Friday 9 December 2011

Mesej rahsia kami : Bab 10

RAHSIA KELUARGA

Telingaku sayup-sayup menangkap bunyi aliran air sungai yang amat tenang pada malam itu. Langit kelihatan amat gelap tanpa sebutir bintang pun. Angin dingin bertiup sepoi-sepoi bahasa dan kedinginannya terasa hingga ke tulang. Malam yang begitu damai ini, sepatutnya akan membuatkan mataku cepat mengantuk menanti masa untuk terlena. Apatah lagi setelah kepenatan menghadiri sekolah dan bermain bola sepak di siang hari. Namun, pada masa ini aku sedang berada di tepi sebatang sungai berhampiran kawasan perumahan aku dalam kegelapan bersama kawan karibku dengan mata yang terbuntang luas.

Masa seolah-olah terhenti untuk beberapa saat dan aku sendiri tergamam. Kai sedang duduk di atas rumput, sebelah kakinya dilunjur dan sebelah lutunya diangkat. Tangan kanannya mencekak bahuku dengan kuat manakala sebelah lagi diletakkan di atas rumput. Kepalanya dilentokkan sedikit dan dirapatkan dengan mukaku. Aku sendiri terkejut sekarang kerana aku dapat merasai bibirku dan bibirnya bersentuhan. Seperti orang sedang bercium.

Kai... cium aku?

Aku masih tergamam dengan mulut yang terkunci rapat. Bibir Kai juga tidak bergerak dan ciumannya bukan seperti dalam filem-filem Inggeris yang aku pernah tonton di TV. Ya... ianya bukannya French kiss. Kai sekadar melekapkan bibirnya ke bibirku. Kalau dalam istilah bahasa Inggeris, ianya mungkin sekadar 'brush'. Entahlah.. aku tak tahu. Dan kepalaku memang kosong saja waktu itu. Tidak menolak juga tidak begitu teruja. Namun kehangatan badan Kai membuatkan jantungku berdegup kencang. Beberapa saat kemudian Kai mula menjauhiku dengan muka yang agak merah padam. Dia menekan bibirnya dan sedaya upaya mengalihkan wajahnya dari mukaku. Barangkali dia juga malu. Tapi... kenapa dia cium aku?

"Kai... kau... ke..kenapa..?" Aku menyoal tergagap-gagap. Lelaki mana yang takkan teperanjat kalau ada lelaki lain mengucupnya, kan? Walaupun sejujurnya aku mengaku yang aku pernah membayangkan perkara ini terjadi dulu. Dan sekarang, imaginasiku dah menjadi nyata.

Kai mendiamkan diri. Dia mula tunduk menekan kepalanya di celah-celah lutut.

"Kai? Kenapa kau ci.. cium aku?" Aku bertanya lagi.

Kai bangkit berdiri dan menjauhi aku. Aku turut berdiri.

"Kai?"

Dia kemudian tiba-tiba sahaja ketawa membuatkan aku mula naik bingung. Kai berpusing menghadap aku semula. "Aku bukan nak cium kaulah!" Katanya.

Habis tu benda apa yang dia buat tadi? Makan nasi?

"Aku tengah berlatih buat CPR. Kau tahu kan, bantuan pernafasan dari mulut ke mulut. Minggu depan cikgu Tarada yang ajar kelas pendidikan jasmani kelas aku nak buat ujian praktikal. Jadi, aku perlu berlatih." Jawapan yang keluar dari mulut Kai memang sangat tidak meyakinkan.

Aku merenungnya tidak percaya. Walaupun aku memang budak yang kurang pandai di sekolah kalau nak dibandingkan dengan dia, tapi aku ni bukannya manusia yang bodoh sangat. "Bukan ke CPR tu kena buat dalam keadaan baring? Orang yang buat CPR tu sepatutnya kena hembus nafas ke dalam mulut orang yang pengsan dan tekan dada dia..."

"Habis tu, kau nak aku baringkan kau?" Kai menyampuk dengan suara yang agak keras. Dia menjelingku tajam dengan muka yang agak serius.

Eh, marah pulak dia? Aku menggaru-garu kepalaku yang tidak gatal. Dia panggil aku ikut dia ke sini sebab dia nak buat latihan CPR dengan aku?

"Tapi Kai, sejak bila pula kelas pendidikan jasmani ada ujian CPR?" Aku menyoalnya masih bingung.

Kai menghela nafasnya keras. "Dahlah, jom balik. Dah lewat ni." Katanya lalu berjalan ke arah jalan raya semula tanpa memandang kearahku.

"Yang kau nak marah-marah ni kenapa? Kau yang tarik aku keluar ke sini." Aku merungut namun terus mengikutnya berjalan. Dia juga sudah tidak bercakap banyak lagi seperti tadi. Aku merenung belakangnya. Bahagian belakangnya memang agak lebar dan ketinggiannya memang bersesuaian sekali dengan badannya. T-shirt kuning cairnya menampakkan susuk tubuhnya samar-samar disuluh lampu jalan. Badannya memang berbeza dengan aku. Aku hanya si kurus yang sentiasa kelihatan tinggi (walaupun dia sebenarnya lebih tinggi dari aku).

Deruan angin bertiup dan berbunyi seperti satu nada di daun-daun pokok. Suasana malam itu amat tenang, setenang hatiku ini. Perlahan-lahan aku mengangkat tangan dan menyentuh bibirku lalu aku tersenyum sendiri.


Kami tiba di hadapan rumahku lima belas minit kemudian. "Eh, lampu rumah aku menyala. Emak aku dah terjaga ke? Mampus aku!" Aku menyoal diri sendiri agak panik.

"Kalau macam tu jumpa esok." Kata Kai sambil memegang basikalnya yang disandar di hadapan tembok rumahku. Dia mengukir seulas senyuman kesal.

Belum sempat aku hendak membalas, kami dikejutkan dengan bunyi benda yang pecah dari dalam rumahku. Selepas itu kedengaran suara kasar seorang lelaki seperti sedang menengking. Wajahku mulai pucat kerana aku tahu siapa empunya suara itu. Pantas aku dan Kai menolak pintu pagar dan berlari ke arah pintu depan yang tidak berkunci. Kelihatan ayahku sedang berdiri di hadapan emak yang sudah jatuh terjelupuk di lantai. Barang-barang di atas almari berhampiran pintu juga sudah jatuh bertaburan di lantai.

"Mak!" Aku berteriak dan darahku tersirap melihat bibir emak yang kelihatan pecah berdarah.

Ayah sekadar berpusing memandangku dengan wajah yang garang. "Kau pergi mana tadi, Ryoki?" Dia menyoal lalu berjalan menghampiriku dengan langkah yang tidak teratur. Dia masih mabuk rupanya.

"Jangan dekat dengan dia! Ryoki, masuk bilik kamu!" Emak mengarah lalu bangkit dan cuba menarik lengan ayahku menahannya supaya dia tidak menghampiriku.

"Berambus!" Ayah menengking sebelum menolak emak dengan kasar. Emak terjatuh lagi dan sekarang kepalanya terlanggar bucu almari. Kulihat mukanya berkerut menahan sakit dan dia seperti hendak pengsan.

"Jangan pukul mak, ayah! Kenapa ayah nak susahkan hidup kami lagi? Tak cukup ke apa yang ayah dah buat selama ni?" Aku menengking dengan mata yang hampir berair.

"Biadap! Macam tu cara kau cakap dengan ayah kau? Biar aku ajar budak tak guna ni!" Dia menempik.

Sepantas kilat mataku membesar apabila melihat emak diperlakukan seperti itu. Aku menolak ayah lalu bergegas menghampiri emak di lantai. Tiba-tiba aku merasakan bahuku dicekak seseorang dan badanku ditarik supaya berdiri. Ayah sedang berdiri dengan sebuah pasu kecil di tangannya dan dia seperti mahu memukul kepalaku dengan pasu itu.

Beberapa inci saja pasu itu mahu mengenai kepalaku, tangan ayah direntap seseorang. Pasu ditangannya terjatuh dan tangannya dikilas ke belakang. "Lebih baik pak cik pergi dari sini. Kalau tak, kami akan telefon polis." Kai mengugut. Terlupa pula aku dengan kewujudannya tadi. Dia masih belum pulang rupanya.

Ayah menjeling ke arah Kai dan cuba melepaskan diri. Namun ternyata tenaga Kai jauh lebih kuat daripadanya. "Jangan kacau urusan keluarga kami!"

Mata Kai merenung ke arah ayah dengan tajam. Aku sendiri terkejut melihat perubahan di tingkah laku Kai itu. Selama ini, dia amat jarang mempamerkan wajah yang sangat marah seperti itu. Kai sekarang seperti seekor singa yang cedera yang boleh membunuh sesiapa sahaja yang menghampirinya.

"Jangan cuba cederakan Ryo dan mak cik lagi. Kalau saya nampak pak cik buat macam ni lagi, pak cik akan menyesal. Ryo, telefon polis sekarang!"

"Hah?" Aku teragak-agak.

"Ryo!" Suara Kai meninggi.

"Err.. ya." Kataku lalu pantas mengeluarkan telefon bimbitku dari poket seluar.

"Yalah, aku pergi!" Suara ayah kasar menengking dan tangannya terus dilepaskan. Dia menjeling ke arah kami sebelum meludah di kaki Kai dan keluar terus dari rumahku ke dalam kegelapan. Aku mematikan telefon bimbit dan mengeluh lega.

"Mak okey?" Aku menyoal emak yang terduduk di lantai.

"Ya..." Jawabnya. Aku segera memapah emak ke sofa sambil dibantu oleh Kai. Kemudian aku mengambil peti kecemasan dari bawah tangga dan mencuci luka di wajah emak. Kai pula mengambil segelas air di dapur dan menghulurkannya kepada emak.

"Kai, terima kasih ya. Kamu dah nampak keadaan keluarga kami tadi. Mak cik minta maaf." Kata emak kepada Kai yang duduk di sofa.

"Tak apa mak cik." Dia menjawab sopan.

"Kenapa dia balik ke sini? Dia nak minta duit mak lagi?" Aku menyoal sambil menumbuk meja. Geram kerana tidak ada di rumah pada saat emak memerlukan aku. Kalaulah aku ada tadi, aku takkan biarkan ayah cederakan emak lagi.

"Ini rumah dia, Ryoki. Dia boleh balik bila-bila masa saja dia mahu." Jawab emak perlahan.

"Mak, kenapa mak tak nak minta cerai saja? Kenapa mak masih bersabar dengan dia?" Aku menyoal.

Emak tersenyum lalu mengelus lembut rambut perangku. "Kamu tahu kan, kalaulah mak bercerai, kita berdua terpaksa pindah dari sini?"

"Pindah?"

"Ya. Rumah ni dibeli atas nama dia. Kalaulah kami bercerai, kita berdua akan jadi sebatang kara. Mak tak kisah semua tu. Tapi, mak fikirkan kamu. Sekurang-kurangnya, kita masih ada rumah ni jadi tempat berteduh. Kalaulah kita berpindah, kamu juga mungkin terpaksa pindah sekolah, Ryoki." Terang emak.

Aku tergamam. Pindah rumah? Pindah sekolah? Ini bermakna... aku akan berjauhan dari Kai. Tapi, emak juga...

Emak memeluk tubuhku erat. "Kita bersabar dulu, ya. Sekurang-kurangnya sampai kamu habis sekolah."

Aku membalas pelukan emak erat-erat. "Saya janji. Lepas habis sekolah nanti, saya akan kerja dan cari duit. Saya akan beli rumah dan kita akan pergi dari sini. Jauh dari dia." Kataku perlahan.


Aku menghantar Kai ke pagar di depan rumah. "Terima kasih sebab tolong kami, tadi." Kataku.

Dia tersenyum. "Kalau ada apa-apa, kau boleh beritahu aku dan ibu aku. Kami boleh bantu kau."

Aku sekadar mengangguk. Memang selama ini, hanya Kai seorang yang mengerti situasi hidupku. Aku tidak pernah berkongsi kisah keluargaku dengan sesiapa di sekolah.

"Ryo." Dia memanggilku.

"Hemm?"

"Aku akan sentiasa ada dengan kau sampai bila-bila." Katanya.

Aku mengangguk. "Terima kasih. Kau memang kawan terbaik aku." Bibirku menjungkit senyuman.

"Ya... kawan..." Katanya perlahan seperti berbisik. Dan pada masa itu, aku amat pasti yang ekspresi wajahnya kelihatan amat suram dan sayu seperti dia sedang menahan dirinya dari berbuat sesuatu.

-bersambung-

7 comments:

  1. i think you better protect your story.. people can copy and paste your work.. it's an interesting story!

    ReplyDelete
  2. Miu: thanks. Yeah, maybe I should. =)
    but I don't really know how to disable anyone copying.

    ReplyDelete
  3. victorique: follow this guide:
    http://www.yousaytoo.com/protect-your-blog-from-copy-paste/193504

    agree with miu, your story is really interesting!

    ReplyDelete
  4. very very interesting.aku ske sebab dia bukan focus pada BL je.story dia nampak hidup

    ReplyDelete
  5. *thumbs up* :D
    sy akan sentiasa sokong awk

    ReplyDelete
  6. ohya, blog ni xder follower widget k? nnt seng nk follow update

    ReplyDelete

Komen-komen korang sangat-sangat dihargai.