku dengar dia pernah main untuk pasukan ragbi semasa di menengah rendah. Hati-hati dengan dia." Katanya sambil menunjuk pada pemain pertahanan lawan yang memang bertubuh sasa ala-ala ahli sukan angkat berat itu.

Aku menelan air liur sedikit kerana badannya memang dua kali ganda saiz badanku. Namun aku sekadar mengangguk. "Jangan bimbang pasal aku." Aku memberi jaminan.

Takumi tersenyum sebelum dia melakukan sesuatu di luar dugaanku. Dia menepuk kepalaku perlahan sambil berkata, "Bagus!" sebelum dia mula berlari ke tengah padang apabila wisel dibunyikan pengadil. Aku sedikit terkejut, namun segera tersedar dan berlari mengikutnya. 

Mataku mengerling sejenak ke arah Haru yang sedang duduk di bangku pemain ganti. Tiada senyuman di bibirnya seperti selalu. Nampaknya Haru agak marah padaku kerana kami masih belum bertegur sapa selepas insiden aku memarahinya di tepi padang sebelum ini. Perasaan bersalah sedikit menjalar di hatiku memandangkan dia memang sudah kehilangan kawan-kawan rapatnya akibat gosip gay itu. Dan sekarang, dia kehilangan aku juga walaupun aku tahu dia masih berkawan baik dengan Kai.

Wisel sekali lagi dibunyikan dan perlawanan pun bermula. Pemain pasukan lawan sememangnya mempunyai kelebihan beradu di gelanggang sendiri dan mereka lebih kerap menguasai permainan dan menyerang ke pintu gol. Mujur juga penjaga gol sekolahku, Toyama memang cekap orangnya walaupun apabila hampir separuh masa pertama tamat, gol pertama telah dibolosi mereka menjadikan kedudukan sekarang ialah 0-1. Beberapa orang pemain simpanan telah pun dimasukkan namun tuah masih belum menyebelahi kami.

Masa rehat membuatkan kesemua pemain terduduk keletihan. Kupandang wajah Takumi yang agak kemerahan itu dan dia juga nampak amat letih. Betul katanya. Pemain-pemain Kuwato memang hebat.

"Macam mana ni, Takumi? Player kita banyak dah letih tu." Kata seorang pelajar tahun tiga.

"Kelemahan pasukan kita ialah sebab kita tak ada jurulatih macam mereka. Selama ni, kita berlatih sendiri dan kapten yang akan bantu kita. Cikgu penasihat kita tu setakat goyang kaki saja." Sahut seorang lagi pelajar tahun tiga yang lain.

"Betul tu. Entah salah siapalah yang buat cikgu Araide tak nak turun padang lagi." Kata pemain yang lain pula.

Aku hanya mendengar dengan diam. Mataku melirik ke arah wajah Haru yang mula berubah rona. Memang guru penasihat kelab bola sepak merangkap jurulatih kami ialah cikgu Araide, cikgu yang sama yang menerima luahan perasaan daripada Haru. Kini, mungkin atas sebab itu juga, dia tidak lagi melihat kami berlatih. Mungkin dia sedang mengelak dari berjumpa dengan Haru. Mungkin juga dia tidak mahu mendengar sebarang gosip-gosip liar lagi. Cikgu mana yang mahu namanya digosipkan dengan pelajarnya sendiri, apatah lagi kedua-duanya ialah sama jantina.

"Sudahlah tu! Jangan nak salahkan orang lain pulak. Kita main betul-betul untuk separuh masa kedua ni." Takumi menempik kuat membuatkan kesemua mereka terdiam.

Aku berjalan menghampiri Haru dan duduk di sampingnya. "Kau.. emm kau okey?" Aku menyoal.

"Tak payah nak sibuk pasal aku, Ryoki. Bukan ke kau pun anggap aku ni lelaki gay yang menyusahkan." Katanya dingin.

Aisehh.. merajukkah si Haru ni? Nak tergelak pun ada bila tengok Haru memuncungkan bibirnya macam budak sekolah rendah. Namun aku tahu, ini bukan masanya untuk mengusik dia. Lagipun, aku pun salah juga dan aku masih belum minta maaf lagi.

"Sorry weh. Aku memang cakap kasar pada kau hari tu, Haru. Aku tak patut cakap macam tu. Janganlah marah lagi." Aku meminta maaf.

Haru mendiamkan diri.

"Wei, aku minta maaf ni." Aku mengulang. "Hari tu, memang aku ada masalah dengan Kai. Sebenarnya, semua masalah berpunca daripada aku. Aku ni yang tak berapa betul sikit sekarang. Aku tahu niat kau baik. Sorrylah ya."

Haru memandangku. "Kalau kau nak aku maafkan kau, kau kena buat sesuatu untuk aku."

"Apa dia?"

"Ceritakan semuanya pada aku dari A sampai ke Z." Katanya.

Keningku mula berkerut. "Nak cerita apa pulak?"

"Pasal kau dengan Kai. Sejak bila kau mula suka dia..."

Mukaku kini berubah terus. "Apa kau merepek ni?"

"Ryoki, aku bukan butalah. Aku tahu apa yang tersirat dalam otak lembab kau tu." Katanya.

"Lembab?" Aku menjelingnya geram. Dia panggil aku lembab? Nak kena belasah ke budak ni?

Haru mula tersengih. "Ya! Lembab! Sangat lembab sebab kau pun tak sedar-sedar."

"Sedar apa?"

Haru menggeleng-gelengkan kepalanya. "Tak ada apa-apa." Katanya lalu bangkit berdiri apabila dia melihat Takumi mula memanggil pemain-pemain pasukanku.

"Hei, apa  kau cakap ni?" Aku menumbuk bahunya perlahan namun dia sekadar ketawa. Pada masa itu, aku sedar yang dia telah mula memaafkanku. Aku lega. Haru telah menjadi sahabatku semula.

"Ryo! Haru!" Aku terdengar seseorang memanggil kami lalu terus menoleh. Kelihatan Kai sedang berdiri beberapa meter dari kerusi pemain di tepi padang.

Sebaik sahaja aku terpandang wajah Kai, kurasakan perutku seperti memulas dan jantungku hendak berhenti. Imej itu kembali menghantui fikiranku. "Apa dia?" Namun, kugagahkan diri juga bertanya.

"Main betul-betul. Dah separuh masa kedua ni. Kalau menang, aku janji akan belanja korang berdua." Katanya separuh melaung.

Haru membuat lambang peace dengan dua jarinya sambil tersengih manakala aku sekadar mengangguk sebelum berlari ke arah Takumi yang kusedar sedang merenung kami bertiga dari jauh. Mungkin dia hilang sabar melihat aku dan Haru masih bergurau senda di tepi padang dalam masa yang genting ini.

Sekelip mata semangatku kembali memuncak. Aku mesti jaringkan gol. Demi sekolahku. Demi pasukanku. Dan demi Kai.


Haru dimasukkan sebagai penyerang menggantikan seorang pelajar tahun tiga yang dikeluarkan kerana kecederaan. Dia kini bergabung bersamaku dan aku yakin aku dan dia dapat bermain dengan baik. Takumi mengambil tempatnya sebagai pemain tengah dan dia memang seorang pemain yang cekap. Aku bernekad yang setiap hantaran daripadanya tidak akan kupersia-siakan.

"Haru, abaikan mulut-mulut orang lain. Kau layak bermain atas padang ni dengan kami." Kataku sambil menepuk bahu Haru. Aku tidak mahu dia terasa dengan kutukan pemain-pemain lain.

Haru tersenyum dan mengangguk. 

Wisel dibunyikan dan bola dihantar bertubi-tubi. Pergerakanku sentiasa disekat oleh pemain berbadan besar berjersi nombor 4 itu dan aku sentiasa mengambil kesempatan itu menyepak bola kepada pemain lain. Peluangku untuk menjaringkan gol masih belum tiba nampaknya. Aku mengerling ke arah Kai di tepi padang. Dari duduk, dia bangkit berdiri dan kini dia juga menjengah ke depan menyertai pelajar-pelajar lain yang bersorak di tepi.

Kesempatan datang apabila bola bergolek di kaki Haru. Dia menggelecek bola hendak membawa ke kotak penalti dan aku benar-benar yakin dia akan berjaya menjaringkan gol apabila dua orang pemain pertahanan pasukan Kuwato mula mengepung Haru. Salah seorang daripada mereka tunduk dan seperti sengaja melibas kaki Haru dengan kuat. Dia tersungkur ke tanah dan bola itu tercampak keluar dari padang.

Aku pantas berlari ke arahnya yang masih tidak bangkit berdiri. "Haru!" Aku memanggilnya cemas.

Tidak lama kemudian dia mula mengangkat mukanya dengan wajah yang berkerut menahan kesakitan. Jika tidak kerana kelihatan air mata di tepi matanya, aku pasti menyangkakan kecederaan yang dialaminya tidak serius.

"Kau okey ke Haru?" Aku menyoal lalu memandang ke arah betisnya. Haru masih terbaring sambil memegang kakinya yang nampak tercedera itu. Beberapa orang pemain mula mengelilinginya.

"Dia okey ke?" Kedengaran suara seseorang menegur.

"Alah... sikit je tu. Mengada je lebih."

"Bangunlah wei, budak gay. Takkanlah lembik sangat kau ni. Buat malu sekolah kita je."

Aku kini terkesima. Situasi Haru lebih buruk daripada yang kusangka. Dengan wajah Haru yang kelihatan sedang menanggung perit di kaki, aku amat pasti hatinya menanggung luka yang lebih dalam apabila pasukannya sendiri seperti memperlekehkannya. Mengatanya seperti dia ialah buah yang rosak. Aku mula naik geram. Kalau hendak diikutkan hati, mahu saja aku menumbuk mulut-mulut mereka yang mengatanya tadi. Penumbukku kini tergenggam erat.

"Keluarkan dia dulu. Nampaknya serius juga kaki dia." Suara Takumi seperti air sejuk yang menyiram ke atas bara yang menyala. Kemarahanku juga kian reda apabila Takumi menunjukkan dia mengambil berat terhadap kawanku itu. Haru diusung keluar dari padang dan perlawanan pun bersambung beberapa minit kemudian.

*****

Aku dan Kai menjenguk Haru yang terbaring di bilik rawatan sekolah tinggi Kuwato. Kakinya dibalut dan diletakkan ice pack oleh petugas bilik rawatan dan dia sendiri tersenyum lemah memandang ke arahku.

"Macam mana?" Dia menyoal.

"Kita kalah." Aku menjawab perlahan dan kelihatan rona sedih di mata Haru. Rasanya dia begitu berharap kami akan memenangi perlawanan ini. "Tak apalah. Perlawanan lain kali kita mesti akan menang." Aku memujuk.

"Betul. Kaki kau sakit lagi ke?" Kai pula menyoal.

"Sikit-sikitlah. Kaki diorang tu macam batang besilah. Sakit gila waktu aku kena libas tadi."

"Aku tengok diorang tu macam sengaja je tadi." Kata  Kai sambil mengambil tempat di sebelah Haru di atas katil. Dia merenung betis Haru sambil berkerut.

"Biasalah main bola. Kadang-kadang memang boleh cedera." Aku membalas. Kaki Haru memang kelihatan lebam dan aku pasti hentakan tadi memang kuat. Nasib baik tak patah saja.

Bunyi SMS di telefon bimbitku mengejutkan kami semua. Pantas ku membaca SMS dari Takumi yang meminta hendak berjumpa denganku sekejap di tepi padang lalu aku terus meminta diri meninggalkan Kai dan Haru di bilik rawatan. Aku berjalan perlahan-lahan menyelusuri sepanjang koridor di luar blok bilik rawatan yang terletak di tingkat bawah. Bangunan sekolah tinggi Kuwato ni agak mengelirukan juga rasanya.

"Bagus kerja kau tadi." Sayup-sayup kedengaran suara seseorang yang aku kenal di belakang bangunan itu. Aku berjengket menghampiri dinding dan mengintai di sebaliknya. Kelihatan Yamase Nao dan Tokito Jin, pelajar tahun tiga sekolahku sedang berbual dengan dua orang pemain bola pasukan sekolah Kuwato.

Aku mengerutkan dahi. Kalau tak silap, mereka berdua tu lah pemain yang mengepung Haru tadi.

"Nah, ambil upah kau berdua. Ingat, jangan bagitau sesiapa pasal benda ni." Kata Nao sambil menghulurkan beberapa helai wang kertas kepada kedua-dua pemain Kuwato yang sudah mula tersengih-sengih seperti kerang busuk itu.

"Tapi, aku pelik jugak. Kenapa korang nak kami cederakan budak tu? Bukan ke dia pasukan korang?" Salah seorang daripada pemain Kuwato menyoal sambil mengira-ngira wang Yen di tangannya.

"Hishh.. diamlah kau! Jangan banyak tanya. Sekarang, kau berdua mesti pura-pura tak kenal kami. Faham!" Jin pula menyampuk dengan muka yang garang.

Dan aku yang berdiri di sebalik dinding sambil memasang telinga itu, mula menggenggam penumbukku dengan rasa yang amat marah. Kecederaan Haru nampaknya bukan satu kemalangan.

-bersambung-

Friday, 9 December 2011

Mesej rahsia kami : Bab 10

RAHSIA KELUARGA

Telingaku sayup-sayup menangkap bunyi aliran air sungai yang amat tenang pada malam itu. Langit kelihatan amat gelap tanpa sebutir bintang pun. Angin dingin bertiup sepoi-sepoi bahasa dan kedinginannya terasa hingga ke tulang. Malam yang begitu damai ini, sepatutnya akan membuatkan mataku cepat mengantuk menanti masa untuk terlena. Apatah lagi setelah kepenatan menghadiri sekolah dan bermain bola sepak di siang hari. Namun, pada masa ini aku sedang berada di tepi sebatang sungai berhampiran kawasan perumahan aku dalam kegelapan bersama kawan karibku dengan mata yang terbuntang luas.

Masa seolah-olah terhenti untuk beberapa saat dan aku sendiri tergamam. Kai sedang duduk di atas rumput, sebelah kakinya dilunjur dan sebelah lutunya diangkat. Tangan kanannya mencekak bahuku dengan kuat manakala sebelah lagi diletakkan di atas rumput. Kepalanya dilentokkan sedikit dan dirapatkan dengan mukaku. Aku sendiri terkejut sekarang kerana aku dapat merasai bibirku dan bibirnya bersentuhan. Seperti orang sedang bercium.

Kai... cium aku?

Aku masih tergamam dengan mulut yang terkunci rapat. Bibir Kai juga tidak bergerak dan ciumannya bukan seperti dalam filem-filem Inggeris yang aku pernah tonton di TV. Ya... ianya bukannya French kiss. Kai sekadar melekapkan bibirnya ke bibirku. Kalau dalam istilah bahasa Inggeris, ianya mungkin sekadar 'brush'. Entahlah.. aku tak tahu. Dan kepalaku memang kosong saja waktu itu. Tidak menolak juga tidak begitu teruja. Namun kehangatan badan Kai membuatkan jantungku berdegup kencang. Beberapa saat kemudian Kai mula menjauhiku dengan muka yang agak merah padam. Dia menekan bibirnya dan sedaya upaya mengalihkan wajahnya dari mukaku. Barangkali dia juga malu. Tapi... kenapa dia cium aku?

"Kai... kau... ke..kenapa..?" Aku menyoal tergagap-gagap. Lelaki mana yang takkan teperanjat kalau ada lelaki lain mengucupnya, kan? Walaupun sejujurnya aku mengaku yang aku pernah membayangkan perkara ini terjadi dulu. Dan sekarang, imaginasiku dah menjadi nyata.

Kai mendiamkan diri. Dia mula tunduk menekan kepalanya di celah-celah lutut.

"Kai? Kenapa kau ci.. cium aku?" Aku bertanya lagi.

Kai bangkit berdiri dan menjauhi aku. Aku turut berdiri.

"Kai?"

Dia kemudian tiba-tiba sahaja ketawa membuatkan aku mula naik bingung. Kai berpusing menghadap aku semula. "Aku bukan nak cium kaulah!" Katanya.

Habis tu benda apa yang dia buat tadi? Makan nasi?

"Aku tengah berlatih buat CPR. Kau tahu kan, bantuan pernafasan dari mulut ke mulut. Minggu depan cikgu Tarada yang ajar kelas pendidikan jasmani kelas aku nak buat ujian praktikal. Jadi, aku perlu berlatih." Jawapan yang keluar dari mulut Kai memang sangat tidak meyakinkan.

Aku merenungnya tidak percaya. Walaupun aku memang budak yang kurang pandai di sekolah kalau nak dibandingkan dengan dia, tapi aku ni bukannya manusia yang bodoh sangat. "Bukan ke CPR tu kena buat dalam keadaan baring? Orang yang buat CPR tu sepatutnya kena hembus nafas ke dalam mulut orang yang pengsan dan tekan dada dia..."

"Habis tu, kau nak aku baringkan kau?" Kai menyampuk dengan suara yang agak keras. Dia menjelingku tajam dengan muka yang agak serius.

Eh, marah pulak dia? Aku menggaru-garu kepalaku yang tidak gatal. Dia panggil aku ikut dia ke sini sebab dia nak buat latihan CPR dengan aku?

"Tapi Kai, sejak bila pula kelas pendidikan jasmani ada ujian CPR?" Aku menyoalnya masih bingung.

Kai menghela nafasnya keras. "Dahlah, jom balik. Dah lewat ni." Katanya lalu berjalan ke arah jalan raya semula tanpa memandang kearahku.

"Yang kau nak marah-marah ni kenapa? Kau yang tarik aku keluar ke sini." Aku merungut namun terus mengikutnya berjalan. Dia juga sudah tidak bercakap banyak lagi seperti tadi. Aku merenung belakangnya. Bahagian belakangnya memang agak lebar dan ketinggiannya memang bersesuaian sekali dengan badannya. T-shirt kuning cairnya menampakkan susuk tubuhnya samar-samar disuluh lampu jalan. Badannya memang berbeza dengan aku. Aku hanya si kurus yang sentiasa kelihatan tinggi (walaupun dia sebenarnya lebih tinggi dari aku).

Deruan angin bertiup dan berbunyi seperti satu nada di daun-daun pokok. Suasana malam itu amat tenang, setenang hatiku ini. Perlahan-lahan aku mengangkat tangan dan menyentuh bibirku lalu aku tersenyum sendiri.


Kami tiba di hadapan rumahku lima belas minit kemudian. "Eh, lampu rumah aku menyala. Emak aku dah terjaga ke? Mampus aku!" Aku menyoal diri sendiri agak panik.

"Kalau macam tu jumpa esok." Kata Kai sambil memegang basikalnya yang disandar di hadapan tembok rumahku. Dia mengukir seulas senyuman kesal.

Belum sempat aku hendak membalas, kami dikejutkan dengan bunyi benda yang pecah dari dalam rumahku. Selepas itu kedengaran suara kasar seorang lelaki seperti sedang menengking. Wajahku mulai pucat kerana aku tahu siapa empunya suara itu. Pantas aku dan Kai menolak pintu pagar dan berlari ke arah pintu depan yang tidak berkunci. Kelihatan ayahku sedang berdiri di hadapan emak yang sudah jatuh terjelupuk di lantai. Barang-barang di atas almari berhampiran pintu juga sudah jatuh bertaburan di lantai.

"Mak!" Aku berteriak dan darahku tersirap melihat bibir emak yang kelihatan pecah berdarah.

Ayah sekadar berpusing memandangku dengan wajah yang garang. "Kau pergi mana tadi, Ryoki?" Dia menyoal lalu berjalan menghampiriku dengan langkah yang tidak teratur. Dia masih mabuk rupanya.

"Jangan dekat dengan dia! Ryoki, masuk bilik kamu!" Emak mengarah lalu bangkit dan cuba menarik lengan ayahku menahannya supaya dia tidak menghampiriku.

"Berambus!" Ayah menengking sebelum menolak emak dengan kasar. Emak terjatuh lagi dan sekarang kepalanya terlanggar bucu almari. Kulihat mukanya berkerut menahan sakit dan dia seperti hendak pengsan.

"Jangan pukul mak, ayah! Kenapa ayah nak susahkan hidup kami lagi? Tak cukup ke apa yang ayah dah buat selama ni?" Aku menengking dengan mata yang hampir berair.

"Biadap! Macam tu cara kau cakap dengan ayah kau? Biar aku ajar budak tak guna ni!" Dia menempik.

Sepantas kilat mataku membesar apabila melihat emak diperlakukan seperti itu. Aku menolak ayah lalu bergegas menghampiri emak di lantai. Tiba-tiba aku merasakan bahuku dicekak seseorang dan badanku ditarik supaya berdiri. Ayah sedang berdiri dengan sebuah pasu kecil di tangannya dan dia seperti mahu memukul kepalaku dengan pasu itu.

Beberapa inci saja pasu itu mahu mengenai kepalaku, tangan ayah direntap seseorang. Pasu ditangannya terjatuh dan tangannya dikilas ke belakang. "Lebih baik pak cik pergi dari sini. Kalau tak, kami akan telefon polis." Kai mengugut. Terlupa pula aku dengan kewujudannya tadi. Dia masih belum pulang rupanya.

Ayah menjeling ke arah Kai dan cuba melepaskan diri. Namun ternyata tenaga Kai jauh lebih kuat daripadanya. "Jangan kacau urusan keluarga kami!"

Mata Kai merenung ke arah ayah dengan tajam. Aku sendiri terkejut melihat perubahan di tingkah laku Kai itu. Selama ini, dia amat jarang mempamerkan wajah yang sangat marah seperti itu. Kai sekarang seperti seekor singa yang cedera yang boleh membunuh sesiapa sahaja yang menghampirinya.

"Jangan cuba cederakan Ryo dan mak cik lagi. Kalau saya nampak pak cik buat macam ni lagi, pak cik akan menyesal. Ryo, telefon polis sekarang!"

"Hah?" Aku teragak-agak.

"Ryo!" Suara Kai meninggi.

"Err.. ya." Kataku lalu pantas mengeluarkan telefon bimbitku dari poket seluar.

"Yalah, aku pergi!" Suara ayah kasar menengking dan tangannya terus dilepaskan. Dia menjeling ke arah kami sebelum meludah di kaki Kai dan keluar terus dari rumahku ke dalam kegelapan. Aku mematikan telefon bimbit dan mengeluh lega.

"Mak okey?" Aku menyoal emak yang terduduk di lantai.

"Ya..." Jawabnya. Aku segera memapah emak ke sofa sambil dibantu oleh Kai. Kemudian aku mengambil peti kecemasan dari bawah tangga dan mencuci luka di wajah emak. Kai pula mengambil segelas air di dapur dan menghulurkannya kepada emak.

"Kai, terima kasih ya. Kamu dah nampak keadaan keluarga kami tadi. Mak cik minta maaf." Kata emak kepada Kai yang duduk di sofa.

"Tak apa mak cik." Dia menjawab sopan.

"Kenapa dia balik ke sini? Dia nak minta duit mak lagi?" Aku menyoal sambil menumbuk meja. Geram kerana tidak ada di rumah pada saat emak memerlukan aku. Kalaulah aku ada tadi, aku takkan biarkan ayah cederakan emak lagi.

"Ini rumah dia, Ryoki. Dia boleh balik bila-bila masa saja dia mahu." Jawab emak perlahan.

"Mak, kenapa mak tak nak minta cerai saja? Kenapa mak masih bersabar dengan dia?" Aku menyoal.

Emak tersenyum lalu mengelus lembut rambut perangku. "Kamu tahu kan, kalaulah mak bercerai, kita berdua terpaksa pindah dari sini?"

"Pindah?"

"Ya. Rumah ni dibeli atas nama dia. Kalaulah kami bercerai, kita berdua akan jadi sebatang kara. Mak tak kisah semua tu. Tapi, mak fikirkan kamu. Sekurang-kurangnya, kita masih ada rumah ni jadi tempat berteduh. Kalaulah kita berpindah, kamu juga mungkin terpaksa pindah sekolah, Ryoki." Terang emak.

Aku tergamam. Pindah rumah? Pindah sekolah? Ini bermakna... aku akan berjauhan dari Kai. Tapi, emak juga...

Emak memeluk tubuhku erat. "Kita bersabar dulu, ya. Sekurang-kurangnya sampai kamu habis sekolah."

Aku membalas pelukan emak erat-erat. "Saya janji. Lepas habis sekolah nanti, saya akan kerja dan cari duit. Saya akan beli rumah dan kita akan pergi dari sini. Jauh dari dia." Kataku perlahan.


Aku menghantar Kai ke pagar di depan rumah. "Terima kasih sebab tolong kami, tadi." Kataku.

Dia tersenyum. "Kalau ada apa-apa, kau boleh beritahu aku dan ibu aku. Kami boleh bantu kau."

Aku sekadar mengangguk. Memang selama ini, hanya Kai seorang yang mengerti situasi hidupku. Aku tidak pernah berkongsi kisah keluargaku dengan sesiapa di sekolah.

"Ryo." Dia memanggilku.

"Hemm?"

"Aku akan sentiasa ada dengan kau sampai bila-bila." Katanya.

Aku mengangguk. "Terima kasih. Kau memang kawan terbaik aku." Bibirku menjungkit senyuman.

"Ya... kawan..." Katanya perlahan seperti berbisik. Dan pada masa itu, aku amat pasti yang ekspresi wajahnya kelihatan amat suram dan sayu seperti dia sedang menahan dirinya dari berbuat sesuatu.

-bersambung-

Sunday, 4 December 2011

Mesej rahsia kami : Bab 9

Kemarahanku dan ciuman pertamanya

Bunyi wisel bergema di seluruh padang. Latihan bola sepak ala-ala Sparta telah bermula. Takumi telah menyiapkan jadual latihan setiap petang dan dia memang sangat serius dan berdedikasi ketika di padang. Aku sendiri bukan lawannya ketika dia beraksi.

"Ryoki!" Haru memanggilku selepas latihan tamat pada satu petang. Hari ini ialah hari ketiga latihan kami diadakan dan aku akui pasukan bola sekolahku bertambah mantap.

"Apa dia?" Aku bertanya sambil meneruskan jalanku ke tepi padang. Haru berlari-lari mengekori di belakangku.

"Kau dengan Kai bergaduh?" Haru menyoal cepat.

Aku menjelingnya tajam. "Bila masa pulak aku bergaduh dengan dia?"

"Kai bagitahu aku yang kau macam marah pada dia semenjak dua ni."

"Merepek. Aku penatlah balik dari latihan tiap-tiap petang." Aku membalas acuh tak acuh. Kai beritahu Haru aku marahkan dia?

Haru menarik tanganku agak kasar memaksaku berhenti dan memandangnya. Kini aku mula naik darah. "Apahal kau ni?" Habislah... sikap panas baran aku datang semula.

"Aku langsung tak faham dengan perangai kau ni, Ryoki. Kai takkan telefon aku malam-malam buta semata-mata nak cakap yang kau tengah marahkan dia tak bersebab. Dia tengah susah hati sebab dia tak tahu apa salah dia." Suara Haru sedikit meninggi.

Tak tahu salah dia? Aku mula naik geram. Aku mungkin agak emosional sejak akhir-akhir ini dan sejujurnya aku takkan jadi semarah ini kalau Kai berterus-terang beritahu aku yang dia dah ada girlfriend (walaupun mungkin aku sendiri akan patah hati) tapi, kenapa dia perlu menipu aku? Adakah selama ini dia tak anggap aku sebagai kawan yang penting?

Sejak hari Sora Iwase masuk ke kelasku, aku sudah mengelak dari Kai. Panggilan telefonnya tidak kuangkat, SMSnya lambat-lambat kubalas malah aku sengaja bertolak awal ke sekolah dan memberi alasan yang aku mahu bertemu Takumi untuk perbincangan latihan bola setiap pagi.

"Kan aku dah cakap, aku penat. Mana ada aku marah pada dia." Aku membentak sambil menepis tangan Haru kasar.

"Ryoki, kau..." Haru melaung sejenak sebelum dia menutup mulutnya. Aku perasan yang matanya sedang merenung seseorang di tepi padang. Aku menyoroti pandangan matanya dan terpandang Kai sedang berdiri di tepi padang sambil menggalas beg sekolahnya. Wajahnya kelihatan kemerahan menahan panas petang dan peluh keringat membasahi baju sekolahnya di petang musim luruh ini.

Kai? Dia tunggu aku habis latihankah?

Aku berjalan perlahan-lahan menghampirinya. Aku tahu yang aku sudah tidak ada alasan lagi hendak mengelak daripadanya. Sekarang aku perlu mencipta seribu satu alasan yang perlu dijelaskan padanya. Dan pastilah alasan 'cemburu' tidak akan termasuk di dalam senarai.

Hanya beberapa meter aku daripadanya, tiba-tiba seorang gadis berlari-larian menghampiri Kai sebelum mencekak lengannya. Langkahku terhenti mendadak dan aku sekadar memandang Kai sedang bercakap dengan Sora dari jauh. Gadis itu menarik-narik lengan Kai ke satu arah dan nampaknya Kai agak keberatan untuk mengikutinya. Dia memandang ke arahku dengan wajah yang runsing. Aku tahu dia mahu menemuiku. Untuk seketika, aku ingin sekali menghampiri mereka dan menarik Kai menjauhi Sora, namun aku tahu yang aku tidak boleh berbuat begitu.

Aku mengelus nafas lemah dan terus membelok menjauhi mereka berdua. Aku mengatur langkah ke arah pili air dan dari ekor mataku aku nampak Kai berjalan mengekori Sora ke satu arah bertentangan. Aku sengaja membiarkan kepalaku dibasahi air lama-lama.

"Sebab perempuan tu ke?" Haru tiba-tiba menyoal dari belakangku. Aku terkejut. Nampaknya budak ni memang penyibuk, malah amat sensitif juga.

"Apa kau merepek ni?" Aku bertanya lalu menutup pili air dan mengibas-ngibas rambutku yang basah.

"Ryoki, aku dah tahu. Kau tak boleh nak sembunyikan benda ni daripada aku." Dia berkata dengan nada yang lembut seperti memujuk.

Aku menjelingnya tajam.

"Kau suka kat Kai, kan?" Soalan itu akhirnya terpacul keluar dari mulut Haru.

Mukaku bertambah panas. "Mengarut! Kau ingat aku ni sama macam kau? Aku bukan gay!" Aku menengking dengan suara yang ditahan-tahan. Pantas aku menolak tubuh Haru menjauhiku lalu terus aku berlari menjauhinya tanpa menghiraukannya langsung. Jauh di sudut hati, aku rasa amat bersalah pada dia. Haru hanya mahu membaik pulih hubunganku dengan Kai. Aku tahu semuanya memang salah aku. Tapi, aku masih belum bersedia untuk mengakuinya. Aku tak mahu sesiapa pun tahu tentang perasaan aku pada Kai.


Malam itu telefonku berdering lagi. Nama Kai terbit di skrin namun aku sekadar mencampakkannya ke bawah bantal. Setelah beberapa lama telefonku berhenti berdering. Nampaknya dia telah mengalah juga. Aku sekadar merenung siling memikirkan perbuatanku pada Haru. Aku mesti minta maaf pada dia esok.

Baru saja aku hendak terlelap, kedengaran tingkap bilikku berbunyi seperti dilontar batu. Pantas aku bangkit dengan hati yang cuak. Seseorang sedang melontar batu-batu kecil ke tingkap bilikku dan sekali-sekala kedengaran bunyi loceng basikal dibunyikan. Aku menghampiri tingkap dan membukanya dengan berhati-hati. Seketul batu tepat mengenai pipiku.

"Sakitlah, bodoh!" Aku hampir menjerit apabila terpandang Kai sedang berdiri di hadapan rumahku sambil menuntun sebuah basikal di bawah sinaran lampu jalan. Tingkap bilikku betul-betul menghala ke hadapan rumahku.

"Ryo, turun sekarang." Dia mengarah dengan wajah yang serius.

"Kau tahu tak sekarang dah malam?" Aku melaung.

Dia mengetap bibirnya sebelum membunyikan loceng basikalnya berulang-ulang kali. Perangainya memang tak pernah berubah sejak kecil.

"Wei, berhentilah. Nanti jiran marah!" Aku menegah namun dia tidak peduli. Loceng basikal semakin kuat dibunyikan. "Yalah-yalah. Aku turun sekarang. Jangan bising lagi!" Kataku lalu menutup tingkap dan mencapai jaketku yang tersangkut di dinding. Loceng basikalnya sudah tidak berbunyi lagi.

Aku menghampirinya dan bersandar di pintu pagar. "Kau nak apa?" Aku menyoalnya.

"Ikut aku kejap." Dia mengarah lagi.

"Nak pergi mana malam-malam ni?" Aku menyoal terperanjat.

Dia menjelingku sedikit sebelum dengan selamba membunyikan loceng basikalnya semula.

"Yalah! Aku ikut kau!" Aku berkata pantas sambil memandang sekeliling. Takut juga jiran-jiran sekeliling mula naik marah dan mula membaling keluar periuk dan kuali ke arah kami.

Aku dan Kai berjalan ke sungai tempat aku dan dia selalu melepak semasa kami kecil dahulu dengan senyap. Basikalnya ditinggalkan bersandar di tembok rumahku. Dia melabuhkan punggung di atas rumput di tepi sungai yang tenang itu. Alirannya amat perlahan dan bunyi cengkerik kedengaran berlagu-lagu pada malam itu. Aku turut duduk di sebelahnya.

"Kau marahkan aku ke?" Dia membuka mulut akhirnya.

"Taklah." Jawabku berbasa-basi.

"Tipu. Aku kenal kau, Ryo. Kau memang marahkan aku, kan?"

Hurmm... budak ni, nampaknya masih tak sedar apa sebabnya aku naik bengang dengan dia.

"Sora Iwase. Dia kawan kau kan?" Aku akhirnya bertanya.

Mulut Kai terbuka sedikit sebelum dia mengangguk. "Ya. Dia kawan aku di Osaka. Sekarang dia dah pindah ke sini. Sama kelas dengan kau, kan?"

"Kenapa kau tak pernah beritahu aku pasal dia sebelum ni?" Aku menyoal.

"Hah? Kau marahkan aku pasal dia ke? Aku rasa aku tak perlu beritahu kau pasal dia sebab tak penting pun. Dia cuma kawan aku masa tadika dan aku bukannya rapat sangat dengan dia pun." Kai menggaru-garu kepalanya. "Sebenarnya, aku memang nak bercakap dengan kau pasal dia tapi, kau buat tak layan aku pulak semenjak dua ni."

"Tapi... kau tipu aku, kan?" Aku menyoal dengan nada yang merendah.

"Tipu?"

"Kau keluar jumpa dia masa hari aku keluar dengan Takumi Midou dan kau tipu aku hari tu. Kau cakap kau balik terus lepas ambil Gen dari tadika." Aku menyoal namun menyesal beberapa saat kemudian apabila aku perasan yang Kai sedang merenungku dengan wajah yang tidak percaya dan mata yang tidak berkelip. Shit! Kenapa aku jadi macam ni tiba-tiba?

Kai tunduk lalu tersenyum. Entah apa yang bermain di kepalanya, aku pun tidak tahu. Mesti dia tengah gelakkan aku. "Sorry, Ryo. Aku tak ada niat nak tipu kau. Aku memang nak balik hari tu, tapi tiba-tiba saja Sora telefon aku cakap yang dia ada di Tokyo dan minta nak jumpa dengan aku. Aku tak sampai hati nak tolak sebab dia datang dari jauh. Masa jumpa, dia langsung tak beritahu aku yang dia pindah ke sini dan nak tukar ke sekolah kita. Aku langsung tak tahu dia akan sekelas dengan kau."

Kini, mata aku pula terkebil-kebil memandang dia. "Oh..."

"Kau.. marahkan aku sebab Sora? Aku tak sangka.." Katanya seperti hendak tergelak.

Merona merah mukaku waktu itu. Ya.. memang tak masuk akal. Mana ada lelaki akan marah pada kawan lelakinya kalau dia nak keluar dengan perempuan mana pun, kan?

"Taklah." Aku cuba mengelak dan hendak bangkit menjauhi Kai dengan segan.

Namun, dia pantas menarik tanganku supaya aku terduduk di tanah semula. "Macam cemburu je kau ni. Comelnya."

"Tak! Jangan kata aku comellah, bodoh!" Aku membidas marah dan cuba menepis tangannya. Namun, genggaman tangannya kian kuat. Dia menarik bahuku supaya aku akan terus duduk di tanah. "Kai, lepaslah." Aku meronta dan menoleh memandang wajahnya. Dan pada waktu itu juga aku terperanjat apabila dia semakin mendekatkan wajahnya ke wajahku. Dia hampir memejamkan matanya dengan wajah yang agak serius membuatkan aku tergamam. Beberapa saat kemudian aku merasakan bibirnya bertemu dengan bibirku. Mataku kini terbuka luas dan segala otot di badanku kaku seperti ais.

Kai... cium aku?

-bersambung-

Tuesday, 22 November 2011

Mesej rahsia kami : Bab 8

Pelajar Baru

Aku mengetuk-ngetuk jariku di keyboard komputer berulang-ulang kali. Sesekali aku mengerling jarum jam di dinding. Sudah pukul 9 lebih nampaknya namun, nama Kai masih belum muncul di online list dalam forum Sekolah Tinggi Kizuna. Aku resah. Selalunya waktu-waktu begini, dia sudah berada di depan komputernya. Mungkinkah kerja sekolahnya terlalu banyak malam ini sampaikan dia tidak masuk ke forum lagi?

Aku menunggu lagi sehingga jam hampir pukul 11 malam sambil membelek-belek komik kegemaranku, namun namanya masih belum timbul. Kini aku yakin, dia tidak akan online lagi. Terus kumatikan komputerku dengan kecewa. Hasrat hati hendak berchatting dengannya terpaksa kubatalkan. Buku komik di dalam tangan sudah tidak menarik lagi, lantas kucampakkan ke lantai.

Aku membaringkan tubuhku ke atas katil sambil membelek-belek telefon bimbitku. Masih belum ada e-mel baru mahupun missed call. Aku mengeluh berat sambil menutup mukaku dengan bantal dengan fikiran yang menerawang jauh. 

Siapa agaknya perempuan yang keluar dengan Kai tadi? Rasanya dia bukan budak sekelas Kai, malah bukan juga peminat Kai. Ramai juga perempuan yang minat pada dia dan kalau tak silap aku, dia pasti akan menerima surat cinta ataupun luahan perasaan sekali setiap bulan. Yang peliknya, satu pun dia tak pernah terima menjadikan dia salah seorang pelajar lelaki paling 'mahal' di sekolahku.

Kai selalu akan memberitahu aku kalau dia terima sebarang luahan perasaan. Bila aku tanya kenapa dia tak nak terima, dia sekadar menjawab, "Malaslah!" atau "Perempuan tu leceh sikit" atau "Aku tak minat perempuan macam tu."

Jadi perempuan macam mana yang kau minat, Kai?

Ah!! Tak boleh jadi! Aku tak boleh tidur kalau aku tak tahu siapa perempuan yang keluar dengan dia tadi. Pantas tanganku mencapai telefon bimbit dan mendail nombor telefonnya. Beberapa deringan kemudian, dia menjawab.

"Helo?"

"..." Aku terdiam gugup. Tak tahu bagaimana hendak memulakan pertanyaan.

"Helo? Ryo?"

"He.. helo, Kai. Err... kau tengah buat apa?"

"Baru lepas tidurkan Gen. Kenapa?"

"Err.. emm.. sebenarnya aku nak tanya kau sikit."

"Tanya apa?"

"Petang tadi.. emm.. lepas sekolah, kau balik terus ke?"

"Hah? Err.. ya. Aku balik terus. Kenapa kau tanya?"

"Bukan kau kata nak ambil Gen ke?"

"Hahaa.. maksud aku, aku balik terus lepas ambil Gen. Kenapa, Ryo?"

Jantungku tersentap. Kai sedang menipu? Tapi kenapa? Kenapa dia tak mahu beritahu aku yang dia sebenarnya keluar dengan seorang perempuan? Ataupun.... mungkinkah aku sebenarnya yang tersalah orang?

Aku ketawa kecil. "Tak ada apa-apa. Saja tanya. Aku tak nampak kau online malam ni, jadi aku saja telefon tanya kau."

Bunyi nafas Kai kedengaran halus di telefon. "Kau rindu dekat aku ke?"

"Mengarut!" Aku pantas membidas kata-katanya. Dia juga sekadar ketawa. Nampaknya, aku langsung tak dapat buka mulut bertanya pada Kai tentang perempuan yang aku nampak bersamanya tadi. Mungkin juga aku sebenarnya takut hendak mendengar jawapan dari mulutnya. Kalaulah Kai akhirnya mengaku yang dia dah ada girlfriend, bagaimana agaknya reaksi aku?

Tapi yang lebih membuatkan aku runsing ialah.... kenapa dia perlu menipu?

Aku mengucapkan selamat malam kepadanya dengan hati yang sedikit gundah.

****

Aku menguap lalu terus menutup mulutku dengan telapak tangan. Mengantuk pulak rasanya pagi ni. Mataku memandang sekeliling di dalam kelasku. Semua pelajar kelihatan sibuk berborak-borak sesama sendiri dan ada juga yang tunduk menekur buku di meja. 

"Wei Ryoki, aku dengar kau terpilih main dalam pasukan sekolah. Tahniah." Tegur seorang kawan sekelasku, Ichiro Kaiji. Dia menepuk-nepuk bahuku mesra. Aku sekadar mengangguk sambil mengesat air mata yang keluar gara-gara terlalu mengantuk tadi. 

Tempat dudukku terletak di meja paling belakang di sebelah tingkap. Dari dulu lagi, kalaulah cikgu tidak mengatur susunan tempat duduk, aku pasti akan memilih meja di sudut paling belakang di tepi tingkap. Dari tingkat 2 ini, dapat kulihat padang bola yang terletak berdekatan dengan jelasnya. Kali ini, Ichiro menjadi jiran sebelah mejaku dan dialah manusia yang paling rapat denganku di kelas. Ah... kalau tak silap aku, Ichiro ni pernah jadi junior Takumi masa di menengah rendah dulu.

"Kau kenal Takumi kan? Kapten pasukan bola sekolah?" Aku menyoal dan dibalas dengan anggukan dari Ichiro. "Dia tu terkenal ke masa di menengah rendah dulu?"

"Hemm.. aku tak rapat sangat dengan dia. Tapi, apa yang aku dengar, dia tu anak orang kaya. Pergi sekolah dihantar, balik berjemput. Kononnya dia tak berapa bercampur dengan orang dulu." Jawab Ichiro sambil melabuhkan punggungnya di kerusi.

Oh... memang sangat bertentangan dengan Takumi yang aku kenal sekarang ni. 

Pintu kelasku dibuka dan masuklah guru kelasku, Cikgu Yuka Minamoto, seorang guru perempuan yang kecil molek berkaca mata tebal dan berambut pendek paras bahu. Semua pelajar kembali ke tempat duduk masing-masing dan mengucapkan selamat pagi kepadanya sebelum duduk dan memandangnya dengan senyap. Cikgu Yuka memang agak kelam-kabut orangnya. Kebanyakan pelajar lelaki termasuklah aku selalu jugak mengusik dia.

"Hari ni kamu semua akan dapat kawan baru. Pelajar pertukaran dari Osaka. Silakan masuk, cik Iwase."

Seorang perempuan berambut panjang lengkap berpakaian seragam sekolahku masuk ke dalam kelas dan berdiri tercatuk di sebelah Cikgu Yuka. Dia memandang sekeliling dan tunduk memberi hormat. "Nama saya Sora Iwase, dari Osaka. Sila beri tunjuk ajar." Katanya dan mengukir seulas senyuman.

Aku terkejut! Wajahnya, susuk tubuhnya memang serupa dengan perempuan yang aku nampak keluar bersama Kai semalam. Kutenung wajah perempuan itu dengan kurang senang. Adakah ini kebetulan?

Gadis bernama Sora itu disuruh duduk di sebuah kerusi kosong bersebelahan seorang pelajar perempuan. Sempat dia bertegur sapa dengan kawan sekelasku  itu sebelum duduk.

"Cantiknya dia." Ichiro berbisik. Ya... sebagai seorang lelaki, aku mengakui gadis itu mempunyai rupa paras yang cantik. Badannya tinggi dan langsing, amat sesuai sekali dengan skirt pendek sekolah, berambut panjang berwarna coklat tua yang lurus dan disepi sedikit menggunakan pin, bermata bulat, berkulit cerah, berhidung mancung dan mempunyai bibir yang merah merekah. Pendek kata, seorang gadis yang amat cantik dan kelihatan sempurna.

"Hoi, Ryoki! Kenapa kau tenung budak perempuan tu macam tu?" Tegur Ichiro lagi.

Huh?

"Mana ada aku tenung dia." Kataku masih merenung Sora dengan pandangan mata yang tidak senang. Gadis secantik ini kelihatan amat padan sekali dengan Kai.


Loceng rehat akhirnya berbunyi kuat. Masa yang ditunggu-tungguku akhirnya telah tiba. Terasa tepu otakku menghadam subjek Matematik dan Bahasa Inggeris (dua-dua subjek ni ialah subjek kelemahanku). Aku menutup buku dan melemparkannya di bawah meja sebelum menyembamkan mukaku ke meja.

"Ryoki, nak pergi kafe?" Seorang lagi kawan sekelasku, Yoshiyuki Hattori mengajak.

"Emm.." Aku membalas perlahan lalu bangkit dari kerusi. Pada ketika itu mataku seperti terpandang ke arah Sora. Dia sedang bersandar di kerusi dan sedang menoleh ke arahku. Aku sekadar memandangnya sekilas sebelum menyertai kawan-kawanku yang lain. Agak aneh juga cara pandangan mata perempuan itu.

"Ryoki Hijiri?" Suara lunak seorang gadis menegurku ketika aku sudah sampai di pintu belakang kelas.

"Ya?" Aku menjawab malas namun segera membesarkan mata melihat Sora Iwase sedang berjalan ke arahku. Dia kenal aku?

"Tak sangka kita sekelas." Katanya.

"Hah? Kau kenal aku?" Aku menyoal hairan.

Dia tersenyum. "Tak. Aku tak kenal kau. Tapi, aku kenal Kai Tasuke." Balasnya.

Mukaku berkerut. Tak salah lagi. Dialah perempuan yang keluar dengan Kai semalam. "Kau ni siapa? Macam mana kau kenal Kai?"

"Kami kawan sejak kecil masa di Osaka." Jawabnya.

Aku berdiri kaku.

"Ibu dia dan ibu aku berkawan baik dan masih berhubung walaupun dia dah pindah ke sini masa 10 tahun. Aku dapat alamat emel dia dari ibuku dan kami pernah berbalas mesej juga beberapa kali. Dia pernah bercerita pasal kau. Kamu berdua jiran kan?"

Aku mengangguk. Di dalam hati sedikit terkilan kerana Kai tidak pernah emnyebut nama budak perempuan ini langsung sepanjang perkenalan kami. Malah, nampaknya dia ada kata tadi yang dia dan Kai pernah berbalas-balas mesej sebelum ni. Tapi kenapa Kai tidak pernah bercerita pasal Sora kepadaku?

"Emm.. aku nak pergi makan dulu." Aku membalas dengan suara yang sedikit dingin walaupun sebenarnya moodku hendak makan sudah pun hilang. Aku hanya mahu pergi dari Sora sahaja.

"Okey. Memandangkan kita sekelas, kita patut bergaul dengan lebih rapat. Terima kasih sebab jaga Kai selama ni." Sora tersenyum lagi dan kembali ke tempat duduknya.

Apa ni? Kenapa dia cakap seolah-olah dia datang ke sini sebab nak ambil balik Kai? Adakah dia dan Kai memang berpasangan?

"Kau nak makan ke tak nak ni, Ryoki?" Ichiro menyoalku setelah melihat mukaku yang agak masam mencuka ini.

Aku menggeleng. "Aku dah kenyang." Kataku lalu mengatur langkah meninggalkan mereka dan menuju ke satu tempat yang menjadi kawasan aku mencari ketenangan selain daripada sungai berhampiran rumahku iaitu DI ATAS BUMBUNG BANGUNAN SEKOLAH.

-bersambung-

Monday, 14 November 2011

Mesej rahsia kami : Bab 7

Sepetang bersama Takumi Midou

Mulutku separa terbuka manakala Haru hanya tersengih-sengih sambil memegang bahuku. "Aku tak silap, kan?" Dia menyoal sambil mengangkat kening. Pelajar-pelajar semuanya sedang berpusu-pusu masuk ke kelas masing-masing kerana masa rehat telah pun tamat. Kini, hanya aku dan Haru saja yang sedang berdiri di tengah-tengah laluan koridor di depan kelasnya.

Sebelum sempat aku hendak membalas, dia berpusing dan masuk ke kelasnya. Aku hanya mampu memandangnya dari belakang dengan hati yang risau. Haru dah tahu? Tapi, macam mana? Takkanlah tertulis terang-terang kat muka aku ni yang aku suka Kai?

Aku mengeluh lalu berjalan masuk ke kelasku.  Aku mesti bercakap dengan Haru pasal hal ini. Aku mesti meyakinkan Haru yang dia sebenarnya salah. Aku tak boleh biarkan sesiapa tahu tentang perasaan aku pada Kai. Lagipun, aku masih belum kenal Haru sepenuhnya. Siapa tahu dia ada niat hendak memburukkan aku pada orang lain pula.

Pelajaran hari itu kuikuti dengan hati yang tidak senang.


Dari jauh aku terpandang Takumi sedang bersandar di pagar sekolah sambil memegang begnya. Dia melambai kepada beberapa orang pelajar lelaki dan perempuan yang menegurnya sambil tersenyum. Senyuman yang berkarisma itu memang berupaya menarik perhatian sesiapa sahaja yang memandang. Dia juga mengenakan kaca mata apabila tidak bermain bola. Aku dengar Takumi pernah dilantik menjadi ahli jawatankuasa pelajar dulu namun dia menolak kerana ingin menumpukan perhatian sepenuhnya sebagai kapten bola sepak. Disebabkan dialah pasukan bola sepak sekolahku semakin aktif dan banyak kali memenangi perlawanan-perlawanan dengan sekolah-sekolah lain.

Takumi menoleh dan terpandangku yang  sedang berjalan dengan tenang ke arahnya. Aku menanggalkan tali leher dan menarik keluar sebahagian kemeja putihku dari dalam seluar. Kini aku pasti aku kelihatan 100 peratus seperti budak nakal sekolah. Ah... lantaklah!

Takumi berdiri tegak dan mengukir senyuman dan aku hanya membalas dengan mengangkat tangan.

"Jom. Kita naik tren." Katanya.

"Kapten, kita sebenarnya nak pergi mana?" Aku bertanya sambil mengekorinya ke arah stesen keretapi berdekatan.

Takumi memandang ke arahku sekilas. " Kau ni.. kita dah kat kat luar sekolah. Tak payahlah panggil aku kapten. Panggil aku Takumi je dah la." Katanya.

"Err.. ok." Aku membalas teragak-agak.

"Aku sebenarnya nak beli stoking bola baru untuk semua pemain kita pakai duit kelab. Duit kita ada banyak, jadi aku rasa elok juga kalau kelab boleh bagi sesuatu untuk pemain-pemain sekolah kita. Sebagai inspirasi dan saguhati."

Aku mengangguk tanda faham, namun... "Tapi, bukan ke beli-beli barang ni kerja pengurus pasukan?" Aku menyoal mengingatkan pengurus pasukanku, Mika Asatani.

"Budak perempuan tu tak berapa boleh diharap sangat. Dia selalu cuai." Balas Takumi selamba.

Hahaa... kalau macam tu, kenapa ambil dia jadi pengurus sejak awal-awal lagi?

"Kenapa? Kau tak suka keluar dengan aku?" Takumi menyoal sambil menjelingku dari kaca matanya. Jarinya menolak bingkai hingga rapat ke hidung.

Eh?

"Taklah. Aku tak kisah." Aku membalas sambil tersenyum. Aku tak menipu. Aku memang senang dengan kaptenku ini, tapi sebelum ni, kami tak pernah pula keluar berdua macam ni saja. Bukannya aku rasa resah tapi, aku tak dapat mengelak dari berfikir macam-macam. Takumi bergaduh dengan kawan-kawan diakah? Tak mungkin...! Dia memang disukai ramai. Atau mungkinkah dia suka pada salah seorang budak perempuan dalam kelas aku dan sengaja ajak aku keluar sebab nak bertanya tentang budak perempuan tu? Yang ini pun macam mustahil jugak sebab semua orang tahu aku memang tak rapat dengan perempuan. Jadi, tak ada gunanya dia nak tanya aku.

"Kenapa muka kau berkerut serius macam tu?" Aku tersentak apabila Takumi menegur.

"Tak ada apa-apa. Hahaa.." Aku ketawa kecil.

Aku dan Takumi tiba di stesen yang agak sesak dengan pelajar-pelajar yang baru pulang dari sekolah serta orang ramai. Aku dan Takumi berdiri sebelah-menyebelah menunggu tren tiba di platform dengan senyap. Disebabkan aku memang tidak pernah bersosial dengan dia, jadi aku memang langsung tidak tahu apakah topik perbualan dengannya selain daripada topik permainan bola sepak.

Nak cakap apa dengan dia ni, agaknya? Aku menggaru-garu leherku yang tidak gatal itu sambil mengeluh sedikit.

Mataku tiba-tiba terpandang sesusuk tubuh seseorang yang aku kenali di paltform tren itu. "Kai?" Mataku membesar melihat Kai sedang berdiri berseorangan sambil berbual-bual dengan seseorang di telefon bimbit. Dia kelihatan terangguk-angguk tanpa mempedulikan suasana yang agak bingit di platform. Jelas sekali dia langsung tidak perasan dengan aku yang berdiri hanya beberapa meter daripadanya.

"Apa dia buat kat sini..? Dia kata nak pergi ambil Gen di tadika." Aku bergumam sendiri. Terlupa seketika dengan kewujudan Takumi di sebelahku ketika itu, aku mahu menghampiri Kai dan menyapanya.

"Ryoki?" Takumi memanggilku.

"Ah.. ya.. kejap. Aku nak pergi jumpa kawan aku..." Aku cuba meminta diri namun belum sempat aku menghabiskan kata-kata, tren mula tiba di stesen dan orang ramai juga sudah berkumpul dan berbaris di hadapan pintu tren. Lenganku sendiri dicekak oleh Takumi dan dia menarikku ke pintu. Kai juga semakin tenggelam dengan orang ramai, namun aku amat pasti dia juga masuk ke dalam tren yang sama tadi. Kami tidak dapat mendapat tempat duduk dan terpaksa berdiri sambil memegang pemegang yang tergantung di langit keretapi. Aku berdiri di sebelah Takumi dengan hati yang resah memikirkan mengapakah Kai berada di stesen tren yang menuju ke pusat bandar dan bertentangan dari haluan ke rumah kami.

Aku tahu mukaku semakin berkerut kerana Takumi begitu lama memandang mukaku dari sisi. Tapi, aku tidak peduli. Bukannya aku berasa curiga dengan Kai, tapi aku masih rasa aneh. Selalunya dia akan beritahu padaku kalau dia nak buat sesuatu. Mungkinkah dia terlupa?

Keretapi itu berhenti di satu stesen dan ianya semakin padat dengan manusia-manusia yang baru masuk dari stesen itu. Tak ramai pula orang yang turun di stesen ini. Aku semakin lemas.

"Kau okey ke, Ryoki?" Takumi menyoalku. Aku menoleh. Nampaknya, dia berdiri semakin dekat denganku. Mungkin badannya tertolak ke arahku kerana orang semakin ramai. Dapat kulihat garisan lehernya dengan jelas sekali sekarang.

"Okey. Mungkin sebab aku jarang naik tren waktu padat macam ni jadi aku kurang selesa." Aku membalas tenang. Ya... aku memang rasa pening sikit.

"Kau nak bersandar?" Takumi menyoal lagi. Prihatin betul kapten aku ni.

"Takpe. Lagipun, mana nak cari tempat bersandar."

Takumi menatap mukaku. "Kau sandar dekat aku saja."

Aku kembali memandang wajah Takumi memastikan telingaku tidak tersalah dengar. "Ya?"

Tanpa semena-mena, Takumi memeluk pinggangku dan menarik badanku supaya bersandar di badannya. Tangannya memeluk pinggangku dengan mukaku sedang terlekap di lehernya. Aku benar-benar terkejut sekarang. Tak sangka Takumi akan buat macam ni.

"Tak apa.." Aku cuba menolak, namun disebabkan kedudukan aku sudah beralih, beberapa orang yang berdiri berdekatan aku juga semakin berhimpit-himpit. Kini, aku tidak dapat berganjak lagi dan terpaksa melekapkan badanku ke badan Takumi.

Aku malu. Kalaulah orang nampak kedudukan aku dan Takumi yang macam ni dan fikir yang bukan-bukan...

"Relaks Ryoki." Bisik Takumi di telingaku perlahan. "Keretapi ni tengah padat sekarang. Kalau kau asyik meronta-ronta, nanti orang marah."

"Emm.." Aku bergumam dengan senyap dan cuba berdiri dengan tenang. Aku memandang sekeliling. Ternyata semua orang juga sedang berdiri rapat dan berhimpit-himpit antara satu sama lain, jadi tak janggallah kalau aku juga terpaksa berdiri macam ni dengan Takumi. Mereka juga langsung tak pandang ke arah kami.

Tapi masalahnya... kedudukan Takumi sekarang ni seolah-olah dia sedang peluk aku! Sebab tulah aku malu.

Keretapi akhirnya tiba di satu lagi stesen dan orang ramai juga sudah mulai turun. Tren itu juga sudah mulai lapang lalu aku mengambil kesempatan meloloskan diri dari 'pelukan' Takumi. Aku berdiri dengan tenang di sebelahnya semula.

"Lagi satu stesen, kita sampai." Katanya lalu aku mengangguk laju.


Aku dan Takumi berjalan masuk ke sebuah kedai alatan sukan di sebuah pusat membeli-belah. Dia begitu asyik membelek-belek beberapa pasang stoking berjenama Adidas dan Chronos sambil berbual-bual dengan seorang jurujual lelaki. Aku pula mengambil kesempatan berjalan-jalan di dalam kedai itu tanpa ada niat hendak membeli sesuatu. Biarlah Takumi saja yang memilih. Kalau dia minta pendapat aku, barulah aku akan tolong.

Sepasang kasut bola berwarna biru gelap yang terpamer di ruang pameran menarik perhatianku. Aku membelek-beleknya dengan hati-hati dan apabila terpandang harganya, terus aku meletakkannya kembali. Kasut bola yang terlalu mahal dan mewah ni memang setakat untuk aku cuci mata sajalah.

"Kau nak beli?" Takumi menyoal dari belakangku tiba-tiba.

"Taklah. Mahal sangat. Kasut yang sekarang pun elok lagi." Aku memandang ke arah jurujual yang sedang berdiri di sebalik kaunter. "Kau beli stoking tadi?" Aku bertanya.

"Dah. Tapi, diorang tak ada stok sekarang. Jadi, aku kena datang balik esok atau lusa untuk ambil." Dia membalas. "Jom pergi makan."

Aku mengangguk. Kami berjalan beriringan ke tingkat 4 ke sebuah restoran keluarga yang menjual pelbagai jenis ramen. Kedai itu agak terpencil di belakang dan kurang mendapat sambutan. Namun, aku cukup suka suasananya. Selepas memesan makanan, aku cuba mencari topik untuk berbual dengan Takumi.

"Lepas tamat sekolah, kau nak buat apa? Masuk universiti?" Aku menyoalnya.

Dia mengangguk. "Ya. Cikgu kata aku layak untuk ambil peperiksaan kelayakan ke Universiti Tokyo."

Wow!! Dia memang pandai. Sama macam Kai.

"Ryoki?" Takumi memanggilku.

"Ya?"

"Kau ada girlfriend tak?"

Oh... nampaknya Takumi dah mula berbual benda-benda serius dengan aku. "Tak ada. Malaslah." Aku menjawab sambil menghirup kuah miso ramenku yang baru saja dihantar pelayan tadi. Boleh tahan juga rasanya.

Takumi kelihatan terangguk-angguk. "Bila nak cari?" Dia menyoal lagi.

"Ermm.. entahlah. Aku malas nak fikir lagi." Jawabku berbasa-basi. Itulah jawapan standard yang aku akan beri setiap kali orang bertanyakan soalan ini padaku. Yelah... selama 17 tahun hidup aku ni, tak pernah sekali pun aku berpasangan. Minat pada perempuan pun aku tak pernah. Sebabnya, dalam hati aku cuma ada Kai saja sejak dulu. Tapi... takkanlah aku nak beritahu orang yang aku suka pada kawan baik aku pula, kan?

Takumi ketawa. "Kau pun fikir nak utamakan pelajaran dulu ke?"

Aku memandangnya hampir tersedak. Kelakar pula dengar ayat dia. "Aku ni nampak macam orang yang rajin belajar ke?"

"Tak." Dia berkata pantas sambil tersenyum.

Aku ketawa kecil. "Nanti-nantilah. Mungkin masih belum jumpa orang yang aku suka." Aku menipu.

Takumi mengukir senyuman. "Masih belum jumpa... baguslah." Dia seperti bergumam sendiri. Aku memandangnya dengan tanda tanya namun dia tidak pula menyambung ayat-ayatnya itu.

"Kau?" Aku menyoal sekadar ingin tahu.

"Aku masih sendiri. Tapi, aku ada orang yang aku suka." Dia membalas.

Aku mengangguk tanda faham. "Dia tahu ke kau suka dia?"

"Tak. Susah rasanya nak beritahu aku suka dia."

Keningku berkerut. Takumi yang selalu berkeyakinan ni pun malu-malu? Adakah perempuan yang dia suka tu bukan orang sembarangan? Aku tak rasa perempuan akan menolak Takumi kalau dia yang meluahkan perasaannya.

"Kenapa susah? Kau lelaki yang hebat dan disukai ramai. Mesti ramai perempuan yang berebut-rebutkan kau." Aku menyuarakan fikiranku. Tak sangka aku sedang beri nasihat pada seniorku pasal cinta sedangkan aku sendiri pun takut dengan perasaan aku.

Takumi tunduk merenung mangkuk ramen di atas meja. "Perempuan... emmm."

Keningku makin berkerut. Kenapa Takumi seperti menunjukkan wajah yang sengsara di depan aku ni? Hatiku semakin berkobar-kobar hendak tahu siapakah perempuan yang disukainya. Namun, kami tidaklah serapat itu untuk aku bertanya lebih lanjut.

"Kau rasa aku lelaki yang hebat?" Dia tiba-tiba menyoal.

Eh?

"Ya. Kau pandai main bola, bijak, berkeyakinan.." Aku memujinya. Biar dia seronok sikit. Manalah tahu, pujian aku ni boleh jadi rasuah nanti. Bolehlah aku terpilih dalam perlawanan lain yang akan datang nanti. Aku tersenyum sendiri dalam hati.

"Jadi, kalau kau ni perempuan, kau akan suka aku?" Dia menyoal pantas. Terjojol mata aku dibuatnya apabila dia menyoalku begitu. Biar betul kapten aku ni...

"Err... ye la kut." Balasku sambil menggaru-garu leherku yang tidak gatal. Pelik pula bercakap topik macam ni dengan dia. Aku ingatkan Takumi jenis lelaki yang serius dan tak suka bercakap topik-topik begini.

Takumi tersenyum.

Aku melemparkan pandanganku ke pintu masuk restoran apabila sepasang lelaki dan perempuan masuk ke dalam. Jantungku tersentap kerana aku kenal dengan lelaki itu. Lelaki itu ialah Kai, kawan baik aku.

Kelihatan perempuan itu sedang memeluk lengan Kai sambil tersenyum-senyum dan mereka berjalan ke sebuah meja yang agak jauh dari mejaku dan Takumi. Aku mengelipkan mata beberapa kali memastikan aku tidak tersalah lihat dan kini kupasti lelaki yang aku nampak itu benar-benar ialah Kai. Dia masih tidak nampak aku dan Takumi nampaknya.

Kai keluar dengan perempuan? Tapi, dia tak pernah beritahu aku dia dah ada girlfriend. Perutku memulas tiba-tiba dan aku terasa saluran darahku seperti tersekat. Jantungku tersentap dan berdegup kencang sekali.

Aku sedar Takumi sedang bertanya sesuatu padaku namun aku tidak dapat menumpukan perhatian kepadanya lagi. Kepalaku hanya penuh dengan seribu tanda tanya dan rasa tidak senang hati yang teramat sangat.

-bersambung-

:: aku tak sure pasal bab ni sebab aku memang taktau apa lelaki selalu bualkan bila diorang keluar sama-sama.